Lima mayat ditemui reput -- Dua lagi mangsa nahas helikopter milik Hornbill Skyways masih hilang
Written By JOM JALAN on 29/07/04 | Khamis, Julai 29, 2004
Lima mangsa helikopter
(Foto: Utusan Malaysia)
BARIO 28 Julai - Mayat lima mangsa nahas helikopter Bell 206 Long Ranger yang terhempas di barat daya Pa Lungan dekat Bario pada 12 Julai lepas, ditemui dalam keadaan reput hari ini.
Empat mayat dikeluarkan dari dalam pesawat manakala seorang lagi ditemui di luar pesawat yang dikesan terjatuh ke dalam gaung dalam keadaan terbalik.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. George Chan berkata, keadaan mayat yang telah reput itu menyebabkan identiti mereka tidak dapat dipastikan.
``Bagaimanapun dua lagi penumpang hilang dan kita melakukan operasi melalui darat untuk mengesan mereka,'' katanya kepada pemberita di sini, malam ini.
Jurucakap Hornbill Skyways Sdn. Bhd. yang memiliki helikopter itu menyatakan mayat juruterbang - Kapten Samsuddin Hashim satu-satunya dipercayai salah satu daripada yang ditemui berdasarkan pakaian serta kedudukannya masih pada kerusi juruterbang pesawat.
Gerakan mencari dan menyelamat masih mengesan dua lagi penumpang yang tidak ditemui di situ.
George Chan berkata, mayat-mayat akan diterbangkan ke Hospital Miri esok untuk dibedah siasat dan bagi dikenal pasti identitinya.
Kesemua mangsa belum dapat dikeluarkan dari kawasan nahas kerana cuaca gelap dan hujan.
Menurut beliau, mayat lima mangsa ditemui apabila dua anggota Komando 69 berjaya diturunkan ke kawasan berkenaan menggunakan sebuah helikopter Nuri hari ini.
``Selepas beberapa kali usaha dilakukan, dua anggota dapat turun ke lokasi helikopter itu terhempas, di kaki Gunung Murud, pada pukul 5 petang,'' katanya.
Tambah beliau, operasi udara akan disambung awal pagi esok untuk mengesan dua lagi mangsa yang hilang.
Sementara itu operasi darat disertai penduduk tempatan, anggota komando dan bomba diteruskan.
Dr. Chan berkata, pasukan menyelamat yang menggunakan jalan darat terhalang berikutan Sungai Lungan yang melimpah akibat hujan pada pagi ini, selain keadaan hutan belantara.
Berikutan itu jelas beliau, mereka terpaksa membina jambatan bagi membolehkan menyeberangi sungai berkenaan.
HELIKOPTER Hornbill Skyways terhempas di sebuah
gaung di Gunung Murud (Foto: Berita Harian)
Sementara itu Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abdidin Zin berkata, beliau yakin dua lagi penumpang helikopter berkenaan masih hidup berdasarkan pintu helikopter dibuka dari dalam.
``Walaupun helikopter berkenaan terbalik di dalam gaung itu, kita dapati pintunya terbuka dan dipercayai dua penumpang dapat keluar meminta bantuan,'' katanya pada sidang akhbar di Miri, hari ini.
Sehubungan itu kata beliau, operasi mengesan dua lagi penumpang diteruskan.
Keluarga mangsa pula mulai berpusu-pusu ke pusat operasi di Miri bagi mengetahui maklumat terkini mengenai mangsa.
Suasana pilu terus menyelubungi pusat operasi apabila mereka dimaklumkan lima daripada mangsa ditemui meninggal dunia, manakala dua lagi masih hilang.
Semalam juruterbang sebuah helikopter mencari dan menyelamat telah mengesan bangkai helikopter tersebut berdekatan Pa Lungan pada tengah hari.
Berikutan itu sebuah helikopter Unit Udara Polis Diraja Malaysia yang turut meninjau ke tempat kejadian dapat merakam gambar kedudukan helikopter berkenaan dalam keadaan terbalik pada pukul 5 petang.
Bagaimanapun operasi menyelamat hanya boleh dijalankan pagi ini berikutan cuaca buruk petang semalam.
Helikopter Bell 206 Long Ranger itu membawa Ahli Dewan Undangan Negeri Ba'kelalan yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (JKM), Dr. Judson Sakai Tagal; Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Lawrence Th'ng dan ahli perniagaan keturunan Kelabit, Datuk Marcus Raja.
Turut menaiki helikopter itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembekalan Letrik Sarawak (Sesco), Roger Wong serta dua jurutera Sesco, Jason Eng dan Ling Tian Ho.
Helikopter itu dilaporkan berlepas dari Bario ke Ba'kelalan pada 12 Julai lalu, tetapi hilang daripada radar sejurus kemudian.
Berikutan itu operasi besar-besaran melibatkan lebih 2,000 anggota penyelamat yang terdiri daripada anggota tentera, polis, bomba, Hornbill Skyways dan penduduk kampung.
Pakar dari Australia turut diterbangkan ke Bario selain kerajaan Brunei memberi bantuan helikopter jenis Black Hawk bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.
