Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Mas, Linda mania landa Sabah

Written By JOM JALAN on 24/07/04 | Sabtu, Julai 24, 2004

Oleh Amirullah Andi Nur



“AFUNDI si Mas, afundi Linda dan jangan lupa juga si Adam satu kali!” Inilah ayat yang sering kali didengar di Sabah sekarang apabila memperkatakan mengenai program Akademi Fantasia (AF) di stesen televisyen Astro.

Namun antara mereka bertiga, paling hangat diperkatakan adalah Mas dan Linda. Kedua-duanya mempunyai penyokong kuat di negeri itu sehinggakan banyaklah kisah menarik didengar gara-gara penyertaan mereka.

Baik Mas atau Linda, kedua-duanya bagaikan sudah menjadi kegilaan hampir semua peringkat usia di Sabah ketika ini. Dalam kata lain, penduduk negeri itu benar-benar `dah demam' memikirkan mereka berdua saja setiap hari.

Dan sekali gus, konsert AF yang disiarkan pada setiap malam minggu jam 8.30 malam di saluran 4, serta Diari pada setiap jam 12 tengah hari dan 8.30 malam, boleh dianggap program televisyen nombor satu di Sabah ketika ini.

Buktinya? Ibarat slogan baru Astro - macam macam ada. Di Tawau, misalnya, gara-gara Mas, satu majlis perkahwinan `kehilangan' ramai tetamu apabila jemputan balik awal kerana tidak mahu terlepas AF.

Sehingga kini, selepas program itu masuk minggu ketujuh malam ini, penganjur majlis termasuk perkahwinan di daerah berkenaan tidak lagi berani mengadakannya pada malam minggu agar tidak menjadi mangsa fenomena Mas ini.

Di Kota Kinabalu, paling hebat sudah tentu apabila demam ini turut menarik minat beberapa anggota Kabinet Sabah, termasuklah pemimpin disayangi penduduk negeri itu, Datuk Seri Musa Aman.

Perkara ini disahkan sendiri tanpa berselindung oleh Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Masidi Manjun yang berasal dari Ranau dan kini menjadi peminat nombor satu Linda.

"Memang sukar orang hendak percaya tapi di kalangan anggota Kabinet sendiri pun dah demam dibuatnya oleh program AF ini termasuklah Ketua Menteri kita.

"Malah saya sendiri kalau boleh hendak mengelak menerima jemputan pada malam minggu gara-gara Linda dan afundinya ini," katanya sambil mengakui sekiranya tidak dapat mengelak, beliau akan meminta ahli keluarganya merakam program itu.

Masidi yang juga wakil rakyat Karanaan di Ranau berkata fenomena Linda, Mas dan Adam serta AF ini memang sangat hebat hinggakan di daerah itu sekarang ini, malam minggu di situ adalah `malam untuk AF dan Linda'.

"Bagi saya demam yang melanda bukan lagi dikategorikan sebagai demam, tapi sudah mencapai tahap sakit teruk atau kronik.

"Orang Ranau dan AF tidak dapat dipisahkan lagi. Kejayaan Linda masuk program itu dan berjaya bertahan sehingga kini dianggap terlalu istimewa bagi kami semua," katanya kepada Berita Harian.

Bagi ahli Puteri Umno seluruh Malaysia, mereka mungkin tidak tahu Linda sebenarnya adalah ahli pergerakan itu bagi cawangan Kampung Tudangan di Ranau yang dipimpin Siti Hamnih Hashim.


BAPA Mas, Ghani (berkopiah) membakar sate sambil
dibantu keluarganya di Jalan Air Panas, Tawau.
Gerai ini lazimnya dipenuhi peminat Mas
pada malam minggu.


"Selain penduduk Ranau, Linda juga mendapat sokongan padu pergerakan ini dan mereka sudah pun merancang kalau ahli kesayangan mereka ini masuk final, satu rombongan besar akan ke sana," katanya.

Tinjauan di Tawau pula baru-baru ini mendapati `pukulan' AF ini benar-benar hebat apabila bandar ini yang terkenal kerana makanan laut paling murah di Sabah, sunyi sepi pada malam minggu.

Apabila ditanya beberapa pemandu teksi di situ, kebanyakannya mengaitkan kepada kehadiran Mas di AF.

Katanya, orang Tawau sedang asyik berhimpun di depan televisyen untuk menyaksikan wakil kesayangan mereka itu beraksi.

"Keadaan ini berlaku sejak minggu pertama AF lagi. Kalau dulu memang bandar Tawau agak meriah kalau malam hujung minggu, tapi sekarang ramai yang mahu balik awal, gara-gara hendak tengok Mas.

