Sultan Muhammad V |
KUALA LUMPUR, 24 April 2017: Sultan Muhammad V hari ini ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, untuk memerintah Malaysia bagi tempoh lima tahun. Istiadat Pertabalan di Istana Negara mengikut warisan Kesultanan Melayu itu adalah bagi menguar-uarkan kepada seluruh dunia bahawa Malaysia telah mempunyai ketua negara yang baharu berlandaskan sistem Raja Berperlembagaan.
Sultan Muhammad V, 47, sebelum ini melafaz sumpah memegang jawatan itu, pada 13 Disember lepas, menggantikan Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahannya pada tarikh tersebut.
Malaysia adalah satu daripada 43 negara di dunia yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja dan sistem penggiliran pemerintahan itu adalah satu-satu yang seumpamanya di dunia.
Profil Sultan Muhammad V
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V telah diputerakan pada tanggal 6 Oktober 1969 di Istana Batu, Kota Bharu, Kelantan.
Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail 1 Kota Bharu sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur.
Baginda telah dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada ulang tahun keputeraan baginda yang ke-16 iaitu pada 6 Oktober 1985.
Minat baginda yang mendalam terhadap bidang ilmu dan pendidikan telah mendorong baginda untuk berangkat ke England bagi menyambung pelajaran di Oakham School Ruthland sehingga tahun 1989.
Seterusnya baginda melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengajian Diplomatik di St. Cross College, Oxford dan dalam bidang Pengajian Islam di Oxford Centre sehingga 1991.
Pada tanggal 24 Mei 2009, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda telah dilantik menjadi Pemangku Raja Kelantan.
Pada 13 September 2010, baginda telah menaiki takhta Kerajaan Negeri Kelantan dan menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29.
Seterusnya pada 13 Disember 2011, baginda telah dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-14 oleh Majlis Raja-Raja dan pada tahun 2016, Majlis Raja-Raja telah melantik baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-15 berkuatkuasa pada 13 Disember 2016 untuk tempoh lima tahun.
Istiadat melafaz sumpah jawatan telah disempurnakan pada 13 Disember 2016.
Bidang pendidikan merupakan bidang yang amat diberi perhatian oleh Seri Paduka. Sebagai Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), baginda akan berangkat bercemar duli ke setiap istiadat konvokesyen yang dianjurkan universiti berkenaan.
Dalam bidang ketenteraan pula, sifat kepimpinan baginda senantiasa dikagumi. Seri Paduka Baginda telah dilantik menjadi Kolonel Yang Di-Pertua Rejimen Artileri DiRaja sehingga kini. Dengan pelantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda juga adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.
Baginda turut melibatkan diri dalam pelbagai pertubuhan kebajikan dan sukan selain aktif berperanan dalam organisasi berkaitan keselamatan dan ketenteraan.
Baginda amat meminati sukan lasak seperti ekspedisi kenderaan pacuan empat roda dan ekuestrian selain meminati sukan memanah dan menembak dan gemar memelihara hidupan liar.
Selain daripada aktif dalam persatuan, baginda juga mempunyai minat memelihara haiwan seperti kuda dan rusa. Baginda amat mengambil berat terhadap pengawasan binatang peliharaan tersebut, justeru tanpa rasa jemu, baginda sendiri akan berangkat bagi memastikan tahap penjagaan yang sempurna dilaksanakan di taman haiwan berkenaan.
Seri Paduka Baginda telah berkenan menjadi Penaung kepada pelbagai persatuan dan kelab iaitu:-
- Persatuan Menembak Kelantan;
- Yayasan Sultan Kelantan (YSK);
- Majlis Orang-Orang Besar DiRaja Kelantan
- Persatuan Perubatan Anti-Penuaan Aestetik Rejeneratif Malaysia (SAAARMM);
- Persatuan Bulan Sabit Merah;
- Persatuan Sukan Berkuda;
- Persatuan Motor 4x4;
- Persatuan Memanah
Sultan Muhammad V telah dianugerahkan dengan pelbagai Darjah Kebesaran iaitu: DK (1986), DMN (2010), DK (Selangor - Januari 2011), DK (Negeri Sembilan - April 2011), DK (Johor - 2011), DK (Perak - Julai 2011), DK (Perlis - Oktober 2011), DK (Kedah - Mac 2012), DK (Terengganu - November 2014), SPMK, SJMK, SPKK, SPSK dan DKM (2017).
Seri Paduka Baginda sememangnya terkenal dengan sifat seorang Raja yang amat berhemah tinggi, mempunyai tutur kata yang lemah-lembut dan sopan santun. Baginda juga adalah seorang pemerintah yang dididik dari kecil dengan nilai-nilai pekerti serta tingkah laku yang berasaskan kepada ajaran agama dan ilmu keduniaan yang luas.
Baginda amat mengambil perhatian dalam hal-ehwal agama dan juga kepada rakyat jelata terutama yang menyentuh bidang kuasa baginda sendiri.
Antara program yang diadakan hasil ilham baginda adalah Program Qiam With Me dan Walkathon Diraja yang telah bermula sejak tahun 2011 di Negeri Kelantan.
Baginda juga begitu prihatin akan kemakmuran dan keharmonian hidup rakyat jelata. Hal demikian terserlah dalam tindakan baginda menangani permasalahan hal-ehwal kemasyarakatan dan keagamaan.
Selain itu, baginda merupakan seorang raja berjiwa rakyat dan sangat dekat di hati rakyat. Tidak hairanlah jika baginda menjadi seorang pemerintah yang dikasihi dan disegani seluruh rakyat Malaysia.
-- Astro Awani & BERNAMA