|
|
JAKARTA 7 Mac – Sebuah pesawat Boeing 737-400 syarikat penerbangan Garuda Indonesia meletup dan terbakar setelah terbabas ketika mendarat di Lapangan Terbang Adi Sucipto, Yogyakarta pagi ini, mengorbankan 28 orang penumpang.
Pesawat komersial itu membawa 140 penumpang termasuk tujuh anak kapal dari Lapangan Terbang Sukarno-Hatta Jakarta, termasuk Ketua Umum Muhammadiyah, Din Syamsuddin, diplomat dan wartawan Australia.
Din Syamsuddin bersama 111 penumpang lain bagaimanapun selamat dan mereka yang cedera dirawat di beberapa buah hospital di Yogyakarta.
Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, mengesahkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam nahas pesawat itu.
Pegawai dan wartawan Australia dalam pesawat itu dalam perjalanan ke Yogyakarta sempena lawatan Menteri Luar Australia, Alexander Downer ke Universiti Muhammadiyah hari ini.
Downer selepas menghadiri Mesyuarat Peringkat Menteri Sub-Rantau Mengenai Usaha Memerangi Keganasan di Jakarta menyifatkan nahas itu kemalangan biasa dan bukan angkara pengganas.
Sementara itu Din Syamsuddin yang memimpin organisasi Islam kedua terbesar di Indonesia menceritakan kepada stesen televisyen, penumpang berteriak dan bertakbir apabila ruang kabin pesawat berasap dan lampu padam setelah kapal terbang itu terbabas.
“Sebahagian penumpang terjun ke sawah melalui pintu depan, tengah dan belakang yang sudah terbuka, kata Din yang cedera ringan dalam kemalangan berkenaan.
Stesen MetroTV menyiarkan gambar pesawat Garuda itu hangus terbabas dalam sawah selepas melanggar pagar di hujung landasan.
Bangkai pesawat itu masih terbakar dengan kepulan asap tebal sementara anggota penyelamat dan tentera udara cuba memadamkan api.
Pasukan penyelamat mengeluarkan penumpang yang terkorban dari bangkai pesawat setelah api berjaya dipadamkan.
Pakar forensik juga dihantar ke lokasi dan hospital untuk mengenal pasti penumpang yang rentung.
Penumpang lain yang menaiki pesawat tersebut ialah warganegara Jepun, Itali dan Brunei.
Nahas pesawat itu berlaku pada pukul 7.14 pagi waktu tempatan (8.14 pagi waktu Malaysia) adalah yang kedua tahun ini selepas pesawat Adam Air hilang di Selat Makassar pada 1 Januari lalu.
Sehingga pukul 8 malam ini, belum ada angka rasmi mengenai jumlah kematian dalam nahas berkenaan.
Menurut laporan Antara dan stesen MetroTV, empat warganegara Australia dirawat di Rumah Sakit Bethesda sementara dua warga Brunei dirawat di Yogyakarta International Hospital.
Lima warga Australia, lima rakyat Jepun dan seorang rakyat Itali belum diketahui nasib mereka.
Seorang penumpang, Mahfud memberitahu, sebaik mendarat, badan pesawat terumbang-ambing dan kemudian muncul asap dalam kabin.
“Ramai penumpang melompat turun selepas pesawat itu terbakar diikuti dengan ledakan,” katanya.
– Utusan