Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Manusia Aceh, manusia Phuket

Written By JOM JALAN on 9/01/05 | Ahad, Januari 09, 2005

Manusia Aceh, manusia Phuket

SEBAGAI seorang wartawan, Awang ingin berada di Aceh, di Sri Lanka dan di Phuket pada masa yang sama. Sebagai seorang wartawan, Awang ingin mencatat dan merakamkan malapetaka 26 Disember 2004 untuk ditatap dan dibaca dengan harapan ia akan membawa suatu erti baru kepada hidup manusia.

Bagaimanapun kerana terikat kepada meja di pejabat, Awang terlepas peluang untuk melakukan apa yang seorang wartawan ingin lakukan - menyingsing lengan dan berada di tengah-tengah segala macam yang sedang berlaku selepas tsunami melanggar muka bumi dan meninggalkan bahana di luar gambaran manusia.

Kerana tidak dapat menahan keinginan untuk turun padang, Awang menerima pelawaan seorang Hamba Allah untuk membuat kunjungan kilat ke Aceh dan Phuket, Selasa lalu. Agak malang, pesawat kami tidak dapat kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Iskandar Muda di Banda Aceh. Bagaimana pun setelah merayu berkali-kali menara kawalan membenarkan pesawat kami terbang serendah 3,000 kaki menyusur pantai Aceh yang dilanda ombak besar tsunami dan meragut lebih 100,000 nyawa.

Apa yang dilihat dari udara sungguh menyayat hati. Perkampungan tepi pantai sudah tiada. Apa yang tinggal kelihatan seperti sawah padi yang ditakungi air akibat hujan berlebihan. Air laut masuk jauh ke darat. Itulah keadaannya.

Awang tergamam bila tiba-tiba ternampak sebuah masjid berdiri tegak dikelilingi kekosongan. Ia tampak sendirian dan kesepian, dikelilingi punah ranah.

Suatu perasaan yang tidak dapat Awang gambarkan menusuk kalbu - suatu perasaan yang akan membuat hati sekeras mana pun insaf. Ia dengan serta-merta akan membuat siapa sahaja menerima hakikat betapa kerdilnya manusia - betapa kecilnya apa juga kuasa dan kekuatan yang ada pada manusia di sisi kuasa dan kekuatan alam dan Penciptanya.

Bila pesawat mula meninggalkan ruang udara Aceh dan masjid yang kesepian itu semakin sayup dan perlahan-lahan menghilang, Awang bergelut dengan rasa sebak sambil cuba membayangkan keadaan di bawah, di wilayah yang diberi julukan Serambi Mekah.

Penduduk Aceh yang hampir semuanya Islam diketahui sebagai umat yang berpegang kuat kepada ajaran agama. Awang cuba membayangkan puluhan ribu mayat yang masih belum dikebumikan; puluhan ribu anak yatim; dan hidup yang akan dipenuhi dugaan dan penderitaan bagi masa yang panjang.

Khamis lalu, atas dorongan perasaan untuk menghayati kedukaan itu, Awang berusaha dan berjaya mendapat tempat dalam sebuah pesawat MAS yang hendak ke Aceh menghantar bekalan makanan dan ubat-ubatan. Kerana kesibukan di lapangan terbang yang kecil dan serba kekurangan itu, pesawat hanya dapat mendarat di Banda Aceh bila hari sudah mula gelap.

Awang sangat terkilan kerana kami hanya dibenarkan berada selama satu jam sahaja kerana terlalu banyak pesawat sedang menunggu untuk mendarat membawa bekalan bantuan.

Lapangan Terbang Iskandar Muda lebih kecil daripada Lapangan Terbang Alor Star. Kekecilannya hanya membolehkan empat hingga lima pesawat sahaja berada di situ. Walaupun hanya dapat sejam, Awang dapat merasai sengsara yang menimpa penduduk Serambi Mekah itu.

Manusia dengan wajah-wajah kosong, hampa dan hilang arah, memenuhi kawasan lapangan terbang, mungkin mengharapkan untuk mendapat bekalan yang tidak henti-henti dibawa masuk.

Di tepi-tepi jalan berdebu, manusia berteduh di bawah apa sahaja yang boleh diguna untuk dijadikan bumbung. Ia sungguh mengharukan. Tiba-tiba rumah teres yang sesetengah daripada kita merasakan belum cukup selesa sebagai tempat berteduh di dunia sementara ini, terasa bagai mahligai.

Tiada air bersih untuk diminum; tiada bantal empuk untuk meletak kepala.

Di Phuket, lain ceritanya. Lapangan terbang pusat peranginan itu tidak menampakkan wajah-wajah kosong dan hiba. Walaupun tidak begitu sibuk, tapi semuanya teratur. Ada pelancong; ada pemandu pelancong. Di pantai, orang sudah bersantai semula. Badan ditutup di mana perlu sahaja, seolah-olah tiada apa yang berlaku. Laut biru dan tenang, seolah-olah ia tidak pernah berkocak.

Para pekerja pula bertungkus-lumus membersihkan sampah sarap yang ditinggalkan tsunami. Kedai minum arak, rumah urut, kedai makan dan tempat hiburan lain sedang tergesa-gesa diperbaiki.

Mereka mahu hidup dikembalikan seperti dulu. Entah bila tsunami akan menggila lagi. Ini sungguh berbeza dengan wajah-wajah kosong dan duka di Banda Aceh di mana manusia mencari pengertian hidup. Bagi Phuket, hidup macam itu juga, tiada apa akan berubah kerana itulah hidup.