Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

28 web pelaburan Internet ditutup

Written By Syafrein Effendiuz on 22/06/07 | Jumaat, Jun 22, 2007

Oleh ZULKIFLI MANZOR

KUALA LUMPUR 21 Jun – Sehingga kini 28 laman web pelaburan cepat kaya tempatan yang dikesan menjalankan aktiviti pasaran modal dan sekuriti tanpa kelulusan Suruhanjaya Sekuriti (SC) tidak lagi boleh diakses di Internet.

Difahamkan, kesemua laman web itu yang tersenarai dalam Senarai Amaran SC berkemungkinan besar ditutup sendiri oleh penganjur skim cepat kaya berkenaan kerana gerun dengan tindakan agresif pihak berkuasa.

Ia dipercayai mempunyai kaitan dengan tindakan agresif SC menyekat akses kepada enam laman web seumpamanya sebelum ini selain tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) dan polis menggeledah salah satu pejabat pengendali skim itu baru-baru ini.

Bagaimanapun, 16 lagi laman web skim pelaburan Internet dalam Senarai Amaran SC (www.sc.com.my) itu masih aktif dan boleh diakses.

Siasatan Utusan Malaysia selama tiga hari berturut-turut berdasarkan senarai dikeluarkan SC mendapati, antara laman web yang tidak lagi boleh diakses ialah www.fical.net; www.winlifund.com; www.al-arabic.com; www.buyebarrel.com; www.eukgold.com; www.solidinvestment.com. dan www.smartcash.com.

Selain itu, skim pelaburan Internet terawal di Malaysia, SwissCash yang mendakwa diterbitkan oleh Swiss Mutual Fund juga berdepan masalah sama.

Laman webnya sebelum ini, www.swisscash.biz telah ditutup manakala laman web terbarunya, www.swisscash.net juga sudah tidak boleh diakses.

SwissCash sebelum ini dilaporkan mempunyai 50,000 pelabur dengan jumlah pelaburan melebihi RM200 juta.

Pada 12 Jun lalu, SC mengambil langkah drastik menyekat akses kepada enam laman web yang dipercayai menawarkan skim pelaburan haram kepada orang ramai.

Enam laman web terbabit ialah www.abbfund.com atau abfund.us, www.cfventure.com, www. swedenfund.com, www.uebond.com, www. esuissefund.com atau www.efmf. com.pa dan www.ecashfinance.com dan tindakan itu akan dilaksanakan secara berperingkat dan berterusan.

Pada hari sama, BNM dan polis menyerbu pejabat pengendali skim itu yang disyaki menjalankan pengambilan deposit tanpa lesen dan membuat pelaburan haram.

Dengan kerjasama SC, BNM dan polis menggeledah pejabat AB Fund yang beroperasi di ibu negara, iaitu salah satu skim cepat kaya Internet yang popular di kalangan pelakon dan penyanyi terkenal di negara ini.

Pada 31 Mei lalu, SC memberi amaran kepada semua pelabur skim yang tidak sah melalui Internet supaya mengeluarkan wang pelaburan sebelum 11 Jun 2007 kerana selepas itu akses ke laman-laman web yang mempromosikan skim sedemikian akan disekat.

Ini bermakna pelabur yang tidak mengeluarkan wang masing-masing bukan saja tidak dapat lagi mengakses laman web itu malah tidak dapat memasuki akaun mereka bagi melakukan sebarang urus niaga.

Pada 12 April lalu, Majlis Fatwa Kebangsaan membuat ketetapan bahawa semua pelaburan di Internet, termasuk SwissCash yang menjanjikan faedah atau pulangan tetap sebagai haram kerana berunsur riba.

Keputusan majlis itu memberi kesan kepada aktiviti pelaburan melibatkan tidak kurang 500,000 orang Islam termasuk golongan kenamaan dan profesional berpangkat Tan Sri dan Datuk.

Orang ramai boleh melayari laman web SC di www.sc.com.my bagi mendapat perkembangan lanjut berhubung perkara tersebut. [Utusan]