Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Written By JOM JALAN on 15/01/05 | Sabtu, Januari 15, 2005


KARYA al-Muqatha'ah, iaitu catatan huruf-huruf tunggal khat Nasta'liq oleh seniman dari Iran dengan menggunakan buluh khaizaran.
Pena khat - Rahsia tulisan indah
KETIKA menatap lembaran khat yang indah, pernahkah kita bertanya, apa rahsia di sebalik keindahan karya itu? Antara rahsianya ialah pena yang terselit dicelah genggaman jari penulis.
Pena telah digunakan sejak ribuan tahun dahulu dalam tamadun manusia, sama ada untuk seni mahupun kegunaan umum. Pada zaman awal, ia berperanan sebagai alat melakar lukisan dan simbol pada dinding gua atau batu seperti inskripsi tulisan tamadun Sumeria, Mesir purba, Phoenix dan lain-lain.
Pena mengalami evolusi daripada melakar hingga kepada penggunaan tinta. Proses ini turut berlaku dalam penyalinan wahyu pada zaman Rasulullah s.a.w. Setiap catatan sama ada pahatan atau menggunakan tinta, termasuk dalam kategori penggunaan pena.
Lorekan pena yang tidak bertinta di atas bahan keras seperti batu atau lain-lain menghasilkan corak tulisan Arab yang tegak dan keras (Yabis). Sementara catatan pena bertinta di atas lembaran lembut menghasilkan tulisan yang lembut (Jaff).
Tulisan Cina yang bergaya bebas pula dihasilkan daripada pena berus bulu haiwan kerana ia sesuai dengan corak tulisan tersebut. Manuskrip al-Quran dari China unik kerana menggunakan pena yang dibalut dengan kain sutera. Pena menggunakan tinta digunakan secara meluas sehingga hari ini mungkin kerana ia membuka lebih banyak ruang untuk berseni atau aktiviti lain.
Dalam kecanggihan teknologi ICT, prinsip pena masih lagi dimanfaatkan misalnya dengan kewujudan pena elektronik yang dilakar di atas skrin komputer. Pena disebut di dalam al-Quran antaranya dalam surah al-Qalam, maksudnya: Nun. Demi pena dan demi apa yang mereka catatkan'' dan surah al-`Alaq, maksudnya:''Bacalah dengan nama Tuhanmu, yang mengajar melalui perantaraan pena.
Allah s.w.t. membuat perumpamaan pena seperti dalam surah Luqman ayat 27: Seandainya pohon di bumi menjadi pena, dan lautan (menjadi tinta) ditambah kepadanya tujuh lautan sesudah keringnya, tidak akan habis kalimat Allah.''
Ayat ini menunjukkan kegunaan pohon sebagai pena. Pohon adalah dalam kategori tumbuhan. Daripada pengalaman dan kajian, didapati pena daripada tumbuhan jauh lebih baik daripada pena moden berjenama dan berharga ribuan ringgit. Inilah yang mendorong seniman khat untuk menggunakan pena daripada tumbuhan dalam penyalinan al-Quran sejak dahulu lagi.
Pena boleh dihasilkan daripada pelbagai bahan dan didapati di mana sahaja di muka bumi ini. Selain itu, bahan lain seperti kulit gandum, kulit padi dan sebagainya turut dijadikan mata pena. Ini memudahkan ia digunakan untuk menyalin ayat al-Quran dan kegunaan yang lain. Kemudahan ini menggalakkan manusia untuk mendalami rahsia ilmu dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. melalui ilmu dan penyalinan ayat-ayat-Nya.
Pena boleh diperbuat daripada pelbagai bahan sama ada tumbuhan atau logam. Namun pena yang diperbuat daripada tumbuhan ada keistimewaan yang tersendiri. Struktur rawan dan seratnya mampu menyerap dakwat secara semula jadi. Ia anjal dan membantu penulis untuk mengawal aliran tinta sewaktu membentuk huruf. Saiz mata penanya juga boleh diubah mengikut saiz huruf yang diperlukan. Banyak lagi keistimewaan pena tumbuhan selain daripada ini.
