Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Antartika Ekspedisi Solo: Ekspedisi 22 hari berjaya

Written By JOM JALAN on 31/12/04 | Jumaat, Disember 31, 2004


Antartika Ekspedisi Solo: Ekspedisi 22 hari berjaya
KUALA LUMPUR: Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir yang memulakan ekspedisi untuk menjadi wanita Asia pertama merentasi Antartika secara solo 8 Disember lalu, berjaya melepasi garisan penamat di Hercules Inlet pada jam 10.45 malam kelmarin.
Menerusi e-mel dua perenggan yang dihantarnya kepada Berita Harian menerusi wakilnya di sini, malam tadi, beliau kini menanti kem pangkalan untuk memaklumkannya mengenai masa untuk dibawa pulang ke Patriot Hills.

Beliau dijangka diterbangkan kembali ke Punta Arenas pada 4 Januari ini.

Sharifah Mazlina memulakan ekspedisi dengan kaedah ski sailing secara solo tepat jam 8 pagi waktu Malaysia dengan azam dan semangat kental mengharumkan nama negara.

Sebelum itu, Pensyarah Psikologi Sukan, Fakulti Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) berusia 39 tahun itu menanam kapsul masa yang mengandungi amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Kapsul masa itu diserahkan Abdullah kepada Sharifah Mazlina di Santiago, Chile, ketika Perdana Menteri menghadiri Sidang Kemuncak Apec, akhir November lalu.

Ia diharapkan akan dibawa pulang oleh generasi muda Malaysia pada 2020.

Sepanjang perjalanannya, beliau menghadapi pelbagai cabaran terutama angin kencang dari arah bertentangan atau ketiadaan angin langsung.

Pada perjalanan hari kesembilan, misalnya, Sharifah Mazlina memulakan pengembaraannya walaupun dalam

keadaan hidung berdarah kerana cuaca terlampau sejuk dan hanya berhenti rehat pada jam 2 petang untuk makan tengah hari selama setengah jam.

Pada satu ketika, beliau terpaksa menukar layar daripada saiz 27 kepada 10 ketika menempuh ribut salji dan angin kencang. Malah, kerosakan pada kereta luncur salji dan rintangan cuaca buruk juga tidak mematahkan semangat beliau untuk meneruskan cabaran.

Pada hari ke-12, beliau meneruskan perjalanan tanpa henti selama lapan jam dalam keadaan lutut dan buku lali yang tercedera, dalam menjayakan misinya.

Bagaimanapun, sepanjang pengembaraannya, beliau turut menyaksikan pelbagai perkara menarik, antaranya objek seakan-akan belon berwarna putih di udara, selain merakamkan gambar pemandangan Gunung Theil selepas mendirikan khemah bersebelahan.

Menerusi e-melnya sebelum ini, Sharifah Mazlina juga berkata, walaupun sudah muak dengan makanan paket, beliau menggagahkan diri menghadapi situasi itu menggunakan formula psikologi ciptaan sendiri.

Beliau amat merindui nasi lemak panas, nasi putih berlauk ikan parang asam pedas dan ulam-ulaman, malah mandi air panas