Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Nahas jalan raya terburuk

Written By SEUZ on 21/12/10 | Selasa, Disember 21, 2010

Nahas terburuk

Oleh Shamsul Kamal Amaruddin, Mohd Feroz Abu Bakar, Nurhayati Abllah, Ravale Savarinathan dan Muhammad Saufi Hassan
bhnews@bharian.com.my
2010/12/21


27 termasuk 25 pelancong Thailand balik dari Cameron Highlands terbunuh

SIMPANG PULAI: Dahsyat dan mengerikan. Itulah gambaran keadaan nahas jalan raya terburuk dalam sejarah negara membabitkan sebuah bas persiaran dua tingkat yang mengorbankan 27 orang - 25 pelancong Thailand dan dua rakyat tempatan di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai berhampiran Kampung Juang di sini, semalam.

Dalam nahas kira-kira jam 11.40 pagi, bas yang membawa 37 penumpang dari Cameron Highlands itu dikatakan terbabas dan melanggar pembahagi jalan ketika menuruni bukit serta melalui selekoh tajam sebelum terbalik dan terhumban ke dalam longkang sedalam dua meter di laluan bertentangan.

Nahas itu menyebabkan kedua-dua tayar depan bas terbabit tercabut dan tercampak ke longkang di laluan bertentangan, manakala bumbungnya ranap sama sekali dengan lebih 10 mayat bergelimpangan di jalan raya dan longkang manakala selebihnya termasuk yang cedera tersepit dalam kenderaan berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof, berkata 22 penumpang mati di tempat kejadian, lima lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), manakala 10 cedera termasuk dua kritikal.

Dua rakyat tempatan yang terkorban ialah pemandu bas berkenaan yang bekerja sebagai pemandu bas syarikat SK Murni Travel & Tours, Omar Shahidan, 48, dari Kangar, Perlis, serta pemandu pelancong, Soontorn a/l Kian, 38. Pelancong Thailand yang maut pula membabitkan lapan lelaki dan 17 wanita.

Zakaria berkata, semua pelancong terbabit dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk mengambil penerbangan pulang ke Bangkok.

Bercakap kepada pemberita di lokasi kejadian, beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika bas yang dipandu laju itu menuruni bukit di satu selekoh tajam sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

"Pemandu bas dipercayai hilang kawalan menyebabkan bas itu terbalik dan terjatuh ke dalam longkang sedalam kira-kira dua meter. Ada di antara penumpang tercampak dan tersepit di bahagian tempat duduk menyebabkan kebanyakan mereka meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pasukan penyelamat terdiri daripada 100 anggota dan pegawai polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan kira-kira jam 12 tengah hari dan tiba di tempat kejadian kira-kira 10 minit kemudian," katanya.

Tinjauan Berita Harian di tempat kejadian mendapati dua tayar serta lampu isyarat kanan bas itu tercampak di laluan bertentangan dipercayai tertanggal ketika melanggar pembahagi jalan.

Kemalangan itu turut menyebabkan kesesakan lebih lima jam apabila polis terpaksa menutup kedua-dua laluan bagi menyekat aliran trafik untuk melancarkan operasi menyelamat serta mengeluarkan mangsa.


KRONOLOGI

  • 11 pagi – Bas dipercayai bergerak dari Cameron Highlands ke Simpang Pulai

  • 11.40 pagi – Bas terbabit kemalangan

  • 11.59 pagi – Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai menerima panggilan kecemasan

  • 12.05 tengah hari – Laluan kedua-dua arah dari Simpang Pulai–Cameron Highlands ditutup

  • 12.10 tengah hari – Bantuan dari BBP Gopeng dan Ipoh tiba dan kerja mengeluarkan mangsa dilakukan

  • 12.13 tengah hari – Mangsa pertama dikeluarkan

  • 2.37 petang – Kren untuk mengangkat bas tiba

  • 2.55 petang – Mangsa terakhir dikeluarkan

  • 3.08 petang – Bas dialih untuk kerja mencari mangsa dilakukan

  • 4.00 petang – Kedua-dua laluan dibuka semula

  • 5.00 petang – Bas ditarik ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) di Simpang Pulai


    INFO
    Senarai mangsa yang terbunuh dalam nahas bas di Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai


