Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Puteri Gunung Ledang - Mengimbau ekonomi Melaka

Written By JOM JALAN on 25/08/04 | Rabu, Ogos 25, 2004

KETIKA puteri Majapahit Gustri Putri Retno Dumillah atau lebih dikenali sebagai Puteri Gunung Ledang duduk di atas satu pangkin di Sumatera beliau termenung memerhatikan perairan Selat Melaka yang terbentang luas di hadapannya.

Fikiran beliau melayang teringatkan Hang Tuah, satu nama yang terkenal pada zaman itu, hujung abad ke-15.

Puteri Gunung Ledang sedar yang ingatannya pada Hang Tuah terpisah oleh laluan perairan yang sangat penting.

Apa yang bermain di fikirannya ialah untuk menyeberangi perairan yang memainkan peranan penting kepada para pedagang pada zaman itu.

Bagaimana pun, perjalanan yang dihajatkan oleh Puteri Gunung Ledang untuk merentasi Selat Melaka bukanlah bagi tujuan perdagangan tetapi persoalan hati dan perasaan.

Ini merupakan sejarah awal bagi perkembangan kerjasama di rantau ASEAN walaupun ia tidak berakhir dengan sesuatu yang indah seperti yang diharapkan oleh Puteri Gunung Ledang.

Bayangkanlah bagaimana bahtera Puteri Gunung Ledang belayar menuju pelabuhan dagang yang sibuk dan menjadi perhentian lebih 2,000 kapal dari Asia dan Eropah.

Hubungan kasih Puteri Gunung Le-dang dan Hang Tuah pada masa itu bukan sahaja menimbulkan tanda tanya pada pihak-pihak tertentu tetapi turut menimbulkan ketegangan di perairan Selat Melaka yang di bawah kekuasaan Kesultanan Melaka. Bagaimanapun, Kesultanan Melaka yang pada masa itu diperintah oleh Sultan Mahmud Shah (1488-1511) dilihat semakin lemah dan dingin.

Kesultanan Melaka merupakan satu empayar perdagangan selama 100 tahun yang dianggap sebagai zaman kegemilangan Melayu dan penca-paian paling baik masyarakat Melayu.

Namun apa sebenarnya yang ada di sebalik kuasa ekonomi Melaka atau Malaqua, nama yang tertulis pada satu peta tahun 1552 yang dihasilkan oleh seorang pelukis peta Jerman bernama Sebastian Munster. Dari mana datangnya sumber kewangan pada zaman tersebut?

Melaka ditemui pada 1400 oleh Parameswara, atau Permaisura seorang putera India dari Palembang. Nama Melaka diberikan berdasarkan sebuah pokok iaitu (phyllantus pectinata).

Bagaimanapun, Melaka tidak menjadi pusat perdagangan dunia dalam sekelip mata sahaja kerana terdapat fakta yang mengatakan penempatan Melayu sudah wujud di Melaka sebelum pelabuhannya dibuka.

Sejarah lama juga menyebut mengenai kewujudan kerajaan-kerajaan sebelum Melaka iaitu Gangga Negara di kawasan Bruas-Dinding, Terengganu, Kedah, Kelantan dan Pahang.

Selepas Parameswara, Melaka diperintah oleh Megat Iskandar Shah pada tahun 1414 dan Sultan Muhamad Shah.

Empat orang Sultan yang memerintah di zaman kegemilangan kesultanan Melaka ialah Sultan Muzaffar Shah (1446-1459), Sultan Mansur Shah (1459-1477), Sultan Alauddin Riayat Shah (1477-1488) dan Sultan Mahmud Shah (1488-1511).

Kawasan pemerintahan Melaka termasuk Kampar, Inderagiri, Bengkalis, Kepulauan Carimun, Bintang, Pasai, Siak dan Kepulauan Riau-Lingga.

Terdapat juga pihak yang mendakwa Iskandar Zulkarnain (Alexander The Great) turut mempunyai kaitan dengan Kesultanan Melaka. Jika dakwaan ini benar, bermakna orang Melayu di Malaysia mempunyai darah Yunani.

Kejatuhan Melaka kepada Portugis pada tahun 1511 merupakan faktor utama kepada kejatuhan Melaka sebagai pusat perdagangan antarabangsa.

Walaupun rempah-ratus merupakan sebab utama pedagang Eropah datang ke Melaka, komoditi dan bahan-bahan dagangan lain tidak harus dinafikan.

Seorang bangsa Portugis, Tom Pires yang tinggal di Melaka selama dua tahun pada awal kurun yang ke-16 pernah menyatakan di dalam salah sebuah penulisannya yang semua barang dagangan dari Timur dan Barat diperdagangkan di Melaka.

Ini bermakna Melaka tidak ubah seperti Venice pada masa itu.

Melaka pada ketika itu merupakan pusat dagangan bagi cengkih, kayu cendana dan buah pala daripada Kepulauan Maluku, lada hitam dan emas dari Sumatera, kain daripada India, sutera dan tembikar dari China, gula dari Filipina serta timah dan emas daripada negeri-negeri Melayu.

Ketika di puncak kegemilangan, jumlah dagangan Melaka pernah mencecah 2.4 juta cruzado berbanding pelabuhan Seville yang mencatatkan jumlah dagangan 4 juta cruzado pada zaman ini.

