Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Tiga lelaki warga Indonesia buruan polis ditembak mati

Written By JOM JALAN on 29/07/04 | Khamis, Julai 29, 2004

Oleh: WAN RAHIMAH DRAMAN

JOHOR BAHRU 28 Julai - Tiga lelaki dipercayai warga Indonesia yang menjadi buruan polis terbunuh dalam kejadian tembak-menembak dengan anggota polis di Sedenak dekat sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, ketiga-tiga lelaki terbabit yang menaiki kereta Proton Wira curi telah memecut laju sebaik sahaja menyedari mereka diekori oleh kereta peronda polis.

Utusan Malaysia difahamkan, kereta yang dinaiki oleh ketiga-tiga penjenayah itu bagaimanapun terbabas lalu merempuh tiang elektrik berhampiran pekan Sedenak.

Ekoran kemalangan itu, kereta itu rosak teruk menyebabkan semua penjenayah terbabit keluar untuk melarikan diri.

Lelaki-lelaki berkenaan yang bersenjatakan pistol melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis dalam usaha mereka melepaskan diri.

Bagaimanapun, polis bertindak pantas membalas tembakan sehingga menyebabkan ketiga-tiga penjenayah berkenaan mati di tempat kejadian.

Polis yang membuat pemeriksaan terhadap ketiga-tiga penjenayah terbabit kemudiannya menemui dua pucuk pistol yang dipercayai digunakan oleh mereka untuk kegiatan jenayah.

Mayat ketiga-tiga mangsa, difahamkan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk dibedah siasat.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Wan Ali Abu Shahmah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu tetapi enggan mengulas lanjut.

0 ulasan: