WAWANCARA
ASMAWI Ani, 24, atau Mawi yang mencetuskan fenomena luar biasa industri hiburan tanah air sudah pun disahkan sebagai juara Akademi Fantasia 3 (AF3) dengan membolot hadiah bernilai suku juta ringgit.
Namun begitu, di sebalik kemenangan itu, masih ramai peminat pelajar anak kelahiran Kulai, Johor itu ingin mengetahui beberapa persoalan termasuk isu pertunangannya dengan seorang gadis bernama Nur Diana serta siapakah yang bakal menemaninya bercuti ke syurga membeli-belah di Kota London dan Paris.
Berikut adalah sedutan wawancara pengacara, Aznil Nawawi bersama Mawi yang disiarkan secara langsung melalui rancangan Imbasan Akhir AF 3 saluran Astro pada pukul 1 petang semalam.
Aznil: Memang ini rezeki Mawi. Pada mulanya, Mawi disingkirkan dan kemudiannya diterima semula masuk ke akademi dan sekarang Mawi berjaya menyapu bersih kesemuanya berjumlah RM260,000 ringgit. Adakah ini diluar jangkaan Mawi?
Mawi : Saya tidak pernah terfikir untuk bergelar juara. Langsung tidak pernah. Cuma, saya buat apa yang saya mampu.
Kita tengok sekarang, banyak kejadian yang kita tidak sangka. Pada mulanya, saya mengumumkan nama Mawi disingkirkan, Mawi tidak dapat masuk ke akademi. Pernahkah Mawi terfikir akan tersingkir masa Konsert Prelude dulu?
Mawi : Waktu Konsert Prelude tersebut, saya rasa saya akan terpilih dan sangat yakin saya dapat menyertai AF3 kerana waktu itu, saya membuat kelainan dengan menyampaikan lagu Intifada, lagu berunsurkan ketuhanan. Namun, saya terpaksa akur nasib tidak menyebelahi saya dan saya tersingkir.
Memang rezeki Mawi, keluar macam mana pun tetap dapat masuk balik. Itulah yang dinamakan realiti TV. Ok. Mawi, apabila berada di pentas, sentiasa kedengaran orang menjerit world, world, Mawi, Mawi world, Mawi world. Saya sendiri tidak tahu apa yang dijeritkan. Tetapi saya tengok Mawi sentiasa kelihatan tenang. Bagaimana Mawi mententeramkan jiwa Mawi atau Mawi pekakkan telinga sahaja?
Mawi : Mula-mula mendengar orang menjerit, memang meremang bulu roma. Kemudian saya rasa macam tidak boleh berfikir, `mental block'. Tetapi, alhamdulillah, masuk minggu kedua dan minggu-minggu seterusnya, saya semakin dapat mengawalnya dan menerimanya.
Mawi juga sebelum ini mempunyai masalah terlupa lirik, dan selepas itu Mawi berjaya memperbaikinya. Mawi kelihatan semakin konsisten dalam menghafal lirik dan berjaya mengatasi masalah terlupa melodi. Jadi apakah menghafal lirik ini terlu sukar bagi Mawi?
Mawi : Sukar. Bagi saya, pekerjaan menghafal lirik ini terlalu sukar dan susah. Kita perlu sentiasa menyebut benda itu. Waktu basuh pinggan pun sebut, dalam tandas pun sebut dan bangun tidur pun kena sebut.
Mawi dan Felix tinggal dalam satu bilikkan? Felix selalu cerita yang Mawi seorang yang kuat mengigau malam. Betul ke?
Mawi : Memang dia yang dengar, saya pun tidak tahu yang saya ni mengigau atau pun tidak.
Habislah, pecah rahsia bintang kesayangan ramai ini. Ok, Felix pula katanya memang suka buang angin ye?
Mawi : Entahlah. Tetapi, ada sekali. Kejadian itu berlaku waktu kami berkongsi selimut. Bayangkan selimut itu sangat tebal dengan udara yang sejuk sebab tidur dalam penghawa dingin. Tiba-tiba saya terbau macam sesuatu lah. Rupanya..
Ok, Mawi dari minggu ke minggu Mawi sentiasa mendapat peratusan undian yang tinggi sehinggakan Felix tidak terkejar, jadi adakah Mawi yakin bahawa Mawi adalah juara AF3?
Mawi : Saya tidak pernah terfikir saya juara atau pun tidak. Saya juga tidak terfikir yang undian saya sentiasa di atas. Memang tidak pernah terlintas di fikiran saya sama ada nak menang ke atau nak kalah, saya tidak fikir pasal itu. Tetapi sampai hari ini, inilah kenyataannya Mawi berjaya muncul juara.
Adakah Mawi pernah terasa bahawa apabila Mawi menyertai akademi, peluang Felix untuk bergelar juara telah dirampas oleh Mawi?
Mawi : Saya tidak pernah berasa sedemikian. Saya rasa apabila saya masuk AF3, saya adalah orang yang paling kecil sekali. Contohnya, waktu musim pertama, saya berasa segan sangat dengan peserta akademi yang lain.
Baiklah, apabila Mawi berjaya menyesuaikan diri, saya dapat lihat Mawi kelihatan lebih rileks dan sekarang AF3 pun sudah dipenghujungnya. Jadi, selepas berakhirnya AF3, apakah kenangan dan perkara yang paling Mawi rindukan?
Mawi : Saya rindu nak menari. Sebelum ni memang saya tidak pernah menari tetapi apabila masuk akademi saya telah dipaksa untuk menari walaupun saya tidak suka menari. Apabila menari, saya rasa syok sangat terutamanya apabila menari beramai-ramai.
Tetapi apabila Mawi menari, Mawi perasan tak ada orang ketawakan gaya Mawi?
Mawi : Memang perasan. Sumbang sangat tarian saya sebab itu saya ditertawakan.
Mawi diberi peluang bercuti ke Paris dan London? Siapakah yang bakal menemani Mawi ke sana?
Mawi : Saya masih belum fikir siapa yang akan menemani saya bercuti.
Ramai yang ingin mengetahui status Mawi di luar. Adakah Mawi sudah bertunang, mempunyai kekasih atau apa? Sekarang ini kita leraikan persoalan tersebut?
Mawi : Saya sudah bertunang.
Apakah nama tunangan Mawi?
Mawi : Nur Diana.
Bilakah Mawi mula berkenalan dengan tunang? Kenapa cepat sangat Mawi bertunang?
Mawi : Sebenarnya saya dah lama berkawan dengan tunang dan keluarga kami menasihatkan kami agar mengikat tali pertunangan.
Yalah, tidak elok berkawan lama-lama tanpa sebarang ikatan dan saya pasti sebagai peminat setia Mawi, anda tetap akan terus menyokong walau apa pun status Mawi.
Mawi, dalam mengharungi dunia seni yang penuh cabaran dan tuntutan ini, bagaimana Mawi dapat mengekalkan imej Mawi yang sedia ada dan kesediaan Mawi ke arah perubahan hidup Mawi sekarang serta dapatkah Mawi menjalankan tanggungjawab sebagai anak, tunangan orang dan juga seorang pemuda Islam?
Mawi : Tentang imej, saya ingin menjadi seorang penyanyi yang `world music', boleh menyanyikan pelbagai rentak lagu, contohnya macam lagu Aduh Saliha. Saya juga bersedia untuk mengubah hidup saya, dan sebagai pemuda Islam, saya akan cuba memberikan yang terbaik dan anda yang akan menilai adakah saya layak menjadi `role model' anda.