Written By JOM JALAN on 6/09/04 | Isnin, September 06, 2004
SETELAH Nicholas Saputra dan Dian Sastrowardoyo menjadi idola remaja tempatan gara-gara lakonannya dalam filem Ada Apa Dengan Cinta, kini Samuel Rizal atau Sammy dan Shandy Aulia pula menjadi perhatian.
Filem lakonan Samuel dan Shandy, Eiffel... I'm In Love menjadi perbualan hangat di kalangan penonton terutamanya golongan remaja ketika ini.
Malah di Indonesia, filem itu berjaya mengatasi kutipan Ada Apa Dengan Cinta. Bagi Sammy dan Shandy, kejayaan Eiffel... I'M In Love adalah di luar dugaan.
Filem arahan Nasri Cheppy yang diadaptasi daripada novel karya Rachmania Arunita itu mula disiarkan di pawagam tempatan mulai Khamis lalu.
Mempromosikan filem edaran Sendi Mutiara Sdn. Bhd., itu, Sammy, 23 dan Shandy, 17, `diterbangkan' ke Kuala Lumpur minggu lalu.
Berbicara dengan Sammy yang ditemani ibunya, Rully Arifin, seolah-olah sudah lama mengenali pemuda tersebut.
Gelagat Sammy yang ramah dan gemar berjenaka itu boleh menjadikan sesiapa sahaja mudah jatuh cinta kepadanya.
``Beginilah diri saya yang sebenar. Cukup ceria. Tapi apa yang anda semua lihat karakter saya dalam filem adalah watak Adit. Adit seorang pemuda yang kurang berinteraksi,'' jelas Sammy tentang karakter dirinya yang sebenar.
``Justeru kalau ada yang jatuh cinta pada saya setelah menonton filem saya, itu tandanya saya sudah berjaya membawakan watak Adit dengan baik,'' selorohnya.
Bekas pemain bola keranjang pasukan Indonesia itu menjelaskan, biarpun filem pertama lakonannya menjadi bualan hangat, namun secara peribadi dia tetap Sammy yang dulu.
``Saya tidak merasa ada perubahan dalam kehidupan. Saya tetap seperti dulu, bebas bertemu teman-teman. Cuma sekarang saja rutin kerja semakin bertambah.
``Biarpun bebanan kerja bertambah tapi kalau apa yang saya buat itu menggembirakan hati, maka saya tidak rasa apa-apa. Apa yang penting saya perlu enjoy dengan kerja,'' katanya yang terus mendapat banyak tawaran berlakon selepas filem tersebut.
Sammy yang ingin menjadikan lakonan sebagai kerjaya berkata, dia lebih senang menerima tawaran berlakon sekiranya watak yang ditawarkan berbeza.
Bagi Shandy Aulia yang melakonkan watak Tita berkata, watak tersebut sedikit sebanyak ada persamaan dengan dirinya.
Katanya, hampir 60 peratus watak Tita sama dengan peribadinya. Dalam kehidupan seharian, Shandy juga seperti Tita kurang bergaul kerana dia lebih senang menghabiskan masa di rumah.
Biarpun pertama kali berlakon dengan Sammy, Shandy tidak menghadapi masalah kerana masing-masing saling bantu membantu.
``Saya senang sekali berlakon bersama Sammy kerana dia seorang yang berfikiran terbuka dan senang untuk didampingi. Sebab itu saya tidak ragu-ragu berlakon di sampingnya,'' katanya terus terang.
Shandy yang ditemani oleh ibunya, Elsye Dopong, berkata walaupun dalam Eiffel... I'm In Love ada adegan cium antaranya dengan Sammy tapi dia tidak tertarik dengan aktor tersebut.
Lagipun katanya, adegan cium itu dilakukan sepantas lalu dan tidak ada perasaan cinta.
``Adegan cium itu biasa sahaja dan bukan disertai dengan perasaan cinta. Lagipun adegan itu dibuat mengikut jalan cerita dan cium itu ada batasan,'' katanya yang masih belum `berpunya'.
Malah ibunya juga tidak membantah adegan sebegitu kerana sedar apa yang dilakukan oleh Shandy adalah satu kerja.
``Pada mulanya memang saya tidak berapa memberi galakan tapi apabila melihat Shandy ada bakat tersendiri, maka saya sekeluarga perlu memberi sokongan,'' jelas Elsye.