    Rakyat Malaysia


    1. Omar Shahidan, 48 (tahun) (pemandu bas)
    2. Soontorn a/l Kian, 38 (pemandu pelancong)


    Rakyat Thailand (lelaki)

    3. Poonporn Poolsaeng, 41
    4. Charcart Knagsuwan, 48
    5. Sumruay Swatphet, 48
    6. Pongthanest Akkrarachewwanont, 45
    7. Thitisak Pongtanarat, 51
    8. Ekachai Na Banexane, 64
    9. Phayone Krujinli, 49
    10. Weera Chungtanagon


    Rakyat Thailand (wanita)

    11. Natkritta Poolsaeng, 6
    12. Thanyarat Poolseng, 36
    13. Achara Wiwati, 36
    14. Nutthiya Inyim, 50
    15. Puthnaree Akkrarachewwanont, 42
    16. Sunchanchira Chaigueai, 40
    17. Sriwai Swatphet, 42
    18. Priya Prassakul Chai, 38
    19. Chutima Throukooi, 25
    20. Junpen Pongtanarat, 50
    21. Mantana Phromduang, 51
    22. Maliwan Mekmahaprom, 53
    23. Ampaiwan Thianhtham, 50
    24. Isariya Thiangtham, 25
    25. Darunee Songsern
    26. Rung Da
    27. Areena Songserm



  • Sumber: Berita Harian untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, Munakahat, Rakan Niaga TM, Catatan Sekilas, Perkahwinan, NikahKahwin.Co.Cc, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Score A, My Biz Online.
    Selasa, Disember 21, 2010 | 0 ulasan

    Tiket konsert Maher Zain habis!

    Written By SEUZ on 10/10/10 | Ahad, Oktober 10, 2010

    Oleh ARIF NIZAM ABDULLAH
    Foto ABDUL NAZIR MOHAMED


    BERSANDARKAN album pertama, Thank You Allah dilancarkan pada 1 November lalu, nama Maher Zain tiba-tiba mencetus satu fenomena dalam industri muzik di seluruh dunia.

    Album penyanyi berusia 28 tahun itu mencatat kedudukan nombor satu dalam Carta Amazon‘s World Music dan nombor sembilan dalam Carta R&B.

    Manakala muzik videonya ditonton hampir sejuta pengunjung di laman youtube, selain konsert Maher turut mendapat sambutan hebat di Algeria, Australia, Belgium, Kanada, Mesir, England, Perancis, Belanda, Sweden dan Amerika Syarikat.

    Di Malaysia, nama Maher tidak terlepas menjadi sebutan masyarakat. Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, tidak kira golongan lelaki atau wanita asyik bercerita tentang lelaki ini.

    Bertemu dengan penyanyi antarabangsa itu selepas majlis penyerahan sebuah kereta Persona Elegance oleh Proton Holdings Bhd. (Proton) di Shah Alam, Selangor, pada Selasa lalu, Maher ditanya tentang kejayaan yang diraih secara mendadak dan sekelip mata.

    Penyanyi kelahiran Tripoli, Lebanon itu mengakui dia berasa gembira apabila mesej-mesej yang ingin disampaikan dalam albumnya diterima baik peminat di seluruh dunia.

    Katanya, ini kerana penghasilan album sulungnya itu didorong satu penghijrahan besar dalam dirinya yang sebelum ini bukanlah seorang muslim yang taat pada agama.

    “Tiga tahun lalu, hidup saya terlalu jauh dengan Allah S.W.T akibat terpesong dengan cara hidup sosial yang terlalu bebas apabila sering mengunjung kelab malam.

    “Hinggakan saya terus hanyut dan menjadi alpa sehingga lupa bagaimana membaca surah Al-Fatihah sebelum dibukakan hati ini untuk berubah dan kembali ke jalan benar.

    “Alhamdulillah, saya diberi kesempatan untuk menebus dosa-dosa silam dengan mencari rakan yang tidak pernah meninggalkan sembahyang dan sering pergi ke masjid,” katanya yang memiliki sarjana muda dalam bidang Kejuruteraan Aeronautik.

