KUALA LUMPUR 7 Ogos - Astro akan meneruskan program realiti hiburan Akademi Fantasia musim keempat (AF4) pada tahun depan dengan menjanjikan persembahan yang lebih menarik dan istimewa.
Ketua Program Melayu Astro, Rozina Aziz berkata, AF4 dijangka menampilkan beberapa pendekatan dan pembaharuan yang belum pernah dilakukan pada ketiga-tiga musim sebelum ini.
Beliau bagaimanapun, tidak dapat memberikan butir-butir lanjut berhubung konsep baru itu.
``AF akan diteruskan tahun depan, sehingga kini, kami belum memutuskan apa-apa perancangan kerana ia masih terlalu awal,'' katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Pada konsert akhir AF3 semalam, Mawi atau nama penuhnya Asmawi Ani, 24, diumumkan sebagai juara yang juga memenangi Anugerah Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik.
Sementara itu, hampir RM7 juta dibelanjakan oleh pengundi-pengundi AF3 untuk menghantar undian secara khidmat pesanan ringkas (SMS).
Jumlah tersebut diperoleh menerusi 10.7 juta undian yang diterima melalui SMS sejak konsert minggu pertama pada 4 Jun lalu sehingga undian ditutup pada konsert terakhir malam tadi.
Menurut statistik yang dikeluarkan Astro, sebanyak 1.7 juta SMS diterima daripada pengundi untuk konsert terakhir malam tadi sahaja.
Jumlah berkenaan termasuk undian untuk Anugerah Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik yang pertama kali diperkenalkan tahun ini.
Setiap SMS dikenakan bayaran 65 sen, iaitu 50 sen sebagai caj premium manakala 15 sen kadar yang dikenakan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi.
Pada AF2 tahun lalu, setiap SMS dikenakan caj 50 sen.
Bagaimanapun, jumlah undian pada AF3 merosot 4.3 juta berbanding 15 juta SMS pada AF2 yang antara puncanya ialah faktor Mawi yang mendominasi AF3.
``Menurut maklum balas yang kami terima, kebanyakan penonton berasa kecewa dan memutuskan untuk tidak menghantar sebarang undian SMS kerana kedudukan Mawi yang begitu kukuh serta tidak dapat digugat.
``Keadaan ini amat berbeza dengan pertandingan sebelumnya di mana persaingan antara para peserta adalah begitu sengit dengan peratusan undian SMS yang tidak jauh berbeza,'' kata Rozina.