"Kalau ada yang anda jumpa berjalan di bandar sekitar jam 7 atau 8 pada malam itu, mereka itu mungkin sedang mencari restoran yang ada kemudahan Astro," katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Ambo Beddu.

Memang benar apa yang dikatakan oleh pemandu teksi itu, tinjauan di beberapa restoran India Muslim yang mempunyai kemudahan Astro di bandar itu sentiasa saja dipenuhi ramai pelanggan kerana hendak menonton AF.

Dulu restoran terbabit dikatakan siang malam asyik menayangkan perlawanan gusti tapi sekarang, kalau bukan rancangan Diari AF, saluran @15. Mamak pun bijak mengambil peluang untuk menarik pelanggan!

Satu daripada sejumlah kedai makanan di Tawau paling menjadi tumpuan ketika ini adalah Restoran Shahila Seafood di Tanjung Batu kerana mempunyai kemudahan Astro.

Sebenarnya selain bandar Tawau, demam Mas dan AFnya ini juga turut merebak hingga ke Pulau Sebatik serta sempadan Kalimantan Timur, Indonesia seperti Sungai Nyamuk dan Nunukan.

Selain restoran atau kedai makan yang ada Astro, sudah pasti yang turut mendapat kesan paling hebat susulan kejayaan Mas bertahan dalam AF sehingga ini adalah perniagaan sate keluarganya di Jalan Air Panas atau Hotspring, kira-kira 10 kilometer dari bandar Tawau.

Saban malam gerai kecil ini dipenuhi ramai pelanggan bukan saja kerana hendak membeli sate mereka, malah ingin melihat lebih dekat wajah ibu bapa pelajar AF ini membakar sate.

Seorang penduduk Tawau, Sabarudin Nyompa, 32 memberitahu, "Jangan terkejut di kawasan gerai keluarga Mas sekarang ini tiap-tiap malam sebelum jam 8.30, penuh sesak gara-gara mahu menyokong wakil kesayangan mereka.

"Mereka bukan saja order sate, malah memberi sokongan moral kepada keluarganya yang kadang-kadang sedih apabila Mas menjadi mangsa kutukan penonton saluran @15," katanya.

Bagaimana pula malam minggu? Seorang lagi penyokong setia Mas, Rabiah Andi Malik berkata bukan setakat sate sold out, malah kawasan gerai dan warung keluarga Mas berniaga itu penuh sesak.

Katanya, orang ramai khususnya remaja akan datang beramai-ramai datang ke gerai ibu bapa Mas itu, bagi sama-sama menyaksikan persembahan idola baru mereka itu.

"Meriah betul tempat itu, macam orang sedang menyaksikan konsert terbuka. Malah sudah pun ditubuhkan Mas Fan Club bagi menyokong anak Tawau itu agar terus kekal sampai ke final.

"Fan Club ini selalunya akan mengundi beramai-ramai sebelum peserta terakhir membuat persembahan," katanya yang mengakui sanggup menghabiskan RM50 seminggu untuk mengundi Mas.

Seorang penyokong Mas di Kota Kinabalu, Kamarudin Salinri, 38, berkata beliau sekeluarga tidak pernah miss berkumpul di depan kaca televisyen pada setiap malam jam 8.30 malam bagi mengetahui perkembangan anak Tawau itu.

"Dulu saya memang langsung tidak minat. Tapi selepas melihat isteri dan anak-anak tidak pernah miss rancangan ini, saya cuba bersama mereka dan sehingga sekarang terus melekat.

"Bagi saya, sokongan yang diberikan oleh peminatnya ketika ini bukanlah kerana sifat kenegerian atau kedaerahan tapi kerana Mas mempunyai suara yang unik dan berbakat.

"Kejujurannya, gemar rendah diri selain selamba adalah sifatnya yang benar-benar menarik hati saya dan mungkin juga peminatnya yang lain di seluruh negara," katanya yang turut mengundi Linda.

Kamarudin berkata adalah wajar Mas kekal sehingga ke final kerana AF adalah tempat paling sesuai untuk menimba ilmu dan sekali gus keluar dengan kejayaan paling cemerlang, gemilang dan terbilang.



"Kita perlu bersikap adil kepada Mas. Setiap malam selepas konsert, kita dapat lihat dia kena marah oleh Ramli MS atau Siti Hajar, tapi itulah namanya pembelajaran.

"Mas memerlukan bimbingan mereka untuk menjadi yang terbaik apabila menamatkan pengajian di akademi ini," katanya yang turut mengakui gara-gara Mas, bandar Tawau semakin dikenali di Malaysia dan Brunei.

0 ulasan: