Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Mangsa tsunami Islam dakwa dipinggirkan

Written By Syafrein Effendiuz on 6/25/05 | Saturday, June 25, 2005

COLOMBO 24 Jun - Masyarakat Islam Sri Lanka menuduh Presiden Chandrika Kumaratunga telah meminggirkan mereka di dalam rancangan untuk berkongsi bantuan tsunami dengan pemberontak Harimau Tamil. Penderma antarabangsa telah menjanjikan bantuan berjumlah AS$3 bilion (RM11.40 bilion) untuk membangunkan semula kawasan pantai yang dilanda tsunami di negara ini.

Penderma meminta kerajaan dan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) mewujudkan mekanisme bersama bagi memastikan bantuan diagihkan secara saksama.

Dalam hal ini, penduduk Islam meminta kesaksamaan hak di dalam perjanjian berkenaan dan menyatakan ia sepatutnya melibatkan tiga pihak.

``Tidak dilayan secara sama rata adalah amat mengecewakan terutamanya apabila kebanyakan mangsa tsunami yang merupakan masyarakat Islam dipinggirkan di dalam perjanjian tersebut.

``Masalah pengagihan bantuan tsunami ini berpunca daripada diskriminasi kerajaan,'' kata menteri perumahan dan pembangunan semula, Fariel Ashraff.

Beliau berkata, sebanyak 54 peratus mangsa tsunami adalah masyarakat Islam yang kebanyakannya tinggal di timur negara ini.

Kumaratunga bagaimanapun memberi jaminan bahawa kebajikan masyarakat Islam akan dijaga di dalam perjanjian tersebut. - AP
Saturday, June 25, 2005 | 0 comments

Indonesia laksana hukuman sebat

JAKARTA 24 Jun - Undang-undang Indonesia hari ini mencatat sejarah apabila hukuman sebat dilaksanakan ke atas 15 orang yang melakukan kesalahan berjudi berdasarkan syariat Islam yang mula dikuatkuasakan di Aceh.

Hukuman bersejarah itu dilaksanakan selepas solat Jumaat di halaman terbuka Masjid Agung Bireun, kira-kira 350 kilometer dari Banda Aceh disaksikan kira-kira 2,000 penduduk setempat dan mendapat liputan meluas media massa.

Atas alasan kesihatan, baki 11 lagi tertuduh akan menjalani hukuman di halaman masjid di daerah masing-masing pada waktu yang belum ditetapkan lagi.

Kesemua mereka yang kebanyakannya petani dan peniaga kecil ditangkap semasa sedang berjudi dalam tempoh beberapa bulan ini, sejak undang-undang syariat dikuatkuasakan.

Mahkamah Syariah Bireun mendapati mereka bersalah dan menjatuhkan hukuman sebat di antara enam dan sepuluh kali berdasarkan Peraturan Daerah No. 13 Tahun 2003 Tentang Perjudian.

Sebelum disebat, identiti dan kesalahan tertuduh dibacakan untuk memberi ingatan kepada orang ramai yang berpusu-pusu di halaman masjid supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama.

Selepas menjalani hukuman sebat itu, mereka dibebaskan dan menerima bungkusan hadiah serta dipeluk oleh para pegawai agama dan daerah yang menghadiri majlis tersebut.

Mengikut peraturan hukuman sebat, rotan yang digunakan berdiameter di antara 0.75 hingga 1 sentimeter dan panjang 1 meter dengan sebatan tidak sehingga menimbulkan luka.

Hukuman rotan bagi kesalahan berjudi dan berkhalwat ini mendapat kecaman beberapa organisasi hak asasi manusia yang menyifatkannya tidak berperikemanusiaan dan merendahkan darjat manusia.

Pelbagai pihak juga mendesak agar hukuman sebat turut dikenakan terhadap kesalahan lain khususnya yang menimbulkan kerugian kepada negara seperti rasuah dan menyelewengkan wang kerajaan

Kerajaan Pusat Indonesia memberi kebenaran kepada wilayah Aceh menjalankan undang-undang Syariah Islam pada tahun 2001. - Utusan
Saturday, June 25, 2005 | 0 comments

Seniman Aziz Jaafar meninggal dunia

Written By Syafrein Effendiuz on 6/24/05 | Friday, June 24, 2005


Seniman Aziz Jaafar meninggal dunia kerana demam

KUALA LUMPUR 23 Jun - Hero filem Melayu tahun 50-an dan awal 60-an, Abdul Aziz Jaafar atau Aziz Jaafar meninggal dunia di rumahnya dekat sini hari ini kerana demam.

Beliau yang berusia 69 tahun menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di SS14 kira-kira pukul 6 pagi ini.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di tanah perkuburan yang sama dengan Allahyarham isterinya, Normadiah di Bukit Kiara, Damansara selepas solat Asar.
Menurut anak bongsunya, Liza, dia hanya menyedari ayahnya meninggal dunia sebaik sahaja memasuki kamar tidur pelakon tersebut pada pukul 10 pagi.
Liza memberitahu, dia melihat ayahnya tersandar di tepi katil.

``Saya sendiri tidak pasti pukul berapa abah menghembus nafas terakhir sebab dia seorang diri di dalam bilik.

``Menurut doktor, abah disahkan meninggal dunia empat jam awal sebelum saya temui dia di dalam bilik,'' kata Liza.

Selain Liza, Allahyarham mempunyai seorang lagi anak hasil perkahwinan dengan Normadiah iaitu penyanyi Azlina Aziz, 43.

Liza, 42, memberitahu, ayahnya tidak menunjukkan sebarang perubahan tetapi mengadu yang dia demam malam semalam.

Biarpun kesihatannya kurang baik, kata Liza, Allahyarham rancak bercerita tentang persembahannya di Kuching, Sarawak yang turut disertai oleh beberapa artis veteran lain pada 15 Jun hingga 20 Jun lalu.

Allahyarham yang turut menghidap penyakit kencing manis itu menetap bersama Liza dan Sharifah Hasnor Hassan sejak kematian isterinya kira-kira lima tahun lalu.

Sharifah Hasnor Hassan, 43, merupakan anak tirinya dan Allahyarham juga amat rapat dengan dua orang lagi anak tirinya iaitu Syed Ekhzan, 47, dan Martina Hatim Hassan, 49, yang menetap di Singapura.

Antara filem lakonan Allahyarham ialah Hantu Jerangkung, Batu Belah Batu Bertangkup, Sumpah Wanita, Singapura Dilanggar Todak dan Anak Buluh Betong.

Turut hadir menziarahi jenazahnya ialah Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin, Datuk Jins Shamsudin, Datuk Sarimah Ahmad, Mariani, Nash, Juliana Banos, Salimah Mahmod, Yusni Jaafar dan Ogy Ahmad Daud.
Friday, June 24, 2005 | 0 comments

Jackson ikrar balas dendam komplot mahu jatuhkannya

Written By Syafrein Effendiuz on 6/18/05 | Saturday, June 18, 2005

LONDON 17 Jun - Michael Jackson yang baru dibebaskan daripada 10 tuduhan pencabulan seksual berikrar akan membalas dendam terhadap komplot yang berusaha menjatuhkannya selama ini.
Abang penyanyi itu, Jermaine berkata, walaupun sudah dibebaskan dan bercadang meninggalkan Amerika Syarikat, Jackson menganggap Pendakwa Raya, Tom Sneddon dan media tertentu cuba `mengebumikannya'.

Katanya, keluarga Jackson kini dalam pemulihan dan menyifatkan musuh mereka berada dalam keadaan ketakutan selepas adiknya dibebaskan.

Jermaine yang muncul dalam rancangan Larry King berkata, terdapat `konspirasi gelap' yang mendalangi pendakwaan terhadap Raja Pop itu.

Beliau berkata, adiknya beranggapan tidak dapat terus menetap di negara ini.

Bagaimanapun sebelum berpindah, keluarga Jackson akan mengambil tindakan terhadap Sneddon.

``Tom Sneddon mempunyai dendam peribadi. Dia membazirkan wang pembayar cukai. Mereka patut melakukan siasatan.

``Saya tidak tahu apa (Jackson) buat. Tapi saya akan bertindak. Mereka cuba membunuh dia (Jackson), tetapi mereka menyebabkan dia semakin penting.''

``Komplot-komplot itu memang ada... mereka seperti ahli silap mata. Mereka mengenakan tuduhan mencabul kanak-kanak menggunakan tangan kanan, tetapi tangan kiri mereka melakukan sesuatu.

``Kini mereka ketakutan dan mereka tidak akan dapat melarikan diri,'' katanya.

Adik bongsu Jackson, Randy yang menjadi pengurusnya pula menyatakan akan mengadakan keraian untuk para peminat Raja Pop yang telah banyak memberikan sokongan.

Selepas ini, Jackson dan keluarganya akan berpindah ke tempat lain yang belum ditetapkan lagi.

Jermaine menambah: ``Kami mencintai rakyat Amerika, tetapi masih ada tempat yang lebih baik di dunia ini. Amerika patut bangga dengan Jackson, tetapi mereka cuba menjahanamkan dia.'' - Agensi
Saturday, June 18, 2005 | 0 comments

Zahid, Khir bina jambatan serumpun

SEMASA Datuk Ahmad Zahid Hamidi berucap menggunakan bahasa Jawa pada majlis pelancaran Jualan Mega Malaysia dan Gebyar BCA (promosi Bank BCA) di Jakarta baru-baru ini, beberapa tetamu Indonesia kelihatan tercengang.

Mereka tertanya-tanya dari mana Timbalan Menteri Pelancongan itu mempelajari bahasa Jawa, apatah lagi bahasa yang digunakan merupakan bahasa Jawa halus yang biasa digunakan oleh generasi tua.

Begitu juga semasa Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, Selasa lalu.

Khir yang juga Menteri Besar Selangor berkunjung bersama Komite (Jawatankuasa) Nasional Pemuda Indonesia (KNPI) diperkenalkan berasal- usul dari Solo, Jawa Tengah dan masih boleh berbahasa Jawa.

Menurut seorang anggota KNPI yang turut bersama dalam rombongan itu, Presiden yang berasal dari Pacitan, Jawa Timur menyambut baik kehadiran MBM, apatah lagi mengetahui pemimpinnya masih mempunyai hubungan erat dengan Indonesia.

``Bapak Presiden pada pertemuan ini bercakap dalam nada yang terbuka.

``Mungkin beliau merasakan seperti bertemu saudara sendiri. Suasana sangat santai dan akrab,'' katanya.

Penting untuk menjalin hubungan dengan KNPI, kerana ia sebuah organisasi bukan kerajaan yang ramai pemimpinnya merupakan ahli Parlimen dan bakal mewarisi kepimpinan negara ini.

Hubungan akrab khususnya antara pemimpin muda kedua-dua buah negara seperti ini menjadi perhatian sejak akhir-akhir ini berikutan terganggunya hubungan dua hala yang antara lain disebabkan salah faham dan kurangnya hubungan peribadi.

Dalam isu tenaga kerja Indonesia umpamanya, Malaysia dikecam bersikap tidak berperikemanusiaan dan mengambil kesempatan atas rakyat Indonesia kerana `mengusir' rakyat negara ini sewenang-wenangnya.

Sedangkan apa yang berlaku ialah Malaysia hanya mengambil tindakan undang-undang dan memulangkan pendatang asing tanpa izin, bukannya tenaga kerja Indonesia.

Tenaga kerja Indonesia tidak diganggu dan dialu-alukan untuk sama-sama menikmati kemakmuran ekonomi Malaysia.

Begitu juga isu tuntutan bertindih Laut Sulawesi. Secara teknikal, kawasan yang kaya dengan minyak itu tidak boleh disahkan milik Malaysia mahupun Indonesia kerana belum ada kesepakatan sempadan antara kedua negara. Kedua-dua negara memang berhak mendakwa ia kawasan berdaulat negaranya berdasarkan fakta termasuk peta yang dimiliki negara masing-masing.

Sebab itu, kawasan ini disebut kawasan bertindih kerana dua negara mengaku sebagai kawasannya dan kini jawatankuasa teknikal sedang dalam proses rundingan untuk mencari jalan penyelesaian.

Kedua-dua isu itu telah membangkitkan sentimen anti-Malaysia di kalangan sebahagian rakyat Indonesia, terutama golongan muda yang mengadakan tunjuk perasaan dan bantahan dalam bentuk lain.

Sedangkan isu-isu berkenaan boleh diatasi jika pemimpin kedua-dua negara, yang selalu dinyatakan sebagai bangsa serumpun dan satu bahasa, saling memahami dan mempunyai hubungan peribadi.

Hubungan

Selain hubungan formal kerajaan dengan kerajaan, hubungan peribadi sesama pemimpin inilah yang perlu dipupuk agar apa juga perselisihan dapat segera diatasi atau perasan marah boleh ditenteramkan dengan cepat.

Hubungan antara rakyat, terutama pemimpin muda inilah yang mahu ditekankan sekarang kerana pendekatan satu rumpun belum tentu menjanjikan keakraban jika ia tidak terus dipelihara dan dipupuk. Selepas tumbangnya rejim Suharto dan perubahan pucuk pimpinan, hubungan peribadi sesama pemimpin terlihat longgar kerana kebanyakannya tidak saling mengenali.

Justeru, kehadiran pemimpin muda seperti Zahid dan Khir yang mahu menjenguk saudara serumpun mereka akan memberi manfaat ke arah hubungan yang lebih erat antara Malaysia dan Indonesia.

Tetapi hubungan itu tentunya tidak boleh bergantung hanya sekadar pertukaran lawatan tetapi pertukaran program, kerjasama dalam pelbagai bidang dan saling berhubung walaupun hanya untuk bertanya khabar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono telah menunjukkan contoh yang baik. Dalam tempoh tujuh bulan pemerintahan Susilo, enam kali kedua-duanya telah bertemu. Seperti diakui oleh Susilo, mereka saling berhubung melalui telefon. Hubungan seperti ini sangat membantu kedua-dua negara untuk mengatasi sebarang masalah dalam waktu yang singkat.

Begitu juga Naib Presiden, Yusuf Kalla yang berasal dari Makasar, Sulawesi mengambil peluang beramah mesra dengan masyarakat Bugis di Johor sempena kunjungannya ke Malaysia baru-baru ini.

Dan di luar jadual lawatan Zahid ke Yogyakarta, beliau sempat menemui beberapa orang saudaranya di daerah asal-usulnya itu. Khir pula berniat untuk mendaki Gunung Bromo, Jawa Timur bagi mengenali lebih dekat budaya rakyat negara ini.

Apa yang dilakukan oleh para pemimpin dua negara ini tentunya akan tambah mengeratkan hubungan dan tidak hanya mengharap pada ikatan sejarah sebagai bangsa serumpun. - Utusan
Saturday, June 18, 2005 | 0 comments

Bapa penasihat terbaik

Oleh Azlinariah Abdullah (Wartawan Utusan)

BERBANDING hari penghargaan lain yang diraikan sepanjang tahun, barangkali kedatangan hari bapa sedikit terlewat.

Setiap tahun, hari khusus untuk memperingati kaum bapa jatuh pada tarikh 17 Jun.


Sama seperti hari ibu, sambutan hari bapa bermula di Amerika Syarikat (AS) dengan ideanya dicetuskan oleh seorang wanita, Sonora Dodd dari daerah Spokane.

Beliau mahu sesuatu dilakukan untuk mengenang bapanya, William Smart, seorang veteran perang saudara yang ditinggalkan membesarkan enam anak secara bersendirian di sebuah ladang kecil.

Hari bapa yang pertama disambut pada 1910 dengan mengambil sempena tahun kelahiran Smart sendiri.

Sejak tahun 1972 ia disambut setiap tahun apabila bekas Presiden AS, Richard Nixon menandatangani satu undang-undang awam yang menjadikan hari tersebut dicatat di dalam kalendar.

Tetapi tidak seperti ibu, barangkali ada yang bersetuju bahawa jasa dan pengorbanan bapa tiada nampak oleh pandangan mata kasar.

Sebenarnya jasa ibu dan bapa itu sama penting di mana ia sama-sama wajar dihargai setiap masa.

Kalau ibu adalah ratu, bapa pula hero di hati dan jiwa kita.

Dengan ibu, sejumlah wang tidak mungkin dapat membayar harga setitik susu yang diminum bagi menjadikan kita seorang manusia.

Bersama ayah, kemewahan yang melimpah di dunia ini langsung tidak sepadan dengan harga setitis keringat bapa membanting tulang mencari rezeki membesarkan kita.

Ketika ibu diingati kerana sukarnya mereka menampung nyawa di dalam rahim serta menahan sakit melahirkan kita, bapa pula dikenang sebagai penasihat terbaik di dunia sekali gus memandu anak-anak amanah Allah ke jalan yang tidak menyimpang.

Lupakan bapa jenis `haruan makan anak' atau gemar menyerahkan segala tanggungjawab mencari rezeki kepada pihak lain.

Alihkan pandangan kepada jenis ketua keluarga yang mulia hati dan sanggup menjadi `bapa' kepada anak-anak lain.

Ambil contoh, Ahmad Khariri Al-Hadi Md. Yusop, 27, yang sanggup menyerahkan sebelah hatinya demi memberi sinar kehidupan kepada bukan darah dagingnya - adik Mohd Yohit Mohd. Farhan yang menghidap penyakit bengkak hati.

Walaupun kini Mohd Yohit telah meninggal dunia, kemuliaan hati Ahmad Khariri, seorang bapa kepada tiga anak tetap diingati.

Bapa sebegini yang seharusnya dijadikan contoh teladan. Pengorbanan daripada bapa seperti ini adalah cerminan kasih seorang ayah ibarat laut tidak bertepi.
Saturday, June 18, 2005 | 0 comments

Ahli Fiqir



Siapa sangka irama lagu yang cukup mudah dan bersahaja mampu menjadikan sebuah kumpulan yang dahulunya langsung tidak dikenali kepada sebuah kumpulan yang semakin terkenal.

Setelah membawakan lagu Samseng, nama Ahli Fiqir kini tidak asing lagi di kalangan peminat muzik di negara ini. Walaupun ramai yang menganggap bahawa lagu-lagu 'rap' dalam Bahasa Melayu tidak setanding 'rap' orang Amerika, namun Ahli Fiqir nampaknya telah berjaya mengubah persepsi tersebut.

Tidak sampai setahun yang lalu, kumpulan ini pernah mengadakan persembahan buat julung kalinya di Kuala Lumpur di hadapan ribuan penonton pada acara Malay Mail Big Walk di Dataran Merdeka. Namun, pada ketika itu ramai di antara penonton masih belum lagi mengenali siapakah sebenarnya yang menganggotai kumpulan Ahli Fiqir ini.

Pelbagai persoalan timbul. Ramai yang tertanya-tanya dari mana asalnya mereka ini? Syarikat rakaman mana yang telah mereka tandatangani? Bagi sesetengah individu, mereka tentunya boleh mengagak sesuatu bakal berlaku ke atas kumpulan tersebut memandangkan sebuah kumpulan muzik dari Singapura sedang mencuba nasib di arena muzik Malaysia.

Pada acara itu, Ahli Fiqir menyanyikan lagu bertajuk Samseng. Beberapa bulan kemudian, lagu tersebut menjadi sangat popular dan dimainkan berulang-ulang kali oleh hampir semua stesen radio tempatan.

Sungguhpun menerima reaksi yang begitu hebat daripada pendengar muzik tempatan, kumpulan tersebut masih menjadi tanda tanya. Lagu Samseng terus menambat hati kebanyakkan ramai pendengar, termasuklah peminat dari negara asalnya dan juga di kalangan peminat muzik hip-hop di Indonesia.

Semakin hari, semakin kerap lagu tersebut berkumandang ke udara. Pada waktu itulah, kisah mengenai kumpulan ini mula dikupas sedikit demi sedikit.

Ahli Fiqir pada mulanya disertai oleh tiga orang anggota kumpulan - Fadali Mohd Darif atau Daly (ahlifiqir), Samsolnahar Sibengat atau Samsol (tukangkata) dan Noor Hidayati Mohamed Yusop atau Dayat (juga dikenali sebagai mawarberduri).Tidak lama selepas itu, sewaktu dalam proses mengembangkan muzik yang mereka perjuangkan, muncul seorang lagi anggota baru.Beliau ialah Ceza Mutyara atau dj cza, seorang rakyat Indonesia yang berkebolehan besar dan mampu menyumbangkan bakat muziknya untuk kumpulan ini melalui sentuhannya yang unik.

Kini, setelah kejayaan lagu Samseng, Ahli Fiqir sekali lagi bakal menggegarkan pendengar-pendengar muzik tanah air dengan satu lagu terbaru, Angguk-Angguk Geleng-Geleng. Lagu Ini merupakan hasil kerjasama Ahli Fiqir dan dua peminat besar muzik hip hop iaitu Syaheed dan Qumran.

Album yang diterbitkan oleh Powder Records edaran Warner Music ini bakal memberi 'kejutan' kepada seluruh peminat muzik di Malaysia memandangkan ianya digarap dengan unik yang mempunyai kombinasi muzik tradisional Melayu dan kontemporari.