Sumber:Utusan Malaysia
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
MIRI 29 Julai - Dua lagi penumpang helikopter Bell 206 Long Ranger yang terhempas di kaki Gunung Murud dekat Bario, ditemui mati tengah malam tadi - kira-kira tujuh jam selepas pasukan mencari dan menyelamat menemui mayat lima mangsa termasuk juruterbangnya petang semalam.
Kedua-dua mayat itu yang belum dapat dikenal pasti ditemui 300 meter dari bangkai helikopter tersebut, menjadikan kesemua tujuh mangsa ditemui terbunuh dalam nahas udara berkenaan.
Penemuan dua mayat itu tidak dapat dimaklumkan kepada pusat operasi di Bario dengan segera kerana masalah komunikasi.
Kedua-dua mangsa mulanya dipercayai tercedera dalam kemalangan itu dan cuba keluar dari gaung tersebut untuk meminta bantuan, tetapi gagal berbuat demikian.
Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Aziz Hussein ketika ditemui di Hospital Miri berkata, identiti kedua-dua mangsa belum diketahui dan operasi membawa mayat mereka hanya akan dilakukan esok.
``Tidak ada mangsa yang terselamat dalam nahas helikopter pada 12 Julai lepas itu,'' katanya.
Selain juruterbang Kapten Samsuddin Hashim, helikopter Bell 206 Long Ranger itu membawa Ahli Dewan Undangan Negeri Ba'kelalan yang juga Menteri Muda Kesihatan Awam Sarawak, Dr. Judson Sakai Tagal; Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan, Lawrence Th'ng; ahli perniagaan keturunan Kelabit, Datuk Marcus Raja; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembekalan Letrik Sarawak (Sesco), Roger Wong serta dua jurutera Sesco, Jason Eng dan Ling Tian Ho.
Sementara itu, lima mayat yang ditemui terdahulu telah dibawa ke Hospital Miri lewat petang ini untuk dibedah siasat selepas operasi sukar dilalui oleh anggota komando yang berada di lokasi kejadian.
Mayat lima mangsa itu berjaya dibawa keluar dari kaki Gunung Murud selepas anggota komando membina tempat pendaratan sementara untuk helikopter Nuri di kawasan berkenaan.
Mayat dua lagi mangsa akan dibawa ke Miri esok.
Sebelum itu tempat pendaratan sementara yang dibina di kawasan berkenaan tidak dapat digunakan kerana keadaannya yang terlalu curam.
Anggota komando juga terpaksa berhati-hati mengeluarkan mangsa kerana khuatir helikopter berkenaan yang masih tersangkut pada pokok akan jatuh ke dalam gaung yang lebih dalam.
Sebanyak 28 anggota yang terdiri daripada anggota Komando 69, anggota polis dan skuad elit bomba terlibat dalam kerja-kerja mengeluarkan mayat menggunakan helikopter Nuri.
Sementara itu, petugas yang menguruskan lima mayat yang dihantar ke hospital di sini berkata, dua daripada mayat itu berada dalam keadaan agak sempurna, manakala tiga lagi dibungkus dalam bungkusan yang `agak kecil dan pendek'.
Turut berada di Hospital Miri ialah Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu; Presiden Persatuan Kaum Lun Bawang, William Ghani Bina dan Setiausaha Sulit kepada Dr. Judson Sakai Tagal, Nelson Balang Rining.
Suasana pilu menyelubungi hospital apabila berita tentang kesemua mangsa ditemui mati tersebar dan Jabu terpaksa menenangkan rakan-rakan yang lain serta ahli keluarga mangsa.
Semalam, dua anggota Komando 69 berjaya diturunkan ke gaung berkenaan dan dapat membawa keluar lima mayat.
Salah seorang daripada mangsa dikenal pasti sebagai berdasarkan pakaiannya dan ia dikeluarkan dari tempat duduk juruterbang.
Tiga lagi mangsa ditemui di dalam helikopter itu, manakala seorang lagi ditemui di luar helikopter dalam keadaan muka tertiarap ke tanah.
Bagaimanapun, kesemua mangsa belum dapat dikenal pasti kerana keadaan mayat yang reput.
Kelmarin, selepas 16 hari kehilangan helikopter itu, juruterbang sebuah helikopter mencari dan menyelamat telah mengesan bangkai helikopter tersebut berdekatan Pa Lungan pada sebelah tengah hari.
Berikutan itu sebuah helikopter Unit Udara Polis Diraja Malaysia turut meninjau ke tempat kejadian dan berjaya merakam gambar kedudukan helikopter berkenaan yang terbalik pada pukul 5 petang.
Bagaimanapun, operasi mengeluarkan mayat hanya boleh dijalankan pagi ini berikutan cuaca buruk pada sebelah petang semalam.
Helikopter malang itu dilaporkan berlepas dari Bario ke Ba'kelalan pada 12 Julai lalu, tetapi hilang daripada radar sejurus kemudian.
Sementara itu di Bario, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr. George Chan berkata, dua lagi mayat akan dikeluarkan dan dibawa ke Miri pada pagi esok.
``Oleh kerana impak yang berlaku semasa terhempas, kesemua tujuh maut,'' kata Dr. Chan yang menyelia operasi mencari dan menyelamat.(UM, 30/7/2004)
Catat Ulasan