Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Rakyat Indonesia benci, marah

Written By JOM JALAN on 11/09/04 | Sabtu, September 11, 2004

JAKARTA 10 Sept. - Serangan bom kereta ke atas kedutaan Australia yang menyebabkan 11 rakyat Indonesia terbunuh semalam, telah menimbulkan kemarahan orang ramai.

Malah mereka sanggup membunuh dalang serangan itu kerana ia menjejaskan orang yang tidak berdosa.

Seorang surirumah, Martono yang menyaksikan dua orang anak jirannya cedera terkena serpihan siling rumah yang pecah akibat gegaran letupan itu menegaskan bahawa dia berasa sangat marah dan benci kepada penjenayah yang melancarkan serangan tersebut.

``Saya sangat marah dan rasa mahu membunuh penyerang tersebut,'' tegasnya sambil mengusap-usap kepala kedua-dua anak jirannya yang masih kecil itu.

Letupan yang berlaku pada pukul 10.15 pagi itu turut menggegarkan Masjid Al-Barqah iaitu sebuah masjid kecil yang digunakan oleh penduduk setinggan yang tinggal di belakang kedutaan Australia itu.

Seorang penjaga masjid yang dikenali sebagai Haji Kasin, 73, berkata, dia tidak faham kenapa orang Islam sanggup melancarkan serangan ganas seperti itu kerana ia ternyata menyalahi ajaran suci agama Islam.

``Saya tidak tahu apa yang boleh dikatakan kerana saya benar-benar tidak faham kenapa serangan itu berlaku,'' katanya dengan wajah sedih sambil membersihkan serpihan kaca di dalam masjid itu untuk membolehkan penduduk di kawasan itu menunaikan sembahyang Jumaat hari ini.

Luahan rasa Martono dan Haji Kasin merupakan pandangan ikhlas rakyat biasa Indonesia yang masih terkejut dengan insiden serangan ganas tersebut.

Penduduk Jakarta berasa sangat marah kerana serangan yang didakwa dilancarkan oleh penyerang beragama Islam itu telah memudaratkan mangsa yang majoritinya beragama Islam.

Gabenor Jakarta, Sutiyoso berkata, serangan bom kereta itu `jelas menunjukkan ia dilancarkan oleh pihak pengganas.'

Letupan bom berkuasa besar itu telah menggegarkan bangunan-bangunan yang berada dalam lingkungan 15 kilometer dari tempat kejadian dan menyebabkan cermin-cermin tingkap pecah bertaburan.

Sejurus selepas serangan, kakitangan kedutaan Australia dilaporkan berasak-asak keluar dari kedutaan itu menerusi pintu belakang dengan sebahagian daripada mereka mengalami kecederaan dan menggeletar ketakutan.

Serangan itu berlaku hanya 24 jam selepas polis Jakarta berkata, mereka akan meningkatkan kawalan keselamatan di hotel-hotel di seluruh Indonesia berikutan amaran perjalanan yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) sebelum ini. - Agensi