Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Mawi dipilih model tarik golongan belia benci dadah

Written By JOM JALAN on 8/08/05 | Isnin, Ogos 08, 2005

KANGAR 7 Ogos - Selepas muncul juara Akademi Fantasia 3 (AF3) malam tadi, Mawi, terus dipilih sebagai model Kementerian Belia dan Sukan untuk menarik golongan belia terutama di kawasan Felda menjauhi dan membenci dadah.

Menterinya, Datuk Azalina Othman Said berkata, Mawi atau Asmawi Ani, yang berasal dari Felda Taib Andak di Kulai, Johor, dan mempunyai ramai peminat mampu membantu kerajaan menjayakan kempen menjauhi dadah di kalangan golongan muda.

``Saya berterima kasih kepada Astro dan Mawi kerana turut menjayakan kempen supaya belia membenci dadah pada pertandingan malam tadi.

``Masalah dadah di tanah-tanah rancangan juga adalah serius dan langkah yang dilakukan oleh Astro dan Mawi adalah cukup baik sekali,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Majlis Kecergasan Kebangsaan (NFC) peringkat negeri di Dataran Datuk Sheikh Ahmad di sini hari ini.

Semalam, Mawi, 24, diisytiharkan sebagai pemenang AF3 dan pada konsert akhir itu, beliau beberapa kali melaungkan slogan `Belia Benci Dadah.'

Mawi yang mendendangkan lagu Seroja dendangan asal S. Effendi dan sebuah lagu baru, Aduh Saliha, ciptaan Pengetua AF3, M. Nasir, memperoleh 58 peratus meninggalkan pesaing terdekatnya, Felix yang mendapat 30 peratus.

Amylea pula lapan peratus dan Marsha empat peratus.

Azalina seterusnya berkata, kempen menjauhi dadah dianggap akan lebih berjaya jika dilakukan sendiri oleh golongan belia yang popular dan mempunyai ramai peminat.

``Jika Mawi yang sampaikan mesej ini atau ikon mereka yang sampaikan, ia pastinya menjadi ikutan kepada peminat mereka,'' katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya akan berbincang dengan semua stesen televisyen di negara ini supaya memberi penekanan kepada mesej positif dalam rancangan realiti sebagaimana yang dilakukan oleh Astro dalam AF3.

``Memandangkan kesan rancangan realiti ini amat pantas kepada remaja, kita juga perlu menggunakan media ini untuk menjayakan kempen kerajaan sambil berhibur,'' jelasnya.

Usaha itu juga, tegas beliau, dapat membuktikan bahawa program realiti yang disiarkan stesen televisyen tempatan tidak mencedok bulat-bulat apa yang disiarkan oleh televisyen dari Barat.

Selama ini, tambahnya, kerajaan bimbang program realiti yang disiarkan oleh stesen televisyen tempatan akan memberi lebih banyak keburukan kepada remaja jika ditiru bulat-bulat dari Barat.