Oleh: FAUZIAH AROF
|
|
Bukan sekali, malah dua kali Abdullah menyatakan perasaannya itu, membayangkan betapa perpisahan dengan orang tersayang setelah hidup bersama selama 40 tahun adalah sesuatu yang amat memberi kesan dalam hidupnya.
Para pemberita dan jurugambar yang menunggu ketibaannya di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 pagi ini, turut tersentuh dengan luahan kesedihan pemimpin negara itu, lantas mereka tertunduk sayu.
Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Ternyata kesibukan Perdana Menteri menerima kunjungan orang ramai dan dikelilingi anak, cucu, saudara-mara dan rakan taulan sejak awal pagi semalam sehingga ke hari ini tidak mampu menandingi kehadiran Allahyarham Endon di sisi.
Menurut Abdullah, semua ahli keluarganya ada bersama beliau ketika ini dan banyak memberi sokongan kepadanya.
``Keluarga banyak memberi sokongan. Semua ada dengan saya, anak-anak dan cucu-cucu semua ada,'' katanya ketika ditemui pemberita semasa menziarahi pusara Allahyarham Endon, di sini hari ini.
Turut menemani Perdana Menteri ialah anak-anaknya iaitu Kamaluddin bersama isteri, Azrene Abdullah dan Nori bersama suami, Khairy Jamaluddin serta tiga orang cucunya.
Rakan karib Allahyarham Endon, Leela Mohamad Ali turut berada di pusara tersebut sebelum ketibaan Abdullah.
Ketika ditanya bagaimana beliau mampu menghadapi situasi tersebut, Abdullah dengan wajah yang cukup tenang berkata:
``Tak tahulah...boleh jadi fasal agama itu penting. Ajaran agama kita walaupun kita kehilangan seseorang ahli keluarga tetapi kita mesti banyak sabar.''
Beliau yang tiba di pusara itu kira-kira pukul 12.35 tengah hari, terus melambaikan tangan dan memberi salam kepada para pemberita dan jurugambar yang sejak pagi lagi berada di tanah perkuburan itu.
``Mari sini...marilah sini,'' Abdullah tenang memanggil para pemberita dan jurugambar yang berada agak jauh sebaik sahaja keluar dari keretanya.
Abdullah yang memakai kemeja coklat cair nampak masih sugul tetapi mampu tersenyum dan bersalaman dengan para pemberita dan jurugambar yang mengambil kesempatan mengucapkan takziah kepadanya, selepas menyiram air mawar ke pusara isterinya.
Semasa di pusara, Abdullah dilihat memegang tangan cucu-cucunya dengan penuh rasa kasih sayang sambil bersama-sama menabur bunga.
``Saya masih lagi sibuk tetapi tidur awal semalam setelah dua malam saya tidak dapat tidur langsung,'' katanya apabila ditanya mengenai keadaan kesihatannya.
Abdullah memberitahu, beliau tidak bercadang untuk mengambil cuti rehat dan akan terus bekerja seperti biasa.
Allahyarham Endon, 64, meninggal dunia di Seri Perdana, di sini kira-kira pukul 7.50 pagi semalam setelah dengan sabar dan tabah bertarung dengan kanser payu dara sejak tiga tahun lalu.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir dengan tenang di sisi Abdullah, dua anak mereka, menantu serta empat cucu. Ibu Allahyarham, Datin Mariam Abdullah juga berada di sisinya.