Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Kamal mati akibat balas dendam

Written By JOM JALAN on 14/07/05 | Khamis, Julai 14, 2005

LONDON 13 Julai - Para pemimpin Islam di Britain meminta penduduk Islam negara ini bertenang selepas seorang lelaki Pakistan terbunuh dalam satu serangan yang dipercayai berunsur perkauman.

Pertubuhan-pertubuhan Islam bimbang serangan terhadap Kamal Raza Butt di Nottingham adalah sebahagian daripada tindakan membalas dendam berikutan serangan pengganas di London minggu lepas.

Enam pemuda disoal siasat oleh detektif semalam berhubung pembunuhan itu.

Kamal, 48, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebatang jalan pada petang Ahad lalu.

Mangsa tinggal bersama-sama seorang kawan di bandar raya itu sejak kira-kira enam minggu lalu dan sebelum kejadian telah berjalan kaki ke sebuah kedai tempatan.

Inayat Bunglawala daripada Majlis Islam Britain berkata: ``Insiden ini dipercayai reaksi membalas dendam terhadap serangan (di London).''

Pembunuhan Kamal merupakan kejadian paling serius kerana sebelum ini tidak ada sesiapa yang cedera parah dalam kejadian seumpama itu.

Supritendan polis, Dave Colbeck berkata: ``Satu pertengkaran telah meletus dan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya.''

Berdasarkan siasatan polis di tempat kejadian, serangan itu dipercayai berunsur perkauman, katanya.

Beberapa masjid di London, Leeds, Birkenhead, Telford dan Bristol diserang dan dibakar sejak serangan bom Khamis lalu.

Menurut penduduk tempatan, anasir daripada kem pelampau berhaluan kanan British telah cuba mengeksploitasi keganasan minggu lepas untuk tujuan politik.- Agensi