KUALA LUMPUR: Bayi lelaki berusia enam bulan yang dilarikan oleh seorang wanita Indonesia daripada rumah pengasuhnya di Kampung Baru di sini, kelmarin, ditemui selamat di sebuah rumah di Kampung Melayu Subang dekat sini, malam tadi.
Bayi itu, Ahmad Firdaus ditemui bersama seorang wanita Indonesia berusia lingkungan 20-an dikenali sebagai Nor di rumah seorang pemandu teksi yang dikatakan membawa wanita itu pulang ke rumahnya selepas menemui mereka di Subang Jaya, kira-kira jam 6.30 petang semalam.
Wanita itu dikatakan menahan teksi berkenaan, tetapi kelihatan kebingungan apabila ditanya destinasinya, menyebabkan pemandu teksi membawanya pulang ke rumahnya.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Hadi Ho Abdullah, berkata ketika membawa pulang wanita itu bersama bayi berkenaan ke rumahnya, dia tidak tahu mereka dicari polis.
“Pemandu teksi itu kemudian melihat gambar bayi berkenaan disiarkan melalui berita televisyen kira-kira jam 8.30 malam tadi.
“Dia terus menghubungi bapa bayi itu menggunakan nombor telefon bimbit yang tertera pada kaca televisyen.
“Pada mulanya bapa bayi itu (Shahrizal Mariwan, 31) keberatan kerana sebelum ini dia banyak menerima panggilan palsu mengenai kedudukan anaknya. Bagaimanapun dia mengambil keputusan untuk mencuba dan terus ke situ bersama seorang rakannya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, malam tadi.
Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi, Deputi Superintendan Wan Ahmad Wan Abas.
Hadi Ho berkata, sebaik melihat anaknya di rumah itu, Shahrizal terus menahan wanita berkenaan.
“Ketika ditemui, anaknya dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal. Bayi itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan,” katanya.
Shahrizal kemudian membawa wanita Indonesia itu dan anaknya ke IPD Dang Wangi kira-kira jam 10 malam tadi.
Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai melarikan kanak-kanak di bawah jagaan sah dan disiasat mengikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan.
Semalam, Berita Harian melaporkan bayi itu diculik ketika dalam jagaan pengasuhnya, juga wanita rakyat Indonesia.
Kelmarin, polis menahan dua wanita Indonesia, termasuk pengasuh bayi dan jiran pengasuh itu bagi membantu siasatan.
Siasatan awal polis mendapati dua wanita itu juga tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Hadi Ho berkata, setakat ini polis belum dapat mengenal pasti motif bayi itu dilarikan.
Sementara itu, Shahrizal yang ditemui di IPD Dang wangi bersama anaknya, kelihatan ceria tetapi enggan mengulas lanjut dan hanya berterima kasih kepada semua pihak yang membantunya.
(http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Thursday/Mukadepan/20040819000806/Article/)