LAGU-LAGU DI DALAM ALBUM 'HARI INI DALAM SEJARAH'
Inilah Barisan Kita
Angguk-Angguk Geleng Geleng
Tik Tok Simpati
Kalau Melayu.Memang Melayu
Ambillah Ambila
HIDS (Interlud)
Narapidana
Ahli Fiqir Boleh
Palsu
Topeng Wajah
Ahli Fiqir dan 7 Penyamun
Merdeka Minda
Samseng
Kembalikan Kampung Halamanku
Syair Si Ahli Fiqir
Pesta

Kiriman ERA FM Exclusive

Saturday, June 18, 2005 | 0 comments

Empat tidak mengaku melacur, menari bogel

Written By Syafrein Effendiuz on 6/3/05 | Friday, June 03, 2005


EMPAT pelayan kelab malam dibawa keluar dari Mahkamah
Majistret semalam, atas tuduhan menjadi pelacur
serta menari bogel di khalayak pada 28 Mei lalu.
� Gambar oleh Muhaizan Yahya

Oleh Shamsul Kamal Amarudin
PETALING JAYA: Empat pelayan kelab malam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan menjadi pelacur serta menari bogel di khalayak pada 28 Mei lalu.

Tiga wanita Melayu dan seorang Cina berusia antara 23 hingga 32 tahun itu, tidak mengaku bersalah atas tuduhan mencari pelanggan bagi maksud pelacuran di China Town Nite Club, Jalan SS 21/62, Damansara Utama di sini kira-kira jam 11.40 malam.

Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mereka turut menghadapi tuduhan pilihan melakukan perbuatan lucah dengan membogelkan diri di tempat bebas sehingga menimbulkan kegusaran kepada orang ramai di tempat dan masa yang sama.

Bagi tuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 294 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.

Semua tertuduh diwakili Thong Seng Kong dan Bernard Gomez manakala pendakwaan oleh Cif Inspektor Chang Chee Fong. Majistret Azroul Hisham Azulan menetapkan perbicaraan pada 30 Ogos ini dan jaminan RM1,600 bagi setiap tertuduh.

Seorang lelaki, wanita dituduh jadi pengantara

Sementara itu, seorang lelaki dan seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan menjadi pengantara atau orang tengah bagi empat wanita terbabit.

Dow Yee Chan, 46, dan Wong Hoong Song, 33, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan membantu dalam pelacuran empat wanita berkenaan dengan cara bertindak sebagai orang tengah bagi pihak mereka di tempat, masa dan tarikh sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372 (1) (f) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara sehingga 15 tahun, jika sabit kesalahan.

Hakim Nurmala Salim menetapkan perbicaraan pada 6 dan 7 Mac tahun depan serta jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Kedua-dua tertuduh juga diwakili oleh Thong dan Bernard manakala pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nahra Dollah.
Friday, June 03, 2005 | 0 comments

Cabaran ideal pascamoden

Oleh: YAMIN CHENG

Pascamoden adalah satu ungkapan mutakhir yang merujuk kepada wajah dunia kini. Menurut kacamata Barat, dunia telah melalui empat era, termasuk yang terkini yang dinamakan sebagai era pascamoden. Tiga era yang terdahulu ialah era silam, era pertengahan dan era moden.

Era silam dikatakan mewajahi dunia dengan legenda dan mitos, era pertengahan dengan keagamaan, era moden dengan akal, dan era pascamoden dengan hermeneutik, atau tafsiran peribadi tentang segala yang ada.

Lima perkara pokok yang membentuk wajah dunia ialah realiti, kebenaran, ilmu, sejarah dan diri. Realiti merujuk kepada persoalan tentang hakikat kewujudan dunia, sama ada dunia ini hanya semata juzuk kebendaan ataupun mempunyai dimensi yang lebih dari itu.

Kebenaran merujuk kepada pengesahan terhadap realiti dunia, dan ini bergantung kepada sumber kebenaran, sama ada ia legenda dan mitos, periwayatan, akal, ataupun wahyu. Ilmu merujuk kepada titik temu diri dengan kebenaran dari segi padanan kebenaran dengan diri dan sebaliknya.

Sejarah merujuk kepada dunia sebagai persada titik temu segala yang terdapat di dalamnya, dan titiktemu ini memberikan satu gambaran tentang perencanaan dunia, termasuk sama ada ia mempunyai corak yang berulang ataupun ia bersifat rambang.

Diri merujuk kepada persoalan tentang kewujudan jati seseorang, seperti persoalan tentang sama ada kejatian dirinya adalah melalui kelahiran ataupun ianya bergantung kepada faktor persekitaran, seperti budaya dan sejarah.

Pascamoden yang berpangkalankan hermeneutik sebagai tafsiran wajahnya menolak segala pandangan tentang dunia sebelumnya. Lebih tepat dikatakan bahawa ia tidak ada ketetapan tentang wajahnya. Wajahnya bergantung kepada tafsiran peribadi seseorang.

Dalam ertikata lain, wajah dunia bukanlah sesuatu yang bersifat objektif, yakni, ia bukanlah sesuatu yang wujud berasingan daripada diri seseorang.

Sebaliknya, ia adalah sesuatu yang dilahirkan dari persepsi seseorang tentangnya. Jikalau falsafah dan sains moden mengajar bahawa dunia adalah sebuah misteri terselindung di sebalik pengetahuan manusia namun boleh diketahui melalui kaedah analisis dan empirik, kaedah hermeneutik mengandaikan bahawa pada hakikatnya, tidak wujud apa-apa di sebalik pengetahuan itu.

Sebaliknya apa yang ada pada dunia adalah hasil janaan manusia terhadapnya melalui imaginasi dan wacana. Wajah dunia bukanlah sesuatu yang dicari dan ditemui tetapi dicipta. Dengan itu, dunia bukanlah sesuatu yang objektik dari diri seseorang, tetapi subjektif pada dirinya.

Implikasi dari hermeneutik sebagai wajah dunia membawa kepada pemahaman baru tentang kelima perkara pokok yang membentuk wajahnya. Realiti sebagai sesuatu yang objektif, kekal, abadi, stabil, dan universal kini hanya tinggal kekosongan yang hakikatnya diisi oleh imaginasi dan wacana manusia mengenainya.

Walaupun manusia dalam suatu zaman hidup dalam ruang dan waktu yang sama, tetapi oleh sebab pengalaman mengenai ruang dan waktu itu berbeza di antara satu dengan yang lain, maka persepsi dirinya tentang persekitarannya pun berbeza.

Justeru realiti yang dijanakan oleh pengalamannya adalah realiti yang hanya relatif kepada dirinya sahaja dan tidak semestinya realiti yang sama untuk orang lain. Inilah yang dikatakan surreality dan virtual reality di mana realiti itu hanyalah kesamaran yang mendatangkan rasa ya atau tidak tentang adanya ia atau tidak.

Dalam ertikata lain, realiti itu hanyalah maya. Oleh kerana realiti itu adalah maya kerana ia bergantung kepada pengalaman seseorang untuk menentukan status realitinya, ia juga tidak semestinya realiti yang kekal sama untuk orang itu sepanjang waktu.