    Namun tegas Maher, pada masa sama dia tidak boleh melupakan bidang muzik sebagai salah satu medium untuk menyampaikan mesej-mesej positif kepada orang lain agar mereka tidak terpesong seperti mana yang dilaluinya sebelum ini.

    Album penenang jiwa

    “Sedaplah lagu-lagu dia, cuba dengar dekat laman youtube,” kata seorang rakan wanita yang tidak jemu-jemu memuji Maher.

    Bertambah kronik, seorang lagi rakan mengangkat nama Maher ke tahap lebih tinggi apabila membandingkannya dengan kumpulan nasyid, Raihan dan Cat Stevens pula.

    “Dia macam Raihan yang dulu tiba-tiba muncul dengan album nasyid di negara ini yang membawa satu fenomena yang tidak dijangka. Maher memang fenomena,” hujahnya bersungguh-sungguh dengan mimik muka serius.

    Akibat terlalu ramai sangat yang bercakap tentang Maher ini, saya berpeluang mendengar lagu-lagunya di laman youtube.

    Bagi yang pertama kali mendengarnya, tidak mustahil anda akan jatuh cinta dengan lagu-lagu Maher.

    Malah sukar pula hendak memilih lagu mana yang menarik kerana kesemuanya memiliki kekuatan masing-masing.

    Hampir semua lagunya berunsur ketuhanan dan sesuai dengan pelbagai lapisan umur serta yang penting ia boleh membuatkan hati tenang apabila mendengarnya.

    Album bertajuk Thank You Allah menggabungkan pelbagai elemen muzik seperti pop, R&B dan world music bagi dikategorikan sebagai nasyid kontemporari.

    Selain berkonsepkan keislaman, isu kemanusiaan sejagat turut diketengahkan dalam lirik lagu-lagu Maher. Paling mencuit hati lirik lagu Thank You Allah, The Rest of My Life dan Insha Allah.

    Dan pada Khamis dan Jumaat Oktober ini, penyanyi yang berhijrah ke Sweden pada usia lapan tahun itu dan mencipta nama di sana akan mengadakan konsert pertamanya di negara ini.

    Tiket konsert habis

    Mahir akan menjayakan konsertnya bertemakan Save The Soul di Auditorium MBSA, Shah Alam bermula pukul 8 malam.

    Konsert anjuran rumah perlindungan wanita, Raudatul Sakinah itu bertujuan bagi meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia tentang isu pembuangan bayi yang semakin berleluasa di negara ini.

    Bagaimanapun tiket-tiket untuk dua malam konsert itu telah habis dijual untuk kapasiti tempat duduk berjumlah 1,400 orang di auditorium itu.

    Maher berkata, dia sudah tidak sabar lagi mengadakan konsert itu sekali gus bertemu peminat kesayangan di negara ini.

    Jelasnya, konsert pertama itu merupakan langkah pertama untuk menghargai jasa peminat di Malaysia yang menyokong albumnya.

    Kata penyanyi itu, perasan teruja semakin bertambah apabila mengetahui namanya sudah menjadi sebutan di kalangan peminat seni tanah air.

    “Persediaan bagi konsert itu berjalan lancar dan sebanyak lapan lagu akan disampaikan pada malam tersebut.

    “Apa yang saya boleh katakan adalah perasaan sangat terharu apabila diterima baik oleh masyarakat negara ini dan yang lebih mengejutkan saya apabila mendapat tajaan daripada sebuah syarikat besar Malaysia.

    “Saya sebenarnya tidak tahu apa-apa tentang Malaysia tetapi sebaik sampai di sini saya sangat tertarik dengan sikap masyarakat negara ini yang sentiasa merendah diri dan ramah,” katanya yang terkenal dengan imej bertopi.

    Sambung Maher, dia dan isterinya, Aisha ibarat sudah jatuh cinta dengan Malaysia sambil menyifatkan negara ini sebuah negara Islam yang sangat aman.

    Mereka juga merancang menggunakan peluang dua minggu berada di sini untuk mengunjungi tempat-tempat menarik.

    Kerjasama dengan Proton

    Sementara itu, Proton buat pertama kalinya menaja kereta model Persona Elegance sebagai kereta rasmi kepada penyanyi antarabangsa itu sempena konsert solonya nanti.

