Edisi KL : Mawi mangsa lanun
Laporan Efindi Badarudin dan Faizatul Farlin Farush Khan
KUALA LUMPUR: Juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi, 24, menjadi mangsa lanun cakera padat video (VCD) cetak rompak yang mengambil kesempatan terhadap popularitinya untuk mengaut keuntungan besar.
Baru empat hari konsert final AF3 berakhir Sabtu lalu, lanun VCD cetak rompak dikesan menjual VCD final itu secara terbuka di beberapa lokasi tumpuan ramai terutama di ibu kota dan beberapa pasar raya besar di Johor Bahru dan Kulai seawal pagi Ahad lalu.
Berikutan kemenangan Mawi, semua VCD cetak rompak konsert mingguan sejak minggu pertama turut mendapat sambutan hangat, apatah lagi di Johor kerana Mawi berasal dari Felda Taib Andak, Kulai.
VCD itu dijual antara RM5 hingga RM7 bagi satu konsert bergantung kepada bilangan cakera.
Kulit VCD konsert final itu pula menonjolkan wajah Mawi bertujuan melariskan jualan secepat mungkin sebelum pemegang hak cipta, Maestro Management & Talent, mengeluarkan VCD asli hujung minggu depan.
Difahamkan, VCD itu dirakam daripada siaran langsung konsert final AF3 di Stadium Malawati, Shah Alam, menerusi televisyen kabel berbayar, Astro.
Tinjauan Harian Metro di pasar raya besar di Johor Bahru mendapati ramai pengunjung bertumpu untuk mendapatkan VCD konsert final cetak rompak itu.
Peniaga turut mempromosikan barangan berkenaan kepada setiap orang yang melalui gerai mereka supaya membeli VCD terbabit.
Peniaga berkenaan memegang VCD berkenaan sambil menjerit nama Mawi bagi menarik perhatian pengunjung.
Pengarah Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Sulaiman Salam, berkata pihaknya sedang memantau kegiatan itu.
“Kami akan mengambil tindakan terhadap dalang yang mengeluarkan VCD berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Operasi Maestro Management & Talent, Freddie Fernandez, berkata pihaknya kecewa terhadap kegiatan pihak mencetak rompak VCD konsert mingguan AF3, terutama konsert final Sabtu lalu sedangkan VCD asli belum dijual.
Beliau berharap KPNHEP bertindak segera terhadap peniaga VCD itu.
“KPDNHEP perlu juga mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang sewenang-wenangnya menyalin konsert final ini dalam bentuk VCD untuk dijual kepada orang ramai.
“Saya mahu mereka dikenakan hukuman berat supaya tiada pihak lain berani melakukan perbuatan yang sama.
“Maestro mempunyai tanggungjawab membayar royalti kepada peserta AF3 tetapi kewujudan VCD cetak rompak sudah pasti menjejaskan pendapatan mereka,” katanya, ketika dihubungi, semalam.
Freddie berkata, VCD konsert final yang asli hanya akan dijual bermula hujung minggu depan kerana ia dihantar kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) untuk proses penapisan dan penyuntingan.
“Selain itu, VCD terbabit perlu ditampal dengan pelekat hologram bagi membezakannya dengan yang dicetak rompak dan semua proses ini mengambil masa selama 10 hari.
“Saya kecewa kerana ada pihak senang-senang saja menjual kerana mereka tidak perlu melalui semua proses. Mereka hanya menggunakan modal yang kecil saja berbanding kami,” katanya.
Beliau berkata, Maestro akan mengeluarkan 10,000 VCD cetakan pertama konsert final AF3 menjelang hujung minggu depan dengan kos RM20,000 untuk edaran seluruh negara.
Setiap VCD akan dijual pada harga RM19.90 seunit.
Pada konsert final itu, Mawi dinobatkan juara AF3 tepat jam 11.18 malam. Dia juga memenangi kategori Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik.
Kemenangan Mawi yang menyandarkan lagu Seroja (penyanyi asal S Effendi) dan Aduh Saleha, ciptaan M Nasir, memang sudah diduga kerana sejak dimasukkan semula ke AF3, kedudukan undian untuk peserta itu sentiasa pada paras teratas.
Suara Mawi, terutama ketika mendendangkan lagu Seroja memikat lebih 6,000 penonton yang memenuhi stadium itu, malah tiga pengkritik - Kudsia Kahar, Adlin Aman Ramli dan Syafinaz juga terpegun dengan persembahannya.
Mawi menerima hadiah bernilai RM321,854, termasuk sebuah pangsapuri (RM176,000), kereta Suzuki Swift 1.5 (bernilai RM78,000), wang tunai RM20,000, pakej percutian ke London dan Paris, produk Olympus, trofi serta hadiah iringan lain.