Pena tumbuh-tumbuhan lebih dekat dengan jiwa penulis. Keindahan tulisan terpancar daripada cahaya hati dan disalur melalui pena yang baik. Tidak hairanlah jika Plato sendiri pernah mengatakan, ``Tulisan adalah mekanisma jiwa yang dizahirkan melalui perkakas jasmani (pena).'' Selain khat, pena daripada tumbuhan juga baik untuk tanda tangan dan hasil kesenian lain yang mengkagumkan.
Bumi kita kaya dengan bahan yang baik untuk pena. Ini tidak menghairankan kerana Malaysia mempunyai `Green Gold' atau emas hijau.
Di antara tumbuhan hebat untuk pena di negara kita ialah handam atau resam. Ia adalah daripada sejenis pokok paku yang tumbuh meliar di tepi jalan, desa dan hutan. Ia amat diminati oleh seniman khat dari seluruh dunia. Malah ada yang merentasi ribuan batu demi mencari `pena emas' ini dan ada peniaga di negara mereka yang menjualnya dengan harga yang lumayan.
Keistimewaan ini membuatkan Black & Brown suatu ketika dahulu istiqamah untuk menyalin manuskrip Al-Quran Mushaf Malaysia beriluminasi penuh selama tiga tahun dengan menggunakan handam dan tidak tertarik untuk menggunakan pena khat biasa.
Pena
Selain handam atau resam, bilah daripada pohon ijuk yang amat keras dan kurus juga amat baik digunakan sebagai pena. Buluh juga tidak kurang pentingnya. Penulis khat di Asia Barat gemar juga menggunakan buluh untuk penulisan khat. Di Iran, penulis menggunakan sejenis buluh yang di panggil Khaizaran. Sejenis tumbuhan seperti bemban yang dipanggil Dusfuli turut menjadi pilihan mereka.
Jika manusia perlu diasah, pena juga perlu dibentuk dan diasah agar menjadi pena yang baik. Pena baru `dilatih' supaya benar-benar bersedia untuk tulisan. Biasanya penulis mempunyai beberapa jenis saiz mata pena. Saiz dan kecondongan mata pena amat penting dalam menentukan ketepatan khat.
Pena dan tinta disimpan dalam bekas yang tersendiri dan diasah dari masa ke masa. Malah ada penulis khat zaman dahulu `memulangkan' cebisan pena ke dalam tanah dan ada yang menyimpan baki pena penyalinan ayat al-Quran dengan baik demi menjunjung tinggi Kalam Allah s.w.t.
Antara petua mengasah pena ialah membentuk sisi mata seperti bentuk ikan. Antaranya lagi ialah memotong matanya mengikut kecondongan antara hujung jari telunjuk dan jari tengah. Kadar ukuran lilit batang pena juga turut menjadi ukuran untuk bahagian yang terlibat dalam meraut mata pena.(Lihat gambar di bawah)
Penggunaan pena ini tidak menolak kemajuan, bahkan ia menjadi satu elemen pemangkin pembangunan budaya sesebuah bangsa. Black & Brown berusaha mengembangkan dan memperkenalkan penggunaan pena kepada masyarakat. Kajian turut dijalankan supaya nikmat Allah s.w.t. melalui pena yang tidak ternilai ini akan dapat dihayati oleh semua.
* Artikel di atas adalah hak intelektual Black & Brown Resources Sdn. Bhd. Ia sebuah syarikat bumiputera yang berpengalaman dalam seni Islam, penerbitan dan pengiklanan selama 15 tahun dan pembinaan manuskrip al-Quran beriluminasi selama 10 tahun.
Tel: 03-61565660 Faks: 03-61565661 E-mel: sisipanseni@blackbrown.com.my
http://www.blackbrown.com.my