Ini adalah kerana pengalaman seseorang tentang persekitarannnya boleh berubah dari semasa ke semasa. Maka setiap kali pengalamannya berubah, persepsinya tentang dunia pun berubah. Dengan itu, realiti yang kini untuknya tidak semestinya realiti yang sama kepadanya di masa akan datang. Namun oleh kerana pengalaman tidak semestinya berubah secara radikal atau mendadak, cebisan dari pada pengalaman yang terdahulu akan dibawa kepada pengalaman yang seterusnya. Inilah yang mendatangkan kesangsian kepadanya sama ada realiti yang dialaminya dahulu adalah sama dengan realiti yang dialaminya sekarang. Justeru realiti itu berkemungkinan banyak.

Realiti yang berderet banyak hasil dari satu pengalaman kepada satu pengalaman yang seterusnya ini menjadikan satu realiti simulasi kepada realiti yang seterusnya. Realiti yang sebelumnya mensimulasi realiti yang selepasnya supaya mereka kelihatan seiras tetapi pada hakikatnya tidak.

Realiti yang sedemikian sifatnya secara umum boleh diistilahkan sebagai simulakra, atau realiti maya yang disimulasikan dari pengalaman seseorang dari persekitarannya dan dipancarkan kepada pengalaman realitinya yang seterusnya.

Kebenaran dalam faham selama ini merujuk kepada perakuan tentang sesuatu perkara atau benda. Perakuan ini melibatkan persetujuan di antara yang mengaku dan yang diakui. Namun persetujuan ini hanya berkemungkinan jika kedua pihak yang mengaku dan diakui memiliki status diri yang stabil dan tidak berubah. Tetapi dalam realiti maya, ini tidak berkemungkinan kerana tanggapan isi kandungannya senantiasa berubah mengikut pengalaman seseorang mengenainya. Dalam ertikata lain, realiti maya bermakna kebenaran juga adalah maya. Ini sama seperti mengatakan bahawa pada hakikatnya, kebenaran itu sebenarnya tidak ada. Oleh kerana kebenaran tidak berkemungkinan ada, yang hanya tinggal hanyalah pandangan yang relatif tentang apa yang berkemungkinan ada.

Ini dikatakan perspektif, atau sudut pandangan. Maka itu, dalam pandangan pascamoden, kebenaran hanyalah perspektif, dan tidak lebih dari itu.

Ilmu adalah titik temu segala yang wujud dalam satu rangkaian hubungan antara satu dengan yang lain secara serasi.

Rangkaian hubungan ini pula menghasilkan struktur makna yang menyeluruh tentang zat dan sifat yang diketahui. Makna adalah pengertian yang berkemungkinan oleh pancaindera kerana terdapat keserasian dalam hubungan rangkaian yang disebutkan.

Namun oleh kerana realiti dan kebenaran adalah maya dan tidak stabil, ilmu juga tidak berkemungkinan. Ini adalah kerana rangkaian hubungan di antara yang diketahui tidak boleh membentuk satu struktur makna yang tetap dan stabil. Apa yang berkemungkinan adalah struktur makna yang beralih. Oleh sebab itu, maklumat yang dihasilkan mengenai suatu sasaran pengetahuan terdedah kepada pelbagai tafsiran yang mungkin mengenainya. Di dalam istilah pascamoden, ini dikatakan naratif, atau pengkisahan.

Pengkisahan adalah bacaan tentang yang berkemungkinan dikatakan ilmu.

Sejarah yang dimaksudkan di sini bukanlah semata sebuah mata pelajaran mengenai peristiwa silam suka-duka kehidupan manusia dari zaman ke zaman, tetapi tentang persoalan sama ada peristiwa yang berlaku mempunyai corak keberlakuan yang berulang ataupun rambang. Sejarah mempunyai dua wajah, kronologi dan genealogi. Kronologi ialah aspek sejarah yang berkaitan dengan urutan peristiwa dari satu tempoh ke satu tempoh yang lain. Sehingga era moden, sejarah masih dianggap sebagai mempunyai urutan yang mencerminkan kemajuan manusia dari tahap primitif ke tahap yang lebih tinggi.

Zaman silam dianggap zaman yang lebih mundur berbanding dengan zaman pertengahan, dan zaman pertengahan dianggap lebih mundur dari zaman moden. Genealogi pula adalah aspek sejarah yang berkaitan dengan asal-usul sumber sesuatu peristiwa. Sebagai contoh, sehingga era moden, kebanyakan sejarah ditulis oleh kaum lelaki. Tetapi pada hari ini, penulisan sejarah oleh kaum lelaki dipertikaikan oleh setengah kaum wanita yang melihat sumbangan wanita kepada sejarah diabaikan.

Pascamoden menolak kedua tanggapan sejarah ini yang membentuk apa yang dinamakan sebagai universal history, atau sejarah yang sejagat. Bagi pascamoden, universal history tidak wujud kerana sejarah adalah pengkisahan semata dan pengkisahan tidak semestinya mencerminkan sebab-musabab yang sebenarnya kenapa sesuatu peristiwa berlaku. Malah, menurut pascamoden, sejarah cumalah kecenderungan memihak suatu golongan manusia ke atas golongan manusia yang lain untuk tujuan penindasan dan manipulasi.

Kerana itu, pascamoden cukup sensitif dengan kaedah pensejarahan (historiografi). Malah, pascamoden menganggap bahawa pensejarahan yang ada mengenai peristiwa yang lampau yang dianggap sahih perlu direkah semula (dekonstruk). Ini bererti sebab-musabab yang membentuk sejarah sesuatu peristiwa harus digali dan dinilai semula kesahihannya.

Ini menimbulkan perspektif baru tentang teknik pensejarahan atau historiografi yang disebutkan tadi. Historiografi kini bertukar ke arkeologi maklumat.

Diri, dalam perspektif pascamoden, bukanlah suatu entiti peribadi yang berdiri dengan diri sendiri. Sebaliknya, diri adalah suatu matriks di mana identitinya dibentuk oleh unsur-unsur yang datang dari luar diri itu. Dalam hubungan ini, yang datang dari luar adalah sejarah. Sejarah menyalurkan unit-unit maklumat kepada diri yang kemudiannya menyusun struktur unit-unit ini dalam satu bentuk yang rapi untuk menjanakan suatu imej hologram kepada diri itu.

Diri menganggap bahawa imej hologram yang dijanakan dalam dirinya adalah identitinya tetapi ini adalah tidak benar kerana identiti ini hanyalah sebuah janaan semata. Dengan ini, diri ini boleh berubah identitinya mengikut perubahan sejarah yang berlaku ke atas dirinya. Oleh kerana tidak semestinya terdapat satu sejarah pada satu masa yang sama tetapi sebaliknya berbagai sejarah, maka imej diri yang dihasilkan adalah imej kitaran yang boleh dicipta, dibuang, dan digunakan semula.

Era pascamoden dikatakan tidak mempunyai paksi yang mengikat ketetapan wajahnya. Malah, dalam era ini, zaman bertembung zaman sehingga dalam satu waktu tertentu, tiga atau empat zaman bertembung.

Maka yang dikatakan kini bukan hanya zaman sekarang, tetapi juga zaman silam, zaman pertengahan, dan juga zaman akan datang. Begitu juga dengan ruang. Kemunculan ruang siber membolehkan pertembungan di antara manusia merentas ruang fizikal.

Maka dengan itu, segala aspek kehidupan menjadi rekahan (fragmentasi) yang tidak mempunyai identiti, nilai, dan hala tuju yang tertentu. Segalanya adalah mungkin. Di dalam pascamoden, yang ada cuma ufuk-ufuk yang terbuka, bukan dunia yang tertutup.

Segala konsep yang menjadi pegangan kini terdedah kepada persoalan. Realiti menjadi simulakra, kebenaran hanya tinggal perspektif, ilmu cuma sekadar naratif, sejarah bertukar kepada arkeologi maklumat, dan diri dianggap sebagai matriks.Tentunya pascamoden membawa cabaran baru kepada kita untuk memikir semula segala pandangan wujud dan pandangan hidup yang sedia ada.

* DR. YAMIN CHENG ialah Penolong Profesor Jabatan Pengajian Usuludin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Friday, June 03, 2005 | 0 comments

Zizie Ezette habiskan RM10,000 cantikkan wajah

Zizie Ezette
Wajah baru Zizie

``ZIE perlu cantik dari hujung rambut hingga ke hujung kaki kerana dalam senario dunia lakonan hari ini pengarah atau penerbit lebih mengutamakan cantik kemudian baru bakat.

``Sebab itulah Zie tidak kisah menghabiskan duit hampir RM10,000 dalam tempoh dua bulan untuk mencantikan wajah dan bentuk badan Zie,'' begitu kata Zizie Ezette dengan tawa cerianya ketika ditemui Mega di Pakar Kecantikan Dermedic, Sri Hartamas baru-baru ini.

Zizie Ezette
Wajah lama Zizie

Melihat Zizie hari ini memang ramai yang akan terpegun kerana pelakon yang mula dicungkil bakatnya ketika berusia 15 tahun melalui filem Kekasih Awal Dan Akhir, kini tampak lebih jelita dengan wajah bujur sirehnya, berkulit putih gebu dan mempunyai potongan badan yang menarik.

Siapa sangka Zizie yang dulu dikenali sebagai pelakon bertubuh montok kini langsing dan siapa sahaja yang memandangnya pasti tidak akan berkelip mata dan menoleh berkali-kali melihatnya.

``Betul ke Zie cantik ni,'' begitu pertanyaannya berkali-kali kepada penulis bila memuji kecantikannya hari ini.

Sambil melihat wajahnya di cermin dan membetulkan rambutnya, Zizie berkata;

``Zie bukan mahu merubah anugerah Tuhan tetapi cuma sekadar menjalani beberapa proses untuk kelihatan cantik dengan menggunakan teknik moden.''

Menurut Zizie, sebagai pelakon yang mencari rezeki dengan menjual bakat dan rupa dia tidak kisah apa orang akan bercakap tentang dirinya.

``Bagi Zie yang penting penampilan Zie cantik dan menarik. Zie sedar sejak penampilan Zie berubah tawaran berlakon untuk Zie tidak henti-henti,'' kata Zizie.

Bermula akhir Mac, Zizie sibuk di lokasi penggambaran Seindah Janji untuk slot Identiti TV3 terbitan Nizarman (M) Sdn. Bhd., kemudian Zizie diundang pula berlakon telemovie Sayang Si Montel diikuti dengan dokudrama Keramat. Bukan itu sahaja malah setakat ini ada tiga lagi telemovie yang sedang menanti untuk memulakan penggambaran.

Menurut Zizie, hasratnya untuk kelihatan cantik bukan sahaja kerana senario dunia lakonan sekarang malah ia turut berubah bila usianya semakin matang. Kini dalam menjalani usia 27 tahun, Zizie sedar dia perlu melakukan sesuatu agar kecantikannya tidak luntur.

``Dulu memang Zie tidak fikirkan sangat tentang penampilan kerana Zie berpendapat dengan alat-alat mekap ketika di lokasi sudah cukup.

``Tetapi dalam keadaan sekarang pelakon baru yang cantik dan lebih muda yang muncul bagaikan cendawan di musim hujan, Zie harus buat sesuatu.

``Bagi Zie tidak ada ruginya Zie keluarkan duit untuk cantik kerana kecantikan itu adalah aset bagi seorang pelakon disamping bakat,'' akui Zizie terus-terang.

Dengan bantuan sepupunya dan hasrat untuk kelihatan cantik dan menawan, Zizie memberanikan diri ke Pakar Kecantikan Derme-dic yang terletak di Plaza Damas, Sri Hartamas pada Januari lalu.

``Zie bertuah kerana pertama kali ke sana Zie dapat berjumpa dengan orang yang mengendalikan pusat kecantikan itu, Daphne Tong.

``Melalui pertemuan itu Zie mendapatkan nasihat dan pandangan Daphne. Kemudian Daphne menganalisa kulit muka Zie dan bentuk badan dengan itu barulah Daphne mengesyorkan apakah rawatan yang sesuai untuk Zie,'' cerita Zizie.

Menurut Zizie, setelah pertemuan pertama itu, beliau datang untuk temujanji pertama dan dia menjalani rawatan oxigen facial, placenta facial, body theraphy, physical theraphy dan slimming.

``Zie rasa seronok dan gembira sangat setelah dua bulan menjalani rawatan di sana, akhirnya impian Zie menjadi kenyataan.

``Sebenarnya Zie pun tidak menduga yang perubahannya begitu cepat nampak. Sekarang Zie masih meneruskan rawatan di sini setiap minggu bagi memastikan kecantikan yang Zie idamkan itu akan berkekalan,''kata Zizie.

Bila ditanya mengenai botox ataupun pembedahan plastik, Zizie berkata;

``Zie tidak percaya dengan semua itu kerana bimbang ada kesan sampingan. Tetapi apa yang Zie dapatkan dari Dermedic ini ia cuma rawatan yang menggunakan pati buah-buahan sahaja.''[MUZLINA ABU BAKAR]

Friday, June 03, 2005 | 0 comments

Usaha memelihara warisan Melayu serumpun

Written By Syafrein Effendiuz on 6/2/05 | Thursday, June 02, 2005

Oleh Masni Ros Pakir Mohamad

SEMINAR dan Dialog Pertemuan Pemimpin Adat Melayu Serumpun ketiga di Bengkalis, Riau, Indonesia, baru-baru ini, mencapai lapan resolusi dalam usaha memastikan warisan Melayu serumpun dapat dihayati, dikembang dan dimartabatkan di kalangan bangsa Melayu.

Resolusi agar Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) yang berpusat di Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) dijadikan Sekretariat Majlis Pemuafakatan Adat Melayu Serumpun sudah pasti menaikkan citra Malaysia.

DMDI yang dibentuk pada 2000 dan berpusat di Melaka dengan tujuan menjana kesungguhan Melayu Islam dalam segala aspek kehidupan, akan bersama Lembaga Adat Melayu Riau Bengkalis menyelaraskan adat Melayu serumpun.

