KOTA TINGGI: "Saya tahu Mawi bukan lelaki yang mudah lupa diri atau tergoda dengan perempuan. Saya harap dia tidak akan berubah dan sentiasa berpegang dengan janjinya pada saya sebelum menyertai Akademi Fantasia 3 (AF3)," kata Nor Diana Mohamed Naim, tunang kepada Asmawi Ani atau Mawi (gambar).
Nor Diana, 21, berkata beliau yakin Mawi tetap seperti yang dikenalinya sebelum menyertai AF3, apatah lagi kini dinobatkan sebagai juara.
Katanya, gerak hatinya begitu kuat Mawi mampu menghadapi pelbagai cabaran sebagai seorang artis popular.
"Mawi sentiasa mengingatkan saya supaya banyak bersabar dan bersedia menghadapi keadaan yang tidak disangka seperti sekarang ini termasuk berdepan dengan gosip ataupun kenyataan yang berbagai.
"Apabila terpilih AF3, kami ada berbincang mengenai perkara ini secara mendalam dan saya serta keluarga merelakan pemergiannya, malah kita sendiri sentiasa mendoakan kejayaannya," katanya yang turut beberapa kali sembahyang Hajat untuk kejayaan tunangnya.
Nor Diana yang kelihatan tenang ketika ditemui di rumahnya di Felcra Sungai Ara di sini, malam tadi berkata, beliau mengenali Mawi melalui seorang rakan Mawi yang sama bekerja dengannya.
Katanya, selepas perkenalan itu, mereka hanya berhubung melalui telefon selama lima bulan sehinggalah pertemuan empat mata pada 31 Ogos tahun lalu, di Bongsu Corner Karaoke, di Senai.
Beliau berkata, selepas itu mereka beberapa kali berjumpa dan Mawi mengajarnya menyanyi lagu karaoke, antaranya Jangan Pisahkan yang dipopularkan oleh penyanyi Indonesia, Deddy Dores.
Nor Diana yang kini bekerja sebagai pembantu kualiti di sebuah kilang elektronik di sini, tidak dapat bersama Mawi pada malam bersejarah Sabtu lalu kerana gagal mendapat tiket konsert final itu.
"Pada malam itu, saya tidak dapat jumpa Mawi kerana tak dapat tiket, jadi saya tumpang rumah makcik dekat Kampung Baru untuk tengok Mawi nyanyi di konsert itu.
"Saya tidak sedih sebab selepas menang, Mawi ada telefon ceritakan jadual dia ketat dan jarang nak dapat telefon tetapi dia kata tetap sayangkan pada Ina (Nor Diana).
"Dia minta Ina faham keadaan dia sekarang dan Ina tak bimbang sebab dah janji awal, jika ada apa-apa Mawi akan bagi tahu Ina. Kemenangan Mawi mungkin rezeki kami berdua.
"Kami bertunang pada 11 Disember lalu hingga tahun depan, tapi sekarang bergantung pada Mawi buat keputusan," katanya.
Beliau berkata, Mawi masuk AF3 atas desakan kawan dan dia menjalankan uji bakat pada 19 Mac sama dengan tarikh lahir Nor Diana.
Malah, katanya, Mawi menghadiahkan pemilihannya ke AF3 sebagai ‘hadiah istimewa’ hari lahirnya yang ke 21, pada 19 Mac lalu.