Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Written By JOM JALAN on 25/08/04 | Rabu, Ogos 25, 2004


JUARA Akademi Fantasia 2 (AF2), Ahmad Zahid Baharudin (Zahid) tidak pernah berselindung mengenai kehidupan silamnya apabila mengakui pernah berniaga burger tepi jalan di Nilai, Negeri Sembilan sebelum mendaftar diri menyertai uji bakat AF2 yang lalu. Selain meminati sukan bola sepak, di mana Holland adalah pasukan pujaannya, Zahid juga pernah melalak di tepi tembok sambil memetik 'gitar kapoknya'. Kini, segala-galanya berubah. Begitu juga dengan rakan seperjuangannya, Farah Diana Anuar (Farah), dari seorang penyanyi karaoke, secara tiba-tiba berjaya menempatkan diri di Konsert Akhir AF2, sekali gus memenangi tempat ke-4. Farah juga menerima pengiktirafan tertinggi daripada Pengetua AF2, Ramli MS apabila menyamakan range suaranya yang besar seakan-akan artis terkenal dunia, Chaka Khan!


ANAK kepada pasangan Baharudin Md Arif dan Jamilah Mohd Ali, Zahid yang dilahirkan pada 19 Disember 1980, memberitahu dia bukannya dilahirkan daripada sebuah keluarga berdarah seni seperti kebanyakan artis lain, sebaliknya mula mendekati dunia hiburan apabila kemunculan superstar dunia, Michael Jackson (MJ) menjadi ikutan sehingga orang kampung menggelarnya Zahid MJ!

“Zahid memang minat menyanyi sejak kecil lagi walaupun emak dan ayah tak ada darah seni. Dalam masa sama, nama MJ tengah meletup ketika itu dan Zahid pula terlalu meminati tarian MJ menerusi lagu hitnya, Billy Jean. Ketika itu juga Zahid hanya minat menari, belum lagi teringat nak serius dalam bidang nyanyian.

“Tapi, apabila kakak sulung, Norhazleen dan kakak nombor dua, Nurul Asyikin sering memasuki pertandingan karaoke, lama-lama Zahid pun terpengaruh. Zahid mula memasuki pertandingan karaoke sejak berumur 11, 12 tahun lagi. Zahid pernah masuk pertandingan karaoke di Warta Selayang, masa tu kakak juara, Zahid tempat ke-2.

“Bermula dari situ, Zahid sering menyertai pertandingan karaoke. Masuk saja sekolah menengah, Zahid dah mula jamming dan masa tu kami ada kumpulan sendiri, tapi Zahid bukan vokalis, tetapi pemain dram. Lepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), kumpulan kami berpecah sehingga bertemu kembali pada 2001.



“Kami terus jamming sehinggalah masuk pertandingan Centre Stage anjuran Karyawan (Persatuan Karyawan Malaysia) pada 2003. Akhirnya kami dapat masuk final. Masa tu juga Zahid dah mula jadi vokalis,” kata Zahid mence­ritakan detik-detik awal perjalanan kerjaya seninya.

Sebelum bergelar penyanyi versatile seperti hari ini, di mana AF2 dianggap jambatan emas penyambung cita-citanya, Zahid tidak malu-malu mengakui dia pernah berniaga burger tepi jalan di Nilai, Negeri Sembilan suatu ketika dulu.

“Masa Zahid berniaga burger tu, Zahid dah dengar pasal AF1, tapi mula-mula tu tak berminat nak mencuba, siap tergelak jika ada member yang nak masuk AF1. Akhirnya apabila AF2 datang, Zahid saja nak cuba bakat dan tak sangka diterima masuk, sekali gus jadi juara seperti hari ini!

“Zahid tak nafikan, AF adalah tempat atau platform yang paling sesuai untuk seseorang yang meminati nyanyian mendalami ilmu. Zahid rasa bertuah sangat dapat masuk AF kerana mendapat bimbingan tenaga pengajar profesional terutama Cikgu Ramli, Cikgu Siti (Hajar) dan Cikgu Adnan (Abu Hassan).

“Sekalipun Zahid dah jadi juara AF2, Zahid tetap nak sambung belajar ilmu muzik terutama vokal dan persembahan,” kata Zahid yang menyertai band Power House dan menjayakan persembahan di Bernard's Place, Bandar Utama serta Cat City, Kuching, Sarawak sebelum berkurung di AF2 tiga
bulan lalu.

Meminati penyanyi popular Misha Omar dan mengakui hasratnya untuk makan malam bersama Misha masih belum tercapai, Zahid menganggap gelaran penyanyi versatile yang sering diberikan kepadanya oleh pengkritik AF2, masih terlalu awal baginya kerana album sulungnya pun belum menemui peminat.

Sekalipun bakal mengecapi kehidupan glamour selepas ini, Zahid rupa-rupanya tidak selesa apabila dirinya dikaitkan dengan gosip terutama dengan Sarah Raisuddin dan Amy (peserta www The Malaysia Top Star). Dia memberitahu Sarah sekadar kenalan adiknya, Nurul Farihan dan Amy pula vokalis wanita Power House.

“Sejak zaman sekolah lagi Zahid memang tak minat bercinta kerana asyik ingat muzik dan jamming saja. Zahid juga tak pernah terjebak dengan cinta monyet. Tapi, selepas masuk AF2, Zahid rapat dengan Farah kerana Zahid dah anggap dia macam adik Zahid, si Farihan.

“Kami memang boleh 'ngam' kerana Farah ni gila-gila orangnya. Tapi, apabila orang nak gosip Zahid dengan Farah bercinta, itu yang Zahid tak selesa. Pun begitu, siapa yang tak mahu bercinta, tapi ketika ini masanya belum sesuai. Zahid nak berjaya dulu dalam kerjaya yang baru saja nak bermula,” kata Zahid yang berhasrat berduet dengan rakan seperjuangannya, Zarina Zainoordin jika diberi kesempatan berbuat begitu.


Sementara itu, Farah yang memulakan perjalanan seninya dari persembahan karaoke di majlis keraian di kawasan perumahannya, terlalu meminati artis popular, Ziana Zain dan lagu kegemarannya ialah Anggapanmu.

“Kalau nyanyi karaoke, Farah mesti pilih lagu Ziana (Zain). Mula-mula tu susah juga nak bawa lagu bernada tinggi dalam album Kak Ziana, tapi apabila selalu mencuba, lama-lama okey. Masa tu Farah tak tahu apa-apa, tapi apabila masuk AF2, baru Cikgu Ramli beritahu, Farah mempunyai range suara yang besar, alhamdulillah...,” kata Farah yang berasal dari Kedah dan kini menetap di Putrajaya.

Sama seperti Zahid, Farah juga menyertai live band iaitu D'Prime Putrajaya dan D'muse. Justeru, Farah terpaksa berehat dari meneruskan pengajiannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam Kursus Seni Persembahan kerana batasan waktu dan dia akan menyambung semula pelajarannya tidak berapa lama lagi apabila kerjaya nyanyiannya bersama Maestro Talent dapat diseimbangkan.

Pun begitu, rata-rata peminat Farah tidak dapat menerima keputusan Farah sekadar menduduki tempat ke-4 dan menganggap Norlinda Nanuwil (Linda) yang menyandang gelaran Naib Juara AF2 adalah penghalang utama, sekali gus Linda diejek apabila namanya diumumkan sebagai pemenang tempat ke-2.
Linda pula seakan-akan tidak dapat menerima keputusan itu, daripada air mukanya, dia kelihatan begitu sedih, mungkin kerana dia adalah pelajar yang diserap semula ke AF2 selepas tersingkir pada konsert minggu ke-8, dia berasa rendah diri.

“Semua keputusan ditetapkan undian peminat. Justeru, Farah reda dengan segala keputusan. Apabila Farah gagal memenangi hati peminat, itu bermakna Tuhan menyuruh Farah berusaha dengan lebih gigih. Linda pula tak sepatutnya berasa sedih dengan kemenangannya kerana dia tetap yang terbaik, justeru penonton mengiktiraf bakatnya.

“Selain itu, Linda ada pakej dan keputusan itu memang dah rezekinya. Farah juga terkilan apabila Linda 'diboo' penonton. Situasi seperti itu tak sepatutnya berlaku kerana kemenangan Linda adalah pilihan peminat. Tapi, dia menjadi mangsa keadaan kerana diserapkan semula ke AF2,
di mana kejutan itu tidak boleh diterima kebanyakan peminat.

“AF2 sudah pun berakhir, Farah harap kontroversi seperti ini akan turut berakhir, terimalah segala keputusan seadanya,” kata gadis periang ini mengakhiri bicaranya.