Edisi KL : Hujan air batu
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
SUBANG JAYA: Ketika Lembah Klang mengalami masalah jerebu yang teruk, penduduk Petaling Jaya dan Subang gempar apabila rumah dan pejabat mereka dilanda ketulan hujan air batu sebesar guli selama lebih 15 minit, petang semalam.
Fenomena itu menimbulkan tanda tanya kerana hanya dua daerah terbabit mengalami hujan batu sedangkan tempat lain diselubungi jerebu.
Ada penduduk menghubungi pejabat Harian Metro di Balai Berita untuk memaklumkan peristiwa pelik itu.
Seorang saksi, Syed Mohd Amin Syed Jamal, 40, berkata ketika kejadian, dia di pejabat syarikatnya di SS13 di sini.
“Selepas awan menjadi mendung diikuti dengan angin kuat serta kilat kira-kira jam 5.30 petang, saya terdengar bumbung pejabat saya seolah-olah dilempar batu bertalu-talu.
“Saya mulanya tidak menyangka bunyi bising itu ketulan hujan batu,” katanya.
Namun, selepas diamati dengan teliti, Syed Mohd Amin terkejut apabila mendapati bunyi bising itu berpunca daripada ketulan hujan batu yang tidak pernah berlaku di daerah ini.
Beliau kemudian melihat ketulan ais sebesar guli bertaburan di atas jalan serta menimpa kenderaan.
Menurutnya, hujan batu itu menyebabkan orang ramai berpusu-pusu keluar untuk melihat selain mengutipnya.
Pengurus Burgmann Malaysia Sdn Bhd itu turut tidak melepaskan peluang merakamkan detik aneh berkenaan dengan kamera yang pertama kali dialaminya.
Hujan batu itu bagaimanapun tidak mendatangkan kerosakan harta benda atau kecederaan kepada orang ramai.
Peristiwa itu adalah kali kedua tahun ini selepas hujan batu dan ribut meranapkan beberapa rumah di Kampung Air Itam, Kampar, Perak, pada 7 Mac lalu.
Kejadian sama turut pernah dilaporkan berlaku di beberapa kampung sekitar Selising, Bukit Abal, Permatang Gading, Banggol Pak Esah dan Berangan, Pasir Puteh, Kelantan pada 7 September tahun lalu.
Kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu turut memusnahkan, 15 rumah penduduk harta benda dan tanaman, selain bekalan elektrik terputus.
©The New Straits Times Press (M) Berhad