Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Mawi kongsi konti dengan Linda

Written By JOM JALAN on 13/08/05 | Sabtu, Ogos 13, 2005

Oleh Zul Husni Abdul Hamid

Berbicara dengan juara musim ketiga Akademi Fantasia (AF3), Asmawi Ani terpancar keluhuran hatinya. Mawi naif, tidak pandai berpura. Kejujuran itu menerbitkan aura, membuatkan jutaan penonton jatuh hati kepadanya

“DULU saya berhajat sangat nak masuk konti radio. Tidak sangka hari ini saya dapat duduk, berkongsi studio dengan Linda. Memang ini antara pengalaman menarik dalam hidup saya,” katanya jujur selepas dua jam ditemu bual penyampai Era, Linda Onn di konti radio Era, petang Isnin lalu.

Lebih setahun lalu, pemuda 24 tahun itu berjinak-jinak dengan dunia DJ dan bakat itu disalurkan pada majlis perkahwinan, restoran dan pusat karaoke.

“Memang saya ingin menjadi juruhebah. Kalau tidak masuk AF3, saya akan kembangkan lagi bakat itu. Memang saya minat kerjaya ini,” katanya yang tidak putus menyatakan rasa syukur kerana hajatnya untuk ke udara di radio tercapai petang itu.

Mawi begitu mengagumi cara bekas juruhebah Thr.FM, Ismalil Hamzah mengendalikan rancangan.

“Penyampaiannya membantu membina semangat, dia banyak memberi perangsang. Caranya selamba, tetapi berkesan,” kata anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor Bahru yang nyata tidak kekok walaupun pertama kali beraksi di konti radio.

Barangkali cita-cita Mawi itu terpaksa ditangguhkan dulu lantaran kesibukannya membuat persediaan untuk menjayakan siri persembahan yang sudah dipersetujui pengurusannya, Maestro Management & Talent (Maestro).

“Melihat sambutan hebat yang diberikan sepanjang AF3 berlangsung, biarlah saya memberi tumpuan kepada nyanyian dulu.

Menjadi penyanyi juga antara cita-cita saya dan terharu kerana mendapat sokongan yang cukup hebat.

“Saya tidak mencari glamour apabila menyertai AF3, sebaliknya mahu membantu mengubah nasib keluarga,” kata anak peneroka yang jelas masih lagi terperanjat apabila dinobatkan juara AF3.

SELESA: Mawi ditemu bual Linda di Konti radio Era, Isnin lalu.



Bukan terbaik tetapi popular?

APABILA diajukan persoalan mengenai perkara itu, Mawi berkata dia menyerahkan kepada orang ramai untuk menilainya.

Sebagai ‘artis baru’ (Mawi segan untuk menyebut perkataan itu), dia cuba untuk memberi persembahan sebaik mungkin.

“Soal popular saya baru tahu Ahad lalu, selepas membaca akhbar dan majalah.

Entahlah... Saya tidak tahu apa yang istimewa dalam diri saya ini,” ulasnya, sesekali membelek helaian akhbar yang menyiarkan berita kejayaannya, Sabtu lalu.

Hingga ini, Mawi seakan tidak percaya dia akan meraih kejayaan besar. Terasa semua itu hanya fantasi kerana dia pernah melalui episod getir apabila tersingkir pada Konsert Prelude, 21 Mei lalu.

“Memang sedih kerana tidak terpilih, tetapi saya terima apa saja yang sudah ditentukan Tuhan. Saya sendiri tidak menyangka Tuhan menyediakan ganjaran yang cukup besar dengan kejayaan ini,” kata Mawi, cuba membiasakan diri dengan perubahan mengejut dalam kehidupannya.

Mawi berkata, sebelum diumumkan sebagai pemenang, dia langsung tidak memikirkan soal kemenangan. Dia hanya berusaha memberi yang terbaik, selebihnya dia reda dan menyerah kepada ketentuan takdir.

“Ketika diumumkan sebagai pemenang, pandangan saya kabur. Tidak percaya dan tanpa sedar, terus menitiskan air mata,” katanya, tidak lupa berterima kasih kepada pengundi yang setia menyokong perjuangannya selama sembilan minggu di AF3.

Digelar ustaz rock

TERLALU tinggi harapan yang diletakkan peminat. Mawi sendiri bimbang tidak mampu menggalas harapan itu. Gusar tergelincir kerana sebagai manusia dia juga tidak sempurna, akan melakukan kesilapan.

“Jangan meletak harapan yang terlalu tinggi. Sebagai manusia, tidak sempurna. Saya hanya mahu menjadi diri sendiri,” katanya, mengulas komen peminat yang menganggapnya sebagai ikon remaja.

Pada mulanya, Mawi agak keberatan untuk bercerita mengenai perkara itu. Barangkali bimbang, dikatakan riak. Tetapi, apabila semakin selesa berbual, Mawi mendedahkan ketika di kampung dulu dia pernah dipanggil ‘ustaz rock’. Ada juga teman sekampungnya yang menggelarnya ‘ustaz muda’.

Semua itu bermula apabila dia bertugas sebagai guru sandaran mengajar Fardu Ain di sebuah sekolah agama. Selama setahun Mawi mengajar di situ, di samping mengajar al-Quran kepada penduduk di surau Taman Anjaria, Kulai, berdekatan kampungnya.

“Ketika itu saya berusia 18 tahun. Mereka datang, minta tolong saya ajar mengaji.

Ingatkan mengajar teman sebaya, rupa-rupanya sekumpulan wanita dewasa. Ada dalam 15 orang, segan juga,” katanya, sejak di bangku sekolah rendah lagi sudah menyertai pelbagai aktiviti keagamaan seperti nasyid, marhaban, berzanji dan musabaqah.

“Nyanyi pun saya buat juga terutama pada majlis perkahwinan,” katanya tidak berahsia.