Laporan: Normah Bitong
PEMINAT Adam menunggu sejak awal pagi untuk melihat
dari dekat bintang AF itu.
BARANGKALI Adam pun tidak pernah menjangka kehidupannya akan berubah
sebegini rupa iaitu mendapat sambutan bagaikan seorang VVIP apabila
menyertai Akademi Fantasia (AF) dan akhirnya meraih tempat ketiga
hasil undian peminat program realiti tv anjuran Astro itu.
Tetapi itulah yang berlaku baru-baru ini apabila dia kembali semula ke
tanah tumpah darahnya Sabah setelah tiga bulan bertungkus lumus
bersama 12 lagi pelajar bagi memastikan impiannya menjadi realiti di
AF.
Suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK)
benar-benar kecoh Ahad lalu, apabila peminat Adam atau nama sebenarnya
Mohd Aizam Mat Saman, 21, tak sabar-sabar menunggu kepulangan bintang
kelahiran AF2 itu dari Kuala Lumpur.
Walaupun Adam dijadualkan tiba pada jam 9.50 pagi tetapi peminatnya
kelihatan mula datang berpusu-pusu seawal jam 8 pagi lagi kerana takut
terlepas bertemu dan menatap wajah artis idola mereka itu.
Bagi keluarga Adam pula, kepulangan anak sulung daripada empat beradik
itu bukan saja menjadi pengubat rindu selepas hampir empat bulan
berada di Semenanjung iaitu sejak memasuki AF2, malah mereka juga
turut menjadi tumpuan dan ada juga yang mahu mengambil gambar bersama.
Setibanya di LTAKK, Adam terus dibawa ke bilik kenamaan dengan
diiringi bapanya, Mat Saman Sapong, 45, ibunya, Norsarinah Duel, 40,
adik bongsunya, Nurhidayah, 4, serta saudara mara yang lain.
Di bilik kenamaan itu, Adam kelihatan berpelukan dengan ibu bapanya
serta saudara mara lain bagi melepas kerinduan. Bahkan, ada di
kalangan saudaranya turut menitiskan air mata dengan kepulangannya.
Selepas itu, Adam meluangkan masa kira-kira 15 minit bersama wartawan
untuk sesi temuramah dan ternyata dia (Adam) boleh berkomunikasi
dengan baik serta menjawab setiap soalan dengan bersemangat.
Bahkan, ketika salah seorang wartawan mengajukan soalan dalam bahasa
Bajau, dia yang juga berbangsa Bajau tidak kekok menjawab dengan
bahasa ibundanya itu.
"Adam balik Sabah untuk berehat dan bertemu dengan keluarga selepas
hampir empat bulan di Kuala Lumpur. Di sini, Adam tiada apa-apa
program dan tak tahulah pula jika ada yang diatur keluarga dan saudara
mara," kata jejaka berbintang Virgo itu.
Menurut Adam, dia akan berada di Sabah selama tiga hari sebelum balik
ke Semenanjung untuk membuat persiapan konsert Merdeka di Kuala Lumpur
City Centre (KLCC) pada 30 dan 31 Ogos ini.
ADAM menerima ciuman
ibunya, Norsarinah dan
bapanya Mat Saman Sapong.
Katanya, sehingga hujung bulan ini jadualnya penuh dengan pelbagai
program yang diatur Maestro Talent and Management.
"Selepas saja habis di AF2, kami semua sibuk dengan program
masing-masing dan saya pun perlu berusaha gigih dalam mengejar
cita-cita," katanya.
Wartawan juga sempat bertanya mengenai hubungan sebenar Adam dengan
Farah yang sering dikaitkan mempunyai hubungan cinta selepas beberapa
paparan berkaitan mereka berdua ditayangkan dalam diari menerusi
saluran Ria Astro.
"Itu hanya gosip dan kami hanya kawan biasa. Itu pun saya sudah
melakukan kesilapan besar kerana dalam paparan diari itu saya mengelap
peluh Farah. Sebenarnya, ketika itu tangan dia (Farah) penuh minyak
dan saya pun tolong lapkan peluhnya, lagipun bukan saya seorang saja
yang tolong lap tetapi dalam kamera itu saya pula yang terkena,"
katanya.