Beberapa lagi resolusi yang dicapai pada Pertemuan Pemimpin Adat Melayu Serumpun yang menghimpunkan lebih 800 peserta dari Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia itu termasuklah:

l Majlis Pemuafakatan Adat Melayu Serumpun (MPAMS) dibentuk bagi menyelaras dan menjalankan kegiatan berkaitan adat serta seni budaya Melayu serumpun di bawah Biro Sosio Budaya Sekretariat DMDI.

l Perencanaan dan pelaksanaan pembangunan di kawasan rumpun Melayu perlu mengarah kepada nilai asas kebudayaan dan adat Melayu di kawasan masing-masing.

@ Kepimpinan adat hendaklah memainkan peranan penting dalam menggalakkan pembabitan generasi muda menghayati adat Melayu dengan mengadakan program pada peringkat daerah, kabupaten, negeri, provinsi dan negara Melayu serumpun.

l Majlis Permuafakatan Adat Melayu sewajarnya menganugerahkan kepimpinan adat dan anugerah adat serta seni budaya di kalangan generasi muda Melayu serumpun dengan memilih tokoh seperti Siti Nurhaliza umpamanya sebagai model contoh dalam adat.

l Dalam usaha memartabatkan adat dan seni budaya Melayu serumpun, setiap negeri/kabupaten dan provinsi melahirkan Muzium Khazanah Melayu manakala Kabupaten Bengkalis akan menzahirkan Muzium Ketuanan Melayu yang mengutamakan baju, tanjak dan keris dalam Rumpun Melayu.

l Biro Sosio Budaya DMDI bertanggungjawab menentukan lokasi Pertemuan Pemimpin Adat Melayu Serumpun ke-4.

Pada majlis itu, Presiden DMDI yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, dianugerahi Adat Sri Utama Dwibuana oleh Gabenor Riau, H M Rusli Zainal, kerana usahanya mewujudkan keamanan dan menyatupadukan masyarakat Melayu serumpun.

Pengerusi Biro Sosiobudaya DMDI, Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar, yang hadir sama pada majlis itu berkata, sejak biro terbabit dibentuk sudah berlangsung Perkampungan Seniman di Melaka pada 2002 dan 2003.

“Program kali kedua yang menarik 200 penyertaan daripada Rumpun Melayu menetapkan adat rumpun Melayu diamalkan dengan berslogankan `adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah',” katanya.

Beliau menyifatkan Pertemuan Pemimpin Adat Melayu Serumpun ke-3 di Bengkalis bermakna kerana Bengkalis sebelum ini adalah sebuah pelabuhan entrepot yang menghubungjalinkan budaya dan agama bangsa Melayu di Kepulauan Nusantara.

"Pertemuan kali ini mengingatkan kita kepada kehebatan bangsa Melayu suatu masa dulu iaitu kepahlawanan bangsanya, pengaruh perkembangan Islamnya dan kemajuan ekonomi.

"Kekuatan bangsa Melayu terbina atas semangat kesatuan dan perpaduan rumpun Melayu tanpa ada sentimen kenegaraan atau kenegerian yang dibataskan oleh sempadan geografi pada masa itu," katanya.

Turut berlangsung pada pertemuan itu ialah seminar dan dialog sehari membabitkan pembentangan kertas kerja termasuk `Peranan Adat Dalam Pembangunan Melayu Serumpun' oleh Tenas Effendi dari Riau; `Kesatuan dan Perpaduan Adat Melayu Serumpun' (Prof Abdul Latif) `Sumbangan Adat Melayu Dalam Pembinaan Ummah' (Dr Mamam S dan `Adat Untuk Generasi Muda' (Taufik Ikram Jamil).

Pada Pertemuan Pemimpin Adat Melayu Serumpun itu turut diadakan Pekan Budaya Melayu Serumpun dengan kegiatan Majlis Anugerah Adat, Perasmian Balai Adat Se-Kabupaten Bengkalis, Majlis Pengukuhan 175 Penghulu Adat Se-Kabupaten Bengkalis, Pameran Warisan Budaya Melayu Serumpun, Persembahan Seni Warisan Melayu, Permainan Rakyat, Majlis Junjung Taju dan Perarakan Adat Melayu Serumpun.
Thursday, June 02, 2005 | 0 comments

Sikap emosional rakyat Australia tak berasas

Nota Kaki: Sikap emosional rakyat Australia tak berasas
Oleh Mustapa Omar
musomar@nstp.com.my



ADA apa pada Schapelle Corby? Wanita berusia 27 tahun yang dihukum penjara 20 tahun oleh Mahkamah Indonesia Jumaat lalu selepas didapati bersalah menyeludup 4.1 kilogram ganja ke Bali, mendapat pembelaan bukan saja dari Kerajaan Australia, malah sebahagian daripada rakyat negara itu.
Selain enggan menerima keputusan yang boleh dianggap ringan itu, mereka juga membuat pelbagai ugutan termasuk mahu memulaukan Pulau Bali sebagai destinasi pelancongan serta menuntut dipulangkan semula sumbangan dan bantuan yang pernah dihulurkan kepada mangsa bencana alam di Indonesia tempoh hari.

Begitu anehnya sikap rakyat negara maju itu. Sepatutnya rakyat Australia menghormati undang-undang negara lain dan menerima keputusan mahkamah dengan hati terbuka, bukan secara emosional membuta tuli. Itu baru hukuman penjara dan denda, belum lagi hukuman mati atau penjara seumur hidup!

Mungkin mereka boleh memulaukan Indonesia, tidak melancong ke negara itu dan tidak berhubung dengan rakyat republik itu. Mereka boleh melakukannya kerana itu hak mereka, tetapi jika sampai menuntut semula apa yang pernah mereka sumbangkan kepada mangsa bencana alam, termasuk tsunami di Aceh, itu mungkin sudah melampau.

Apakah rakyat Indonesia juga perlu menggantikan nyawa sembilan anggota Tentera Laut Australia yang terkorban apabila helikopter Sea King terhempas dalam misi bantuan mangsa gempa bumi di Pulau Nias, April lalu?

Hakikatnya, Kerajaan Australia nampaknya tunduk kepada kehendak rakyat dan medianya yang mendakwa Corby tidak bersalah dan menjadi mangsa penganiayaan, walaupun mereka menyedari semua itu hanya andaian mereka, sedangkan keputusan mahkamah mendapati Corby bersalah.

Bagaimanapun, kita memuji sikap Perdana Menteri Australia, John Howard, yang mengkritik sikap segelintir rakyat Australia itu, malah menganggap desakan mereka supaya beliau campur tangan dan menghubungi pemimpin Indonesia bagi pembebasan Corby sebagai ‘tindakan bodoh’.

Laporan rasmi setakat ini menunjukkan 155 rakyat Australia kini berada di penjara luar negara dengan dua daripada mereka sedang menanti hukuman mati, tetapi belum ada kes yang mendapat perhatian masyarakat seperti kes Corby. Jadi apa istimewanya Corby berbanding tahanan lain?

Kita pernah mengalami masalah sama apabila dua rakyat Australia, John Kevin Barlow dan Brian Geoffrey Chambers, dihukum gantung oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 1985 kerana mengedar 179.56 gram heroin di negara ini. Ketika itu, pelbagai pihak di Australia mengecam keputusan berkenaan, tetapi kita tidak menghiraukannya kerana bagi kita undang-undang adalah untuk ditegakkan, bukan dipertikaikan.

