TEKUN: Ketika menunggu untuk menyertai Linda dalam
konti Era Mawi sempat membaca sisipan Hip Berita Harian.
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
NAMA Nor Diana Mohd Naim tidak pernah menyatakan sesuatu kepada sesiapapun. Tetapi sejak diketahui dia adalah tunang Mawi, Diana yang lebih mesra dengan panggilan Ina turut menerima tempias populariti juara AF3 itu.
Tetapi pinta Mawi pada Hip ketika berkunjung ke Balai Berita baru-baru ini, cukup-cukupkan berbicara mengenai Ina kerana dia tidak mahu tunangnya itu menghadapi situasi yang tidak selesa.
Namun Mawi tidak menghalang jika tempias publisiti turut terkena tunangnya, asalkan Nor Diana pandai menjaga diri.
Ditanya bila dia bakal menamatkan zaman solonya, Mawi berterus terang dia belum menetapkan tarikhnya. Katanya, dia tidak mahu meletakkan harapan kerana bimbang seandainya majlis tidak berlangsung pada tarikh yang ditetapkan sudah pasti dirinya akan menjadi mangsa cemuhan. Personaliti Ina yang menarik, berbudi pekerti mulia, lemah lembut dan tenang memikat hati Mawi.
Tambahnya, dia bukanlah pasangan yang romantis penuh dengan kata-kata indah malah tiada hadiah yang dihulurkan kepada Ina ketika meraikan tarikh bersejarah.
“Saya tidak pernah beri hadiah pada Ina, hadiah pertama saya berikan kepadanya adalah apabila saya diterima menyertai AF. Biarpun sekarang kehidupan saya sudah berubah, tapi saya tidak sesekali melupakan Ina atau berubah kasih padanya kerana kami melalui susah senang bersama,” katanya lagi.
Walaupun Mawi cuba menahan getaran suaranya ketika berkata-kata mengenai gadis manis bertudung itu tetapi air matanya melimpah jua ketika berbicara mengenai ibu bapa.
“Saya sedih mengingatkan pengorbanan yang emak dan abah curahkan kepada kami adik beradik selama ini. Cabaran dan musibah yang keluarga kami hadapi terlalu besar tapi alhamdulillah kesabaran itu berbaloi dengan kejayaan ini.
“Kalau ikutkan hendak balas budi orang tua memang tidak terbalas. Sebelum ini mereka sering menyuarakan keinginan untuk menunaikan haji, insya-Allah hajat mereka akan saya tunaikan mungkin dengan menunaikan umrah dulu. Insya-Allah saya juga berhasrat menghantar orang tua Ina menunaikan umrah serentak, tapi tarikhnya belum ditetapkan lagi,” katanya.
Sementara itu, Mawi belum memikirkan sama ada akan mendiami kondominium di A’Famosa, Melaka. Keputusan hanya akan dibuat sekiranya rumah dan kereta sampai ke tangannya.
Apa yang tertanam di hatinya kini adalah untuk tidak menghampakan peminat yang terusan menyokongnya. Jujur dia berkata, tidak rimas dengan perhatian yang diberikan peminat kerana tanpa mereka dia tidak mungkin bergelar juara.
“Saya tidak tahu apa keistimewaan saya di mata mereka, cuma apa yang ditakutkan harapan orang berkecai sekiranya saya tidak mampu memenuhi kehendak mereka.
“Sebelum ini saya tidak pernah fikir pasal popular. Tujuan saya datang sini pun untuk belajar. Saya akan sentiasa merindui ilmu yang dicurahkan tenaga pengajar, terutama kelas tarian. Daripada seorang yang kayu kini saya sudah boleh menari biarpun tidak sehebat mana,” katanya lagi.