- Tanya Doktor -
Wanita & Seks: Isteri tawar hati selepas tahu suami ada teman wanita
Bersama Dr Mohd Ismail Tambi
SOALAN: SAYA tawar hati untuk menjalin hubungan intim dengan suami selepas mengetahui dia menyimpan teman wanita. Perkenalan mereka masih pada peringkat awal ketika saya mengetahui perkara itu.
Walaupun jalan penyelesaian sudah dicapai, saya tetap tidak dapat memaafkannya.
Bagaimanapun, saya masih terasa sakit hati dengan perbuatannya itu sehingga menjejaskan hubungan kelamin gara-gara kecurangan yang pernah dilakukan itu.
Apakah keadaan ini boleh menjejaskan kerukunan rumah tangga kami kerana saya tidak sepenuh hati ketika melakukan hubungan kelamin?
ISTERI DINGIN,
Terengganu
JAWAPAN: MENGIKUT aspek perilaku seksual, wanita berbeza daripada lelaki kerana lelaki boleh melakukan hubungan seksual tanpa perasaan mesra dengan pasangan kerana apa yang penting ialah melepaskan syahwat dan menikmati kepuasan batin.
Wanita pula perlu keyakinan dan kemesraan dengan pasangan dan dalam keadaan sedemikian, barulah dia boleh memainkan peranannya memberi nikmat seksual kepada pasangan selain menghayati keghairahan syahwat dan kehendak batinnya.
Justeru, tidak hairan jika perkara sebaliknya berlaku kepada wanita, iaitu terasa tawar hati untuk menjalin hubungan intim dan jika melakukannya tidak bersungguh-sungguh apabila dia berasa tidak mempunyai keyakinan kepada pasangannya dan tidak dapat memberi sepenuh jiwanya yang sudah luka itu kepadanya.
Jika keadaan pulih dan perbalahan dapat diselesaikan, adalah penting bagi wanita mengubah sikapnya dan cuba membina kepercayaan kepada pasangan. Dia perlu buang yang keruh dan ambil yang jernih.
Oleh kerana pasangannya sudah insaf dan berterus terang dengannya mengenai hubungan yang tidak ke mana itu dan dia sudah menerima pasangannya kembali, dia perlu buangkan perasaan marah yang masih kekal dalam hati kecilnya kepada pasangannya itu dan kembali ke suasana terdahulu sebelum cabaran hubungan itu berlaku.
Dengan mengawal perasaan marah dan membina kepercayaan kepada pasangan, perasaan dingin kepada pasangan akan berkurangan dan mungkin apabila hati yang luka itu sembuh, dia akan dapat menikmati hubungan keintiman seperti dulu.
(http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Sunday/Doktor/20041119110143/Article/)