Mas tidak pernah tagih simpati
Written By JOM JALAN on 10/08/04 | Selasa, Ogos 10, 2004
SEPERTI mana yang disaksikan dalam Diari Akademi, begitulah Mas apabila di luar. Segala perkataan dan setiap tindak tanduk lahir dari hati yang ikhlas. Mas tidak pandai berselindung.
Saat diumum meninggalkan Akademi Fantasia 2 (AF2) pada konsert ke sembilan, Sabtu lalu masih berbekas di hati peserta dari Tawau, Sabah itu. Meskipun sedar peminat menaruh harapan tinggi untuk melihatnya beraksi di konsert akhir, Mas akur rezekinya hanya setakat itu.
Soal masuk peringkat akhir, kata Mas, tidak pernah terlintas di sudut hatinya. Apa yang pasti, dia sentiasa bersedia menerima segala kemungkinan.
“Dari minggu pertama hingga ke minggu kesembilan, saya memang bersedia menerima segala kemungkinan. Cuma, ketika diumumkan saya agak keliru. Semuanya berlaku terlalu pantas menyebabkan saya tidak faham.
“Hanya setakat itu rezeki dan saya hanya bersedia menerima apa yang ditakdirkan,” katanya ketika ditemui di Pusat Penyiaran Asia (Astro), semalam.
Mas mengakui, suasana AF2 yang terlalu asing menyukarkan dirinya untuk menyesuaikan diri pada peringkat permulaan. Masalah bahasa menyulitkan lagi proses komunikasi dan atas alasan itu, kata Mas, dia agak sukar menerima apa yang diterangkan tenaga pengajar.
“Saya memerlukan sedikit masa untuk memahami apa yang diajar. Bukan tidak fokus tetapi sekiranya ada perkataan yang kurang biasa didengar atau diselitkan perkataan Inggeris, saya susah hendak faham.
“Tapi, jika tidak dibuat begitu sampai bila pun saya tidak akan belajar. Saya tidak dapat sesuaikan diri dengan suasana baru di AF2. Antara saya dengan 11 rakan lain jauh berbeza,” katanya.
Imbas Mas, sebelum menyertai AF2, dia memang meminati dunia nyanyian dan pernah mengikuti beberapa siri pertandingan nyanyian yang diadakan di negeri kelahirannya.
“Bekas suami menggalakkan saya menunjukkan bakat apabila ada acara keramaian,” katanya. Mas mendirikan rumah tangga dengan kakitangan kerajaan pada usia 16 tahun. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata, Nurfazilah, 5, dan Mohd Fadzil, 3.
Pasangan itu bercerai, September tahun lalu.
“Kami berpisah dengan cara baik. Sudah tiada persefahaman tetapi kami masih berkawan,” katanya.
Ditanya mengenai peratusan undiannya yang mendadak naik sebaik diumumkan dia adalah ibu tunggal, Mas berkata, bukan niatnya untuk menagih simpati.
“Air mata bukan senang untuk mengalir. Ia datang tanpa dipinta tetapi saya menangis bukan kerana mahu memohon simpati. Mungkin kebetulan yang dipaparkan banyak babak ketika saya menangis, bukan masa gembira.
“Saya juga tidak pernah berlindung bahawa saya adalah ibu dua anak. Untuk apa berlindung kerana mereka adalah harta saya yang paling berharga,” tutur Mas penuh keikhlasan.
Mas begitu terharu apabila dimaklumkan dia memiliki kelompok peminat yang sentiasa setia berdiri di belakangnya. Reaksi wajahnya seakan kebingungan dan tidak percaya apabila diberitahu kehadirannya mencetus ‘perdebatan’ antara peminat.
“Kalau saya diterima, syukur alhamdulillah. Saya tidak marah kepada mereka yang mengkritik saya kerana kritikan itu sangat penting untuk saya terus berdiri lagi. Mereka memberi saya semangat untuk mencuba sesuatu yang baru.
“Sebelum menyertai AF2, saya tidak pernah nampak dunia yang begitu mewah. Saya berterima kasih kepada mereka yang sanggup berhabis demi saya. Semoga Tuhan memberikan rezeki,” katanya.
Ketika ini, Mas yang juga anak bongsu daripada enam beradik itu, masih belum menetapkan perjalanan yang bakal diatur dalam bidang seni.
“Semuanya bergantung kepada Maestro. Dalam apa juga perkara, saya perlu memikirkan anak di kampung. Saya bukan seperti 11 teman lain yang masih lagi bujang, tetapi ibu yang mempunyai dua anak,” katanya.
Ditanya perasaannya apabila di’boo’ penonton yang membanjiri Dewan Sivik, MPPJ tempat berlangsungnya Konsert AF2 dalam beberapa siri konsert terakhir sebelum dia diundi keluar, Mas berkata ia adalah perkara biasa.
“Itu perkara biasa. Walaupun saya tidak nampak sokongan daripada mereka yang meminati nyanyian saya tetapi saya tahu, di luar sana ada yang menyokong. Saya terlalu berterima kasih kepada mereka,” ujarnya terharu.
Mas menafikan dia mempunyai masalah disiplin atau tidak fokus sepanjang proses pembelajaran berlangsung. Barangkali, katanya, dia dilihat begitu kerana lambat menerima apa yang diajar tenaga pengajar menyebabkan dia kelihatan seperti tidak memberi tumpuan.
Mengulas insiden membaling pen oleh Ramli MS, Mas berkata, pengetua itu tidak berniat untuk berbuat demikian. Mungkin apa yang dilakukan itu, kata Mas, untuk menguji tahap penumpuan pelajar ketika berada di kelas.
“Apabila ditegur pengetua, saya cuba ubah sifat negatif yang ada dalam diri. Tenaga pengajar mengingatkan kelemahan itu dan saya sudah cuba yang terbaik untuk memperbaikinya,” katanya. (Laporan Zul Husni Abdul Hamid
)