Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Bantahan terbesar paksa Arroyo undur

Written By JOM JALAN on 1/03/08 | Sabtu, Mac 01, 2008

MANILA 29 Feb. - Berpuluh-puluh ribu rakyat Filipina mendesak Presiden Gloria Macapagal Arroyo meletak jawatan dalam satu perhimpunan bantahan terbesar yang diadakan secara mengejut di Manila, hari ini.

Penganalisis politik dari Pusat Penilaian dan Strategi Pasifik, Mark Condon berpendapat, desakan rakyat seperti ini boleh menyebabkan penyokong dan pengikut Arroyo dalam Kabinet dan tentera memikirkan semula kedudukan mereka.

"Gerakan seperti ini tentunya menarik perhatian mereka walaupun pada masa ini Arroyo sedang berusaha keras menafikan penglibatan beliau dalam sebarang jenayah rasuah," katanya.

Begitupun sehingga kini penyokong Arroyo yang mempunyai penggal pentadbirannya sehingga 2010, masih tidak menunjukkan sebarang tanda untuk berpaling tadah.

Pemerhati bebas pula berkata, antara 30,000 hingga 50,000 rakyat Filipina berhimpun di daerah perniagaan utama Makati dengan membawa sepanduk, berdoa dan melaungkan bantahan terhadap Arroyo yang disifatkan sebagai satu jumlah bantahan terbesar yang di luar jangkaan.

Bekas Presiden Corazon Aquino dan Joseph Estrada turut kelihatan bersama-sama di sebuah pentas yang dikerumuni ramai penunjuk perasaan.

"Gloria, cukuplah sudah, anda patut bersara!

"Masa sudah tiba dan kita mesti bersatu bagi mengakhirkan penipuan (Arroyo) dan kebenaran akan muncul juga!" kata Aquino dalam perhimpunan itu yang menjadi lambang kepada amalan demokrasi di negara ini.

Polis mendakwa hanya 15,000 penduduk sahaja yang melakukan bantahan itu.

Bagaimanapun, pihak pembangkang menganggarkan seramai 75,000 rakyat telah berkumpul berbanding 40,000 yang dijangkakan mereka sebelum ini.

Walaupun semakin tidak popular di kalangan rakyat, namun Arroyo masih dalam kedudukan yang selamat kerana mendapat sokongan tentera.

Walaupun telah ada dua cubaan untuk menggulingkan Arroyo, rakyat Filipina masih sinikal sama ada percubaan ketiga kali ini akan berjaya menjatuhkan pemimpin berkenaan.

- Reuters

Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Akhbar & Majalah dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, ArticleCentral dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, Making money from home just got easier, Jason Tan, dan lain-lain.