Jumlah penduduk Melaka pada zaman itu pula dilaporkan 100,000 bagaimanapun buku Sejarah Melayu menyebut yang penduduk Melaka pada masa itu adalah 190,000.

Pembangunan Melaka dan integrasi yang berlaku pada zaman itu ekoran aktiviti dagangan dan perpindahan merupakan fasa pertama globalisasi yang berlaku dalam sejarah dunia.

Polisi dan pelbagai institusi di Melaka juga berasaskan perkembangan aktiviti dagangannya.

Keterbukaan amalan dagangannya mungkin boleh mendapat pujian daripada Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).

Antara faktor yang menyumbang ke arah kejayaan pasaran ekonomi Melaka ialah kedudukan dan lokasinya yang strategik.

Bumi Melaka juga terletak tidak jauh daripada Sungai Muar dan Pahang yang sering digunakan untuk mengangkut rotan dan gula dari kawasan pedalaman.

Melaka turut menjadi tempat persinggahan dan kemudahan kepada para pedagang untuk menyimpan barang dagangan mereka.

Waktu yang paling sibuk ialah daripada Disember sehingga Mac di mana angin monsun akan membawa pedagang ke Melaka.

Gudang bawah tanah yang dibina membekalkan kemudahan penyimpanan selain memastikan bekalan yang disimpan selamat daripada terbakar.

Kehidupan pelbagai etnik di dalam satu kawasan yang boleh dianggap sebagai lingkungan diplomatik mengamalkan kebebasan amalan budaya masing-masing.

Satu lagi faktor ialah Melaka mempunyai sistem dan pegawai pentadbiran yang peramah dan disenangi ramai. Undang-undang yang diamalkan pada masa itu ialah Undang-Undang Melaka dan Undang-Undang Ma-ritim.

Mekanisme perundangan dan pentadbiran Melaka pada masa itu juga lancar dan teratur.

Temenggung yang bertanggungjawab mengenai budaya dan adat dibantu oleh empat orang Syahbandar atau ketua pelabuhan.

Setiap Syahbandar akan diberikan tanggungjawab untuk menjaga pedagang-pedagang daripada negara-negara tertentu termasuk berat barang dagangan yang dibawa, bayaran dan sebarang masalah.

Duti kastam (eksport dan import) akan dibayar kepada Temenggung dan biasanya mereka turut menyertakan hadiah bersama cukai yang dibayar berdasarkan nilai dan bentuk barangan.

Kapal-kapal dagangan yang besar akan membayar duti setinggi enam peratus daripada nilai kargonya dan biasanya mereka akan dikecualikan daripada memberi sebarang hadiah.

Pedagang Melaka biasanya akan berurusniaga dengan nakhoda kapal atau pedagang asing dan kemudiannya menjual barangan tersebut di kampung halaman mereka atau menukarnya untuk barangan lain di nusantara.

Dasar luar yang diamalkan Melaka semasa zaman kegemilangannya juga memberi kekuatan kepada perkembangan perdagangan dan ekonomi Melaka.

Selain dasar luar yang diyakini, Melaka turut menjalinkan hubungan dengan China yang mendorong kepada lawatan beberapa laksamana daripada dinasti Ming dan perkahwinan salah seorang Sultan Melaka dengan Puteri Hang Li Po, anak kepada Maharaja China.

Peranan Melaka sebagai bandar raya perdagangan tentunya memberikan banyak pendapatan kepada penduduknya. Bagaimanapun, agihan pendapatan kepada para penduduk tidak dapat diketahui dengan jelas.

Kegiatan lanun memberikan pendapatan lumayan kepada sebahagian golongan Melayu. Ini bermakna ekonomi orang Melayu pada zaman itu termasuk pelbagai aktiviti yang dilakukan di sungai dan laut.

Perdagangan antarabangsa yang berlaku di Melaka semestinya membuka banyak peluang pekerjaan seperti mengangkat barang, bekerja di stor atau gudang penyimpanan, pengawal, pembaik kapal dan pelbagai lagi.

Apa yang pasti, pertanian dan perkhidmatan perdagangan merupakan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Melaka pada ketika itu.

Struktur pemerintah dan rakyat biasa menjadikan tidak ada golongan berpendapatan sederhana menyebabkan jurang perbezaan tahap kehidupan penduduk Melaka begitu besar. Orang kaya hidup di dalam serba kemewahan manakala si miskin benar-benar terhimpit.

Daripada 100,000 penduduk Melaka pada masa itu berapa ramaikah yang miskin jika diukur dengan tahap kemiskinan yang digunapakai pada masa ini?

Bagaimana pula dengan jangka hayat penduduk Melaka pada penghujung abad yang ke-15?

Apakah kegemilangan empayar Melayu pada masa itu memainkan peranan di dalam menentukan jangka hayat orang Melayu.

Dalam menjawab pelbagai persoalan yang timbul mengenai kehidupan orang Melayu pada zaman kegemilangan Melaka kita juga mungkin bertanya apakah Puteri Gunung Ledang menjadi orang yang pertama melihat kedatangan kapal perang Portugis ke Melaka?

Ini kerana beliau sering termenung di puncak Gunung Ledang apabila memikirkan dilema rasa cinta dan pengaruh kekuasaan pada zaman itu.

Nantikanlah kemunculan kisah legenda Puteri Gunung Ledang yang akan ditayangkan serentak di seluruh negara pada 31 Ogos.