Written By JOM JALAN on 23/12/04 | Khamis, Disember 23, 2004
Abang dakwa Hasmawi kena buatan orang
Oleh Ahmad Saufi Mansor
BUKIT MERTAJAM: Penyerang skuad bola sepak Kedah, Hasmawi Hassan didakwa terkena buatan orang hingga dia terpaksa membatalkan majlis pernikahannya dengan jururawat, Norlida Abdul Rahman (gambar), pada saat akhir Jumaat lalu.
Abang sulung Hasmawi yang mewakili keluarga mereka, Haslan, 30, berkata perkara itu disedari apabila pemain berkenaan lebih banyak mendiamkan diri berbanding sebelum ini.
Beliau berkata, Hasmawi sejak kebelakangan ini melawan diri sendiri serta seolah-olah kebingungan dan sukar membuat keputusan.
Dakwanya, perkara itu turut diakui keluarga pihak perempuan dan seorang imam yang bakal menikahkan mereka.
Katanya, hubungan Hasmawi dan Norlida kelihatan baik ketika mereka bertemu di Bukit Jalil pada 4 Disember lalu. Hasmawi hanya dilihat muram kira-kira 10 hari selepas itu dan kemudian membatalkan pernikahan tanpa banyak bercakap.
Keadaan ini perlu diperjelaskan kerana banyak salah anggap terhadap Hasmawi sedangkan kita sendiri tidak tahu perkara sebenar.
Mesti ada sesuatu berlaku kerana sebagai seorang dikenali ramai, jika dia waras, semua perkara ini tidak dilakukannya kerana dia tentu sedar kesan terhadap dirinya, katanya di rumah keluarganya di Machang Bubok, di sini semalam.
Norlida, 23, semalam memfailkan writ saman malu terhadap Hasmawi di Mahkamah Tinggi Muar kerana pembatalan perkahwinan mereka yang dianggap mengaibkan keluarga perempuan.
Haslan berkata, selama ini keluarga mengenali Hasmawi sebagai seorang yang ceria tetapi apabila ditanya mengenai majlis perkahwinannya, pemain itu berubah dan mendiamkan diri.
Jika kita lihat dirinya nampak seperti biasa saja tetapi kita tidak tahu apa yang sebenarnya. Mungkin ada pihak mengatakan kami sekeluarga sengaja mereka-reka cerita.
Kami tidak tahu siapa yang melakukan kerja ini tetapi yang pasti orang itu mahu pastikan Hasmawi langsung tidak pergi ke sana (Kluang) untuk majlis pernikahannya dengan Norlida.
Saya mengesyaki orang itu sengaja buat menjelang hari pernikahan kerana hendak memalukan kedua-dua pihak disebabkan pada waktu itu semua persiapan sudah dilakukan, katanya.
Beliau berkata, keluarganya kini berusaha memulihkan semangat Hasmawi dan adiknya itu tidak perlu diganggu.
Kalau boleh pada masa ini jangan ganggu dia kerana kami sedang memulihkan kembali semangatnya. Selepas segala-galanya selesai dia akan bercakap, katanya.