Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Kashmir kini bandar maut -- Gempa mirip hari kiamat - Penduduk

Written By JOM JALAN on 10/10/05 | Isnin, Oktober 10, 2005


SEBAHAGIAN besar bandar Balakot, Pakistan ranap dalam kejadian gempa bumi kelmarin. - Reuters.

MANSEHRA, Pakistan 9 Okt. - Kejadian gempa bumi yang melanda semalam bagaikan satu igauan buruk kepada penduduk Pakistan di kawasan Mansehra yang menyifatkannya ``sebagai mirip hari kiamat.''

Bagi Fazal Elahi, kejadian gempa bumi itu menandakan kedatangan hari kiamat untuk keluarganya apabila isteri berserta anak lelaki dan perempuannya terbunuh kerana bangunan rumah mereka runtuh.

``Apabila gempa bumi melanda kawasan kami, saya menyangka hari kiamat sudah tiba dan ternyata tanggapan itu benar.

``Semua rumah yang ada di bandar Balakot musnah dan sudah diratakan akibat gempa bumi terbabit,'' katanya ketika berdiri di sebelah jenazah anak perempuannya.

Fazal cuba menyelamatkan anak perempuannya dengan menghantarnya ke Hospital Mansehra di North West Frontier Provinceyang terletak kira-kira 46 kilometer dari rumahnya.

Bagaimanapun, anak perempuan Fazal meninggal dunia ketika tiba di pekarangan hospital.

Bandar Kashmir mengalami kemusnahan besar dalam kejadian gempa bumi.

``Kemusnahan di bandar Kashmir besar sekali. Ia kelihatan seperti sebuah bandar maut,'' kata pemberita Reuters, Zulfiqar Ali yang berada di Islamabad, ibu negara Pakistan, semasa gempa bumi itu berlaku pagi semalam.

Zulfiqar mendapati segala-galanya telah musnah sepanjang perjalanan pulang ke kampung halamannya di Muzaffarabad pagi ini.

Beliau terpaksa berjalan kaki separuh jalan setelah perjalanannya dengan kereta terhalang malam tadi akibat keadaan jalan yang rosak teruk.

Kebanyakan rumah dan bangunan kerajaan serta kedai-kedai telah roboh di bandar pergunungan yang kecil itu, katanya.

Rumahnya turut musnah akibat gegaran itu. Anak lelaki bongsunya terperangkap di bawah runtuhan rumah itu tetapi dapat diselamatkan tanpa mengalami sebarang kecederaan, katanya.

Pusat gegaran itu tertumpu di kawasan pergunungan Kashmir Pakistan dekat sempadan India dan menggegarkan sebahagian besar daripada wilayah-wilayah di utara Pakistan dan juga beberapa bahagian di India dan Afghanistan.

Penduduk Muzaffarabad yang ketakutan tidur di kawasan terbuka malam tadi, dengan sebahagian besar daripada mereka bermalam di padang, taman, tanah perkuburan dan juga di dalam kereta.

Tentera Pakistan telah mendirikan khemah untuk mereka dan menyediakan makanan, tetapi lebih lagi bantuan diperlukan, kata Zulfiqar.

Ramai pelajar Universiti Azad Jammu dan Kashmir di Muzaffarabad turut tertimbus di bawah runtuhan bangunan, kata penduduk.

Sekolah-sekolah Pakistan dibuka pada hari Sabtu. - Agensi