Oleh Zul Husni Abdul Hamid
EMPAT tahun lalu, dia pernah mengetuk pintu hati peminat dengan alunan Tegar. Rossa, wanita kecil molek hadir semula bersama Kembali, membisikkan semula impian besarnya untuk mencipta nama gemilang di negara ini. AURA Rossa di pentas begitu mengagumkan. Dia hebat, punya pesona tersendiri. Lerai sudah gundah yang meresahi hatinya. Baru saja di pasaran tempatan, Kembali sudah mencecah 10,000 unit.
Jumlah yang menjawab kehadirannya diterima semula pencinta muzik di sini. Yang penting, katanya, adalah meneruskan semula usaha mendekati kembali hati peminat. Harapan yang pernah dulu runtuh setelah Tegar memperkenalkan namanya di Malaysia.
“Sudah lama saya mahu kembali ke sini. Sejak album ketiga iaitu Kini, tetapi syarikat rakaman menghadapi kesulitan untuk kerjasama itu. Alhamdulillah, Tuhan menjawab doa saya dengan Kembali,” Rossa membongkar isi hatinya.
Selepas Tegar, pemilik nama penuh, Sri Rossa Roslaina Handayani itu hanya mampu mengintai peluang untuk melebarkan bakat di negara serumpun. Keakraban dengan penyanyi tersohor Indonesia, Kris Dayanti meruntun hatinya untuk turut mencuba nasib di sini.
“Saya percaya Allah akan selalu memberikan yang terbaik. Peluang ini memberi semangat untuk saya kembali berjuang di negara ini. Saya berbangga dengan kejayaan yang dicipta penyanyi senegara, jadi saya juga berdoa akan berhasil di sini,” katanya.
Kembali adalah pencapaian terbesar Rossa apabila album itu meraih jualan ketiga terbaik selepas PeterPan dan Ada Band. Kekuatan itu memberi keyakinan kepada SRC untuk membawa Rossa menemui peminat Malaysia.
“Saya tidak mahu hanya dikenali di Indonesia. Peluang mengembangkan bakat di Malaysia adalah penghargaan, kerjasama yang memang dinanti kerana saya banyak cerita yang baik mengenai peminat seni di sini.
“Kita semua serumpun, malah peminat muzik Indonesia juga mengalu-alukan kehadiran penyanyi Malaysia di sana. Lihat saja kejayaan yang pernah dicipta Search dan Siti Nurhaliza. Saya mahu sekali Malaysia menjadi negara kedua untuk kerjaya seni saya,” katanya.
Pinta Rossa, jangan dilihat kehadirannya sebagai pesaing. Bukan itu impiannya. Sebaliknya, Rossa berharap kehadirannya diterima sebagai sebuah keberuntungan untuk memperluaskan wawasan muzik Melayu.
“Saya tidak mencabar Kris Dayanti, tetapi saya mengambil manfaat popularitinya untuk mencipta laluan ke negara ini. Kita perlu ada seseorang yang menjadi ikon. Saya sudah punya kesempatan itu dan sudah pasti, berusaha untuk menjadi ikon sepertinya juga,” katanya, positif dan penuh keyakinan.
Komen Rossa mengenai Seksi
BESAR ketawa Rossa, tidak menyangka berita namanya tersenarai antara 100 terseksi di dunia pilihan pembaca FHM, Indonesia turut tersebar di sini. Turut bersama Rossa dalam senarai itu, bintang berbibir seksi, Angelina Jolie dan Siti Nurhaliza.
“Seksi saya bukan kerana berpakaian terbuka atau beraksi menggoda. Tapi aura wanita yang menampakkan saya sebagai seorang yang seksi. Semua wanita memiliki aura itu. Aura yang terbit daripada pengalaman meniti kematangan.
“Saya terima itu sebagai pujian. Tetapi, saya tetap berpegang dengan pendirian untuk tidak berpakaian seksi,” kata isteri kepada pemain dram kumpulan Padi, Yoyo itu.
Bersuamikan lelaki yang sealiran, kata Rossa memudahkan langkah kerana didukung insan yang begitu memahami aspirasi seninya. Malah, Kembali selain ditangani nama popular Indonesia turut disempurnakan dengan sentuhan Yoyo dalam lagu Wanita Yang Kau Pilih.
“Kami sering berdiskusi, berkongsi keinginan dan persefahaman itu membawa keberkatan dalam perjalanan karier saya. Ketika berpacaran, saya pernah menyuarakan hasrat untuk menyanyikan lagu ciptaan Yoyo.
“Tetapi, impian itu hanya terhasil selepas kami mendirikan rumah tangga,” kata wanita kelahiran Sumedang yang cukup sinonim dengan lagu Pudar dan Bicara Pada Bintang.
Kagumi suara Misha
PLANET Hollywood menyaksikan kesungguhan Rossa untuk mencipta nama besar di negara ini. Bersama 16 lagu, sebahagian besar dipetik daripada Kembali, Rossa membawa karisma sebagai penyanyi muda yang wajar diberi peluang.
“Saya senang sekali dengan sambutan yang diberikan. Sungguh saya tidak sangka ramai yang hadir. Mulanya saya cukup gementar, panik tiada siapa yang mahu menyaksikan persembahan Rossa .
“Alhamdulillah, saya diterima. Mudah-mudahan ia memberi permulaan yang baik untuk saya memulakan kembali perjuangan di Malaysia,” katanya.
Hampir dua jam, Rossa beraksi tanpa rehat kerana tidak mahu momentum yang sudah tercipta disentap. Akhirnya memudarkan minat penonton untuk terus menyaksikan persembahannya.
Antara lagu yang dinyanyikannya adalah Kembali, Perawan Cinta, Bicara Pada Bintang, Kini, Cinta, Wanita Yang Kau Pilih, Pujaan Hati, Malam Pertama, To Love You More, Aku Bukan Untukmu, Pudar dan Sakura.
Menerusi Akankah Bisa, Rossa menjemput penyanyi Bunga-Bunga Cinta, Misha Omar untuk berpadu suara.
“Saya mengagumi suara Misha, tersendiri dan kualiti suara begitu tiada di negara saya. Saya mahukan nuansa yang berbeza. Bakatnya luar biasa, personalitinya juga mempesonakan. Senang bekerjasama dengannya.
“Misha suka ketawa, malah nakal juga ya di pentas,” katanya, mengharap kerjasama mereka tidak hanya terhenti setakat itu.