    Kereta tersebut akan digunakan Maher bersama krew sepanjang dia berada di negara ini.

    Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamad Tahir berkata, tujuan tajaan itu kerana syarikat memerlukan kolaborasi dengan artis luar negara dalam usaha membawa jenama Proton ke peringkat global.

    Beliau berkata, pemilihan Maher itu berdasarkan reputasi tinggi yang dimiliki ketika ini selain menampilkan nilai-nilai peribadi yang baik.

    “Proton begitu gembira dapat memberi sokongan kepada Maher yang pertama kali akan membuat konsert selama dua malam di negara ini.

    “Kolaborasi ini dilihat penting kepada syarikat bagi mengembangkan jenama Proton di peringkat global pada masa akan datang,” katanya yang juga peminat setia Maher.

    Syed Zainal berkata, kolaborasi itu tidak terhenti di Malaysia sahaja kerana pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama lagi dengan Maher pada masa akan datang membabitkan pasaran negara-negara luar.

    Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, Munakahat, Rakan Niaga TM, Catatan Sekilas, Perkahwinan, NikahKahwin.Co.Cc, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Score A, My Biz Online.
    Ahad, Oktober 10, 2010 | 0 ulasan

    TKI protes Bendera

    Written By SEUZ on 2/10/10 | Sabtu, Oktober 02, 2010

    Mohd. Jasmani Yusoff (kiri) menasihati warga Indonesia agar tidak menimbulkan keributan ketika mengadakan aksi demonstrasi damai di Taman Kerang, Kuantan, semalam. - BERNAMA
    KUANTAN 1 Okt. - Sekitar 200 TKI di sini mengadakan demonstrasi secara aman untuk membantah tindakan anggota Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) yang mencoba membuat kacau dan mengancam rakyat Malaysia di republik itu.

    Mereka yang rata-ratanya bekerja di sekitar daerah ini berkumpul di Taman Kerang, di sini sekitar jam 11 pagi sebelum mengadakan demonstrasi membawa spanduk selama 30 menit.

    Wakil TKI tersebut, Suratman UUM, 40, kecewa dengan ulah Bendera karena mencoba mempengaruhi hubungan baik antara dua negara bertetangga itu.

    "Kami ingin Bendera tidak mengganggu rakyat Malaysia yang berada di Indonesia karena kami di sini tidak pernah diganggu sepanjang berada di sini.

    "Kita serumpun dan bertetangga, malah hubungan erat antara kedua negara telah terjalin sejak sekian lama.

    "Jadi, janganlah kita bergaduh disebabkan hal sepele dan terpencil," katanya ketika ditemui wartawan di sini hari ini.

    Justru, ia yang berasal dari Jawa Barat, Indonesia dan telah bekerja selama 12 tahun di negara ini mendesak Bendera tidak melanjutkan perbuatan itu.

    Pekerja ladang kelapa sawit, Saroni Husain, 48, dari Surabaya, Indonesia dan telah bekerja di negara ini selama 18 tahun mengakui rakyat Indonesia di sini muak dengan tindakan Bendera yang keterlaluan.

    "Hubungan Indonesia dan Malaysia adalah seperti saudara ... Jadi, tidak perlu kita bertelingkah dan sebaiknya hidup berdampingan secara harmonis," katanya.

    Katanya, segala masalah yang terjadi antara kedua negara dapat diselesaikan dengan membuka agama tanpa membangkitkan kekacauan.

    "Selesaikan secara musyawarah. Saya percaya semua hal dapat diselesaikan dengan berbalik ke ajaran Islam," ujarnya.

    Kepala Kepolisian Daerah Kuantan, Asisten Komisaris Mohd. Jasmani Yusoff ketika ditemukan hari ini mengatakan, pihaknya telah memantau lokasi tersebut untuk memastikan demonstrasi itu dilakukan secara aman.

    "Mereka berkumpul secara aman dan melahirkan pandangan mereka sebelum bubar 30 menit kemudian, setelah diminta melakukannya," katanya.

    Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, Munakahat, Rakan Niaga TM, Catatan Sekilas, Perkahwinan, NikahKahwin.Co.Cc, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Score A, My Biz Online.
    Sabtu, Oktober 02, 2010 | 0 ulasan