Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Mawi berjanji setia pada tunang

Written By JOM JALAN on 11/08/05 | Khamis, Ogos 11, 2005

Edisi Nasional: Berjanji setia pada tunang
Oleh Ellyna Ali
elly@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Walaupun populariti mula menguasai juara Akademi Fantasia Musim 3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi, 24, tetap akan berpegang kepada janji yang diikat bersama tunangnya, Nor Diana Mohd Naim, 21.

Anak peneroka Felda Taib Andak, Kulai, Johor, itu juga akan memastikan perasaannya terhadap Nor Diana atau lebih mesra panggilan Ina tidak sekali-kali berubah.

“Insya-Allah saya akan cuba mengotakan janji saya dan saya pasti kalau jodoh saya kuat dengan Ina, kami akan disatukan juga akhirnya.

“Saya hanya berserah kecuali takdir yang memisahkan kami dan seandainya tersurat cinta kami terhenti di tengah jalan, saya tidak boleh melawannya. Apalah upaya saya untuk melawan takdir?,” katanya.

Mawi berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Ina seperti yang dilaporkan Harian Metro kelmarin.

Dalam kenyataannya itu, Ina menyatakan harapannya Mawi tidak akan berubah dan sentiasa berpegang dengan janjinya sebelum menyertai AF3.

Ina bagaimanapun yakin Mawi bukan lelaki yang mudah lupa diri atau tergoda dengan perempuan.

Malah gerak hatinya juga kuat mengatakan Mawi mampu menghadapi pelbagai cabaran sebagai seorang artis popular.

Menceritakan lebih lanjut hubungannya dengan Ina, Mawi mengakui tertarik hati dengan tunangnya itu kerana dia memiliki perwatakan yang diminatinya.

“Sepanjang mengenalinya, Ina bagi saya seorang wanita yang cukup tenang serta memiliki budi pekerti baik. Sifat keibuannya juga cukup menyerlah.

“Memang saya suka perempuan sebegini dan ciri itu ada pada Ina. Senang kata dia ini memang world,” katanya.

Mawi turut mengesahkan detik perkenalannya dengan Ina yang bermula menerusi perbualan telefon dengan bantuan seorang kawan.

“Memang saya kenal dia dalam telefon saja. Masa tu rasa macam susah juga hendak percaya Ina akan suka pada saya.

“Maklumlah kenal dalam telefon saja. Dengar macam iya saja. Dalam hati ini terdetik juga pertanyaan: “Betul ke budak ni suka kat aku?,” katanya.

Selepas dua bulan kenal menerusi telefon, akhirnya mereka berjumpa secara empat mata buat pertama kali.

Pertemuan itu berlaku di Bongsu Corner Karaoke, Senai pada 31 Ogos lalu.

Menurut Mawi, ketika pertama kali berjumpa, dia melihat Ina seorang gadis yang baik.

“Terus-terang saya katakan saya ini seorang yang amat sukar untuk jatuh cinta. Tapi, dengan Ina, entah kenapa timbul pula rasa suka dan akhirnya daripada rasa suka itu bertukar kepada sayang pula.

“Sebagaimana yang saya katakan tadi, perwatakan yang ada pada Ina menambat hati saya. Seperkara lagi, Ina juga seorang wanita yang tidak cerewet serta memahami diri saya,” katanya.

Sekalipun tetap berpegang kepada janjinya dengan Ina, Mawi bagaimanapun mengakui belum bersedia mendirikan rumah tangga dalam tempoh masa terdekat ini.

“Untuk berkahwin dalam masa sekarang, mungkin tidak. Maklumlah perjalanan kerjaya bidang nyanyian baru bermula. Banyak yang perlu saya lalui demi mengejar impian saya sebagai anak seni.

“Lagipun masa kami ditunangkan keluarga dulu, memang tidak ada ditetapkan bila tempoh untuk bernikah dan mendirikan rumah tangga.

“Bukanlah ini bermakna saya langsung tidak memikirkan soal perkahwinan saya dengan Ina. Bukan bermakna saya juga hendak biarkan pertunangan kami ini terawang-awang.

“Namun, masih terlalu awal untuk memperkatakan mengenai hal ini. Apatah lagi menetapkan tempoh perkahwinan kami nanti. Biarlah masa saja yang menentukan segala-galanya dan saya percaya Ina seorang wanita yang tabah, penyabar serta sanggup menunggu saya,” katanya.


©The New Straits Times Press (M) Berhad