Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Written By JOM JALAN on 20/08/04 | Jumaat, Ogos 20, 2004



- Hiburan -

Aliya pulih demam gara-gara Zahid
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff


KERANA terlalu minat dan rindukan Zahid, seorang peminat kecil dilanda demam panas dan memanggil-manggil nama juara Akademi Fantasia musim kedua itu. Kanak-kanak berusia tiga tahun itu, Aliya Syahira mengalami demam dan tidak mahu makan kerana terlalu rindukan Zahid.

Malah, Persada Seni difahamkan, doktor yang merawat kanak-kanak itu sendiri sebelum ini sudah pun menghantar faksimili ke pihak Astro, menggesa supaya Zahid atau nama sebenarnya Ahmad Zahid Baharudin, melawat kanak-kanak berkenaan.

Malam Rabu lalu, selepas menghadiri majlis kesyukuran anjuran Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Wangsa Maju, Zahid dan keluarganya mengunjungi rumah kanak-kanak terbabit di Damansara Utama, Kuala Lumpur.


Zahid memberitahu, dia mengetahui hal itu selepas ibunya, Jamilah Mohd Ali, mendapat panggilan daripada ibu kanak-kanak berkenaan, Nor Himiza Ibrahim, sebelum majlis kesyukuran berlangsung. Kerana bimbangkan keadaan Aliya, dia mengambil keputusan melawat kanak-kanak perempuan comel itu dua malam lalu.

Katanya, ibu kanak-kanak itu terpaksa memujuk anaknya dengan mengatakan Zahid akan datang malam berkenaan serta membawanya bersiar-siar dengan kereta.

“Zahid risau juga sebab demam panas agak berbahaya untuk kanak-kanak. Kalau orang dewasa yang dilanda demam panas, mungkin mereka dapat bertahan sebab antibodi dalam badan orang dewasa lebih kuat. Kerana itu Zahid ingin sangat melawat kanak-kanak terbabit,” ujar Zahid sebelum ke rumah kanak-kanak itu.

Sebagai kenangan, Zahid memberikan sehelai baju berwarna kuning yang dipakainya sebelum itu pada kanak-kanak berkenaan, sebagai pengubat kerinduannya. Manakala Aliya pula dikatakan ingin menghadiahkan Zahid seekor iguana. Namun, Rabu lalu, Zahid diberikan seekor kura-kura terlebih dulu sebagai kenangan daripada Aliya.

Menurut bapa Zahid, Baharudin Mohd Ariff, keluarga kanak-kanak itu amat berbangga dengan kehadiran Zahid sekeluarga melawat anak mereka. Malah, perhubungan antara dua keluarga itu dikatakan tidak akan terhenti setakat itu.

“Malah, mereka turut meminta Zahid menyanyikan semula lagu Cek Mek Molek yang pernah dinyanyikannya pada konsert AF sebelum ini. Lalu, Zahid memetik gitar manakala kami semua jadi penyanyi latar,” cerita Baharudin.

Zahid dan keluarga juga sempat makan malam di rumah pasangan Nor Himiza dan Mohd Kamal Abdullah itu sebelum mengucapkan selamat malam kepada kanak-kanak berkenaan menjelang tengah malam.

Sementara itu, pada majlis kesyukuran berkenaan, Ketua Pergerakan Pemuda Umno bahagian Wangsa Maju, Datuk Norza Zakaria berharap, Zahid dapat menjadi role model kepada generasi muda kawasan itu.

Dia juga ingin juara AF2 itu menjadi pembakar semangat untuk golongan muda supaya berusaha lebih keras untuk maju dalam apa juga bidang yang mereka ceburi.

Zahid sendiri berharap dapat memberikan sesuatu kepada generasi muda menerusi kegiatan seni yang dipilihnya itu.

Zahid juga memberitahu, dia sudah dapat berasakan bahang serta kesibukan sebