Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

AS dalang serangan - Abu Bakar

Written By JOM JALAN on 11/09/04 | Sabtu, September 11, 2004

JAKARTA 10 Sept. - Guru agama yang dikaitkan dengan pergerakan Jemaah Islamiah (JI), Abu Bakar Bashir hari ini mendakwa serangan ke atas kedutaan Australia di Jakarta sebenarnya didalangi oleh Washington.

Pembantu kanan Abu Bakar, Hasyim Abdullah memberitahu akhbar Indo Pos bahawa guru agama itu percaya serangan tersebut dilakukan bagi memberi imej buruk kepada Islam seperti yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam sebelum ini.

Menurut Hasyim, Abu Bakar juga menafikan dakwaan bahawa serangan itu mungkin dilakukan oleh para pengikutnya dan sebaliknya dia mengecam keras serangan ganas yang didakwanya bertentangan dengan ajaran Islam itu.

Beliau sebelum ini berulang kali menuduh Amerika Syarikat (AS) sebagai dalang utama yang mendesak kerajaan Indonesia mengenakan tuduhan ke atasnya.

Kata Hasyim, guru agama itu berkata, dia percaya pihak polis kini cuba mencari jalan untuk mengaitkannya dengan serangan yang mengorbankan 11 mangsa terbabit.

Sementara itu, Abu Bakar yang kini menunggu perbicaraan berhubung tuduhan sebagai dalang serangan 5 Ogos ke atas Hotel JW Marriott di Jakarta dan penglibatan JI dalam beberapa siri serangan ganas turut mengutuk serangan semalam.

Abu Bakar dibebaskan daripada tuduhan mengetuai JI pada April tahun lalu tetapi dia ditahan semula berhubung beberapa kes lain.

``Saya mengutuk keras dan mengkritik serangan bom itu kerana tindakan sedemikian bertentangan dengan undang-undang syariah,'' kata Abu Bakar yang dikirimkan menerusi khidmat pesanan ringkas telefon.

Menurut Hasyim, guru agama itu sangat terkejut dengan berita serangan bom tersebut.

Sementara itu, Indo Pos turut memetik isteri Azahari Husin - lelaki yang didakwa sebagai suspek utama serangan semalam - mendesak suaminya itu menghentikan serangan ganas sedemikian.

``Saya tahu bahawa dia akan sekali lagi dituduh sekiranya ada serangan bom di Jakarta,'' kata Nur Aini ketika dihubungi di rumahnya di Kuala Lumpur.

Katanya, dia selalu mendoakan suaminya yang tidak pernah ditemui sejak lebih empat tahun lalu agar menghentikan tindakan yang menimbulkan kekacauan.

``Saya sangat bersimpati kepada mereka yang menjadi mangsa,'' katanya.

Azahari dan rakannya, Noordin Mohamad Top kini menjadi buruan polis Indonesia kerana dipercayai mendalangi serangan bom di Bali pada tahun 2002 dan di Jakarta, tahun lalu. - AFP