Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Mesti yakin guna bahasa Malaysia

Written By JOM JALAN on 25/08/04 | Rabu, Ogos 25, 2004

KUALA LUMPUR: Pengamal undang-undang perlu mempunyai keyakinan
menggunakan bahasa Malaysia apabila mengendalikan prosiding mahkamah
supaya dapat menguasai bahasa itu dengan lebih cepat, kata Ketua Hakim
Negara, Tan Sri Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Beliau berkata, pada masa ini bahasa Malaysia masih kurang digunakan
di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan kerana kebanyakan peguam
kanan serta hakim lebih selesa berbahasa Inggeris berikutan sesetengah
bahasa perundangan sukar diterjemahkan.

Bagaimanapun, generasi muda semakin fasih berbahasa Malaysia, termasuk
peguam muda yang lebih selesa berhujah dalam bahasa Malaysia di
Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen.

"Mungkin pada masa depan, generasi peguam muda ini dapat berhujah
dalam bahasa Malaysia jika kes mereka sampai ke Mahkamah Persekutuan
atau Mahkamah Rayuan tetapi usaha ini perlu mendapat sokongan hakim
yang mengadili kes terbabit.

"Pada masa sama, lebih banyak buku dan laporan perundangan berbahasa
Malaysia perlu diterbitkan penulis tempatan supaya pergantungan kepada
bahan rujukan asing dapat dikurangkan," katanya pada majlis pelancaran
buku staf akademik Universiti Malaya (UM) di sini semalam.

Lima buku yang dilancarkan semalam ialah Civil Trial Advocacy: A
Parctical Guide tulisan Prof Gurdial Singh Nijar, Remedi-Remedi Bagi
Kemungkiran Kontrak Di Malaysia (Dr Cheong May Fong), Euthanasia-A
Malaysian Perspective (Dr Norchaya Talib), Introduction to Cyberlaw of
Malaysia (Izura Masdina Zakri, Tay Pek San dan Chew Li Hua @ Nurjaanah
Abdullah) dan Indigenous Peoples' Knowledge Systems And Protecting
Diversity yang disunting oleh Prof Gurdial dan Dr Azmi Sharom. Semua
penulis terbabit adalah kakitangan Fakulti Undang-Undang UM.

Ahmad Fairuz berkata, beliau sendiri sudah lama menulis penghakiman
dalam bahasa Malaysia, termasuk dalam satu kes murtad dan satu lagi
kes tribunal perumahan baru-baru ini, tetapi mengakui sering kali
terpaksa menggunakan bahasa Inggeris kerana rakan sejawatannya lebih
selesa dengan bahasa itu.

Penggunaan bahasa Malaysia dalam mahkamah adalah selaras dengan
peruntukan Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan (Pindaan 2001) dan
Seksyen 6 Akta Bahasa Kebangsaan 1967.

Bagaimanapun, kata Ahmad Fairuz, undang-undang tidak menghalang
penggunaan bahasa Inggeris ketika prosiding mahkamah tetapi
sekurang-kurangnya perlu ada usaha untuk menulis penghakiman dalam
bahasa Malaysia bagi menggalakkan penggunaannya dalam semua aspek
perundangan.