Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Bincang dengan Majlis Mufti

Written By JOM JALAN on 25/04/09 | Sabtu, April 25, 2009

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
utusanperak@utusan.com.my
IPOH 24 April - Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, sebarang keputusan membabitkan agama Islam sepatutnya dibincangkan dengan Majlis Mufti-Mufti Malaysia terlebih dahulu.

Sambil menyatakan dukacitanya dengan keputusan Kabinet berkaitan isu anutan anak-anak apabila ibu atau bapa mereka menukar agama, beliau berkata, jika keputusan itu dikekalkan, ia menimbulkan kekeliruan kerana bertentangan dengan ajaran Islam.

''Dalam agama Islam, mana-mana bapa atau ibu bukan Islam memeluk Islam, anak mereka dengan sendirinya menganut Islam kecuali jika anak itu berumur lebih 15 tahun,'' katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan Kabinet berhubung isu pertikaian agama anak-anak apabila ibu atau bapa memeluk agama lain.

Semalam, Kabinet memutuskan bahawa anak kepada pasangan yang menukar agama yang masih di bawah umur hendaklah dibesarkan mengikut agama asal ibu bapa mereka semasa melangsungkan perkahwinan.

Keputusan itu merujuk kepada mana-mana pasangan yang memeluk Islam harus menyelesaikan isu berkaitan perceraian dan penjagaan anak-anak di mahkamah sivil dan bukannya Mahkamah Syariah.

Harussani berkata, agama Islam tidak seharusnya dikorbankan hanya kerana mahu memuaskan kehendak pihak-pihak tertentu.

''Jangan korbankan agama, akidah dan kepercayaan kita untuk hanya melayan atau menyenangkan orang lain dalam perkara ini,'' katanya.

Dalam pada itu, Harussani memberitahu, banyak pihak meminta kerajaan negeri membantah penganjuran program Jom Heboh di pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut mulai esok.

Bagaimanapun, katanya, program berkenaan dibuat oleh TLDM dan tidak melalui kerajaan negeri.

''Saya tidak bersetuju dengan sebarang program berbentuk hiburan yang melalaikan,'' katanya.

Pada 2004, Majlis Mufti-Mufti Malaysia memutuskan bahawa konsert Jom Heboh adalah haram kerana ia melalaikan dan menggalakkan maksiat di kalangan anak muda.



Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, UsahawanInternet.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-chargezeromax.com, manggis.info,

Sabtu, April 25, 2009 | 0 ulasan

100 NGO bantah keputusan Kabinet

KUALA LUMPUR 24 April - Lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini membantah keputusan Kabinet yang menetapkan kanak-kanak bawah umur kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun selepas salah seorang pasangan itu menukar agama.

Menurut mereka, keputusan yang bersifat reaktif terhadap tekanan daripada masyarakat bukan Islam tidak wajar dilaksanakan kerana ia dibuat tanpa melibatkan perbincangan menyeluruh dengan para mufti, pakar perundangan dan NGO Islam.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Mohamad Isa Abd. Ralip berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan keputusan Kabinet itu kerana ia telah menafikan hak ibu atau bapa yang telah memeluk Islam untuk mendidik anak-anak mengikut agama baru yang dianutinya.

Beliau berkata, ibu atau bapa harus dibenarkan untuk mengislamkan anak-anak mereka selaras dengan kaedah fikah yang menetapkan apabila seseorang itu telah memeluk Islam maka dia hendaklah mempertahankan agama dan keturunannya.

''Keputusan Jemaah Menteri bertentangan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2007 yang memberikan hak kepada Muhammad Shafi Saravanan Abdullah untuk mengislamkan kedua-dua anaknya tanpa pengetahuan atau mendapat persetujuan isterinya, R. Subashini yang masih beragama Hindu.

''Walaupun tiada peruntukan khusus dalam enakmen keluarga Islam berhubung perkara itu, kita tetap perlu mengikut keputusan mahkamah tertinggi iaitu Mahkamah Persekutuan," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar bersama-sama wakil daripada lebih 100 NGO Islam di Sekretariat PGSM di sini hari ini.

Mohamad Isa mengulas keputusan Kabinet itu yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz semalam.

Keputusan itu adalah berdasarkan syor yang dibuat oleh jawatankuasa khas Kabinet bagi menyelesaikan kes K. Pathmanaban, 40, atau nama Islamnya, Mohd. Ridzuan Abdullah yang bertindak menukar agama anaknya, Tevi Darsiny, 12, Karan Dinesh, 11, dan Prasana Diksa, setahun, serta memohon hak penjagaan terhadap tiga anaknya itu di Mahkamah Syariah Ipoh.

Langkah itu telah dibantah oleh ibu kanak-kanak terbabit, M. Indra Ghandhi, 35, yang masih beragama Hindu kerana mendakwa Mohd. Ridzuan berbuat demikian tanpa pengetahuannya.

Setiausaha Agung Peguam Pembela Islam (PPI), Zainul Rijal Abu Bakar pula berkata, Kabinet seharusnya mengambil kira pandangan kebanyakan ulama yang secara jelas menyatakan bahawa apabila salah seorang daripada ibu atau bapa memeluk Islam, maka anak-anaknya mesti menganut agama itu.

