Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Perarakan kutuk tindakan Rusia

Written By JOM JALAN on 8/09/04 | Rabu, September 08, 2004

MOSCOW 7 Sept. - Beribu-ribu orang dijangka berarak menuju ke ibu kota Rusia hari ini sebagai menyatakan kemarahan mereka berhubung tragedi berdarah di sebuah sekolah di Beslan, selatan Rusia yang mengakibatkan lebih 300 orang, kebanyakannya kanak-kanak terbunuh.

Para penganjur perarakan yang dikenali sebagai perhimpunan antikeganasan itu berkata, lebih 100,00 orang akan menyertai demonstrasi itu, yang menyusul selepas Rusia selesai berkabung selama dua hari.

Hari berkabung diisytiharkan di Rusia berikutan kematian sejumlah 335 orang dalam drama tebusan yang berakhir pada Jumaat lalu.

Sementara itu, di Saint Petersburg, kira-kira 40,000 orang keluar semalam untuk mengadakan perhimpunan sebagai memperingati mangsa-mangsa di Beslan selain bertujuan mengutuk keganasan, kata polis. Kebanyakan para penunjuk perasaan membawa bendera Rusia dan sepanduk yang tertulis slogan seperti `Pergi mati pembunuh kanak-kanak.'

Beberapa akhbar harian utama di Rusia masih memfokuskan berita mengenai cara Kremlin menangani krisis itu yang bermula pada pagi Rabu, iaitu hari pertama persekolahan di Rusia.

`Rusia berkabung', menurut tajuk utama dalam harian Izvestia dengan disiarkan gambar kanak-kanak perempuan yang ditaburi bunga-bunga semasa disemadikan.

Kira-kira 400 yang lain termasuk lebih 200 kanak-kanak cedera akibat drama tebusan itu dan kini dirawat di hospital.

Walaupun sebahagian besar rakyat Rusia masih bersedih, pelbagai pihak di negara itu masih hebat memperkatakan soal dan peranan Kremlin dalam menamatkan drama selama tiga hari itu. - AFP