Malah, seorang wanita rakyat Malaysia, Rozana Zubir, 36, kini menghadapi nasib hampir sama dengan Corby apabila dia dituduh menyeludup lima kilogram candu ke Australia pada 1 April lalu. Kesnya kini masih dibicarakan di mahkamah negara itu.

Rozana mendakwa dadah itu dimasukkan ke dalam bagasinya oleh seorang lelaki warga Iran tanpa pengetahuannya, malah lelaki Iran itu sendiri sudah ditahan oleh polis Malaysia di pangsapurinya di Ampang, Selangor, pada 6 April lalu dengan dua kilogram candu ditemui bersamanya.

Setakat ini, Kerajaan Malaysia sudah menyatakan pendirian tidak akan masuk campur dalam kes berkenaan kerana menghormati proses perundangan di negara itu, sebaliknya hanya akan memberi bantuan sewajarnya termasuk memastikan kebajikan Rozana terjamin ketika dipenjara.

Tetapi malangnya, sebahagian rakyat Australia bersikap tidak rasional, malah semalam ada pihak tidak bertanggungjawab menghantar serbuk mengandungi bakteria jenis bakilus yang mempunyai kaitan dengan virus antraks, ke Kedutaan Indonesia di Canberra, menyebabkan polis terpaksa menutup sementara kedutaan itu dan 22 kakitangannya diarah terus berada dalam bangunan berkenaan.

Jika sebelum ini Australia begitu ghairah menuduh sebarang ancaman keselamatan pasti dilakukan oleh pengganas Islam dan mengaitkannya dengan al-Qaeda, kini mereka tergamam seketika malah Menteri Luarnya, Alexander Downer, percaya kejadian itu ada kaitan dengan perasaan marah rakyat negara itu berhubung kes Corby.

Pengakuan Downer itu mungkin berasas kerana sebelum ini kakitangan kedutaan itu pernah menerima ancaman bunuh, selain sepucuk surat yang mengandungi peluru turut dihantar di Pejabat Konsulat Indonesia di Perth bulan lalu.

Apapun, tindakan seperti itu amat membimbangkan dan ia bukan caranya untuk menyelesaikan masalah. Mahkamah sudah membuktikan Corby bersalah dan apakah wajar nyawa 22 kakitangan Kedutaan Indonesia di Canberra menjadi galang gantinya.[BH, 2/6/2005, MS 12]
Thursday, June 02, 2005 | 0 comments

Ratu Kanada Miss Universe 2005



BANGKOK 31 Mei - Ratu Kanada yang dinobatkan sebagai Miss Universe 2005, Natalie Glebova tidak menyangka dimahkotakan gelaran itu lebih-lebih lagi kebanyakan daripada finalis adalah dari negara-negara Amerika Latin yang terkenal dengan kejelitaan mereka.

Pada pertandingan penuh gilang-gemilang di sini hari ini, Glebova, 23, yang bermata biru itu berjaya menarik perhatian 12 orang panel juri mengatasi pencabar utama Cynthia Olavarria dari Puerto Rico yang sebelum ini diramalkan akan menang.

Tempat ketiga dirangkul Renata Sone (Republik Dominica), Laura Elizondo (Mexico) dan Monica Spear (Venezuela).

Glebova dilahirkan di Rusia telah berhijrah ke Kanada sejak usianya 12 tahun.

``Saya merasakan suasana ini berlaku terlalu pantas dan seperti palsu,'' kata Glebova yang memakai sepasang gaun putih kepada pemberita yang mengerumuninya sebaik sahaja keputusan diumumkan.

``Saya sentiasa cuba untuk menjadi optimistik dan mempunyai pandangan yang positif mengenai kehidupan,'' katanya ketika menjawab soalan terakhir pada pertandingan tahunan kali ke-54 itu.

Ketika bercakap kepada wartawan, Glebova berkata, beliau akan menggunakan peranannya sebagai Miss Universe bagi mempertingkatkan tahap kesedaran dan mengumpul derma untuk membantu program penyelidikan HIV/AIDS.

``Semua ini berlaku dengan pantas. Walau bagaimanapun, saya tidak sabar untuk mengikuti program yang telah diatur sepanjang tahun ini,'' katanya.

Pada tahun lepas, gelaran Miss Universe dimenangi oleh Jennifer Hawkins dari Australia. - AP

Thursday, June 02, 2005 | 0 comments

Penganut Hindu terus tuntut Taj Mahal

Written By Syafrein Effendiuz on 6/1/05 | Wednesday, June 01, 2005

Taj Mahal

AGRA, India 18 Mei - Pertikaian berhubung hak pemilikan ke atas Taj Mahal terus berlangsung sewaktu monumen terkenal dunia itu meraikan ulang tahun ke-350 tahun ini.

Struktur seni bina unggul dari abad ke-17 yang dibina oleh Maharaja Shah Jahan sebagai simbol cinta kepada isterinya, Mumtaz Mahal, kini dimiliki dan diuruskan oleh Kajian Arkeologi India.

Bagaimanapun Lembaga Wakaf Sunnah yang menjaga kawasan perkuburan serta masjid penganut Sunnah di seluruh India menegaskan bahawa Taj Mahal adalah milik lembaga itu kerana ia menempatkan makam Mumtaz dan Shah Jahan yang merupakan pengikut Sunah.

Selain makam Shah Jahan dan isterinya, Taj Mahal yang terletak di Uttar Pradesh itu turut menempatkan kubur-kubur kerabat diraja.

Sementara itu, pihak Vishwa Hindu Parishad (VHP) masih meneruskan tuntutan ke atas Taj Mahal dengan alasan istana itu dibina di atas kuil Hindu yang didirikan untuk dewa Shiva sebelum ia dimusnahkan bagi membolehkan pembinaan simbol cinta Shah Jahan itu.

VHP mendesak agar Taj Mahal diisytiharkan sebagai sebuah kuil Hindu kerana `kuil asal tertimbus di bawah binaan masjid' tersebut.

Sementara itu, pengarah Kajian Arkeologi, Ghulam Ali Qamar menegaskan bahawa tidak ada sesiapa yang memasuki bahagian bawah tanah Taj Mahal sejak beliau mengambil alih tugas menjaga Taj Mahal di antara tahun 1958 dan 1976.

``Kami pernah cuba menggali satu lubang untuk melihat apa yang ada di bawahnya tetapi lantai tersebut sangat tebal dan kami gagal berbuat demikian,'' katanya.

Bagaimanapun, Pengerusi Wakaf Sunnah, Hafiz Usman berkata, mereka akan melakukan apa sahaja termasuk membawa kes itu ke Mahkamah Agung untuk mendapatkan Taj Mahal.

``Mereka boleh berkata apa sahaja tetapi hakikatnya, Taj Mahal mengandungi kubur Shah Jahan iaitu orang yang membinanya dan kerana itu ia kini adalah milik Wakaf ini,'' tegas Hafiz. - AP

Wednesday, June 01, 2005 | 0 comments

Blog Archives