Menurut beliau, sebarang keputusan untuk mengekalkan anak-anak dengan agama asal ibu bapa juga harus mengambil kira Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut salah seorang ibu atau bapa boleh menentukan agama anak-anak.

''Peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan telah disahkan menerusi keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes R. Subashini yang memutuskan adalah memadai salah seorang ibu atau bapa membuat keputusan untuk anaknya yang di bawah umur memeluk Islam," ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, UsahawanInternet.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-chargezeromax.com, manggis.info,

Sabtu, April 25, 2009 | 0 ulasan

Hukum syarak penentu status agama anak

KUALA LUMPUR 24 April - Penentuan status agama anak apabila ibu atau bapanya memeluk agama Islam perlu dilihat daripada aspek syarak dan perundangan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa agama seseorang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.

''Berdasarkan pada peruntukan ini, persetujuan salah satu pihak sahaja adalah memadai dalam penentuan agama seorang kanak-kanak.

''Ini kerana perkataan yang digunakan dalam Perkara 12(4) adalah 'parent or guardian' bukannya 'parents or guardian' yang mana ia bermaksud ibu atau bapa atau penjaga,'' katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Tambah Wan Mohamad, dalam Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 Akta 505 memperuntukkan bahawa seseorang kanak-kanak yang belum mencapai umur 18 tahun boleh memeluk Islam jika ibu atau bapa mengizinkannya.

''Mengikut hukum syarak pula mereka yang berhak menjaga dan memelihara anak mestilah seorang Islam kerana jika orang yang menjaga itu bukan Islam, dikhuatiri akan memberi fitnah kepada agama kanak-kanak di bawah jagaannya.

''Hak seorang mualaf di sisi undang-undang juga perlu dipertahankan. Kita tidak sewajarnya menganggap seseorang yang memeluk Islam itu bertujuan melarikan diri daripada tanggungjawab,'' katanya.

Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, UsahawanInternet.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-chargezeromax.com, manggis.info,

Sabtu, April 25, 2009 | 0 ulasan

Anak-anak kekal agama asal walaupun salah seorang ibu bapa bertukar agama

KUALA LUMPUR 23 April – Kabinet memutuskan bahawa anak kepada pasangan yang menukar agama yang masih di bawah umur hendaklah dibesarkan mengikut agama asal ibu bapa mereka semasa melangsungkan perkahwinan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, mesyuarat semalam turut memutuskan mana-mana pasangan yang memeluk Islam harus menyelesaikan segala isu berkaitan perceraian dan penjagaan anak-anak di mahkamah sivil dan bukannya mahkamah syariah.

Katanya, langkah itu selaras dengan pendirian Kabinet bahawa undang-undang syariah hanya boleh digunakan terhadap perjanjian berkaitan perkahwinan yang dibuat bermula dari tarikh individu itu memeluk Islam dan bukannya sebelum itu.

‘‘Kita juga memutuskan bahawa perkahwinan individu yang memeluk Islam yang dibuat menerusi proses sivil tidak akan terbatal secara automatik.

‘‘Ini bagi memastikan tiada mana-mana pihak yang tidak bersalah diperlakukan secara tidak adil dan mengelak pasangan menggunakan alasan memeluk Islam untuk lari daripada tanggungjawab,’’ katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Beliau memberitahu, keputusan itu dibuat sebagai penyelesaian jangka panjang bagi menangani isu tukar agama dan terbaru berkaitan dengan kes K. Pathmanaban dari Ipoh yang membawa tiga anaknya memeluk Islam, baru-baru ini.

Kata Mohamed Nazri, keputusan itu adalah berdasarkan pandangan jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi menyelesaikan kes Pathmanaban atau nama Islam, Mohd. Ridzuan Abdullah, 40.

Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Nasional dan Pengurusan Prestasi), Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon turut disertai Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom; dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Tiga kanak-kanak berkenaan iaitu Tevi Darsiny, 12; Karan Dinesh, 11 dan Prasana Diksa, setahun, yang dibawa memeluk Islam oleh Mohd. Ridzuan pada 12 April lalu dengan hanya menggunakan bukti sijil kelahiran.

Beliau juga telah membuat permohonan untuk mendapatkan hak penjagaan terhadap tiga kanak-kanak terbabit di Mahkamah Syariah.

Bagaimanapun, tindakan Mohd. Ridzuan itu dibantah oleh ibu kanak-kanak berkenaan, M. Indira Ghandi, 35, yang mahukan anak- anaknya kekal dengan agama Hindu.

Dalam pada itu, Mohamed Nazri berkata, walaupun Kabinet telah membuat keputusan, kerajaan tetap bersedia mendengar pandangan rakyat sekiranya mereka berpendapat langkah terbaru itu mempunyai kelemahan.- Utusan, 23/04/2009

Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com, UsahawanInternet.com, dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, i-chargezeromax.com, manggis.info,

Sabtu, April 25, 2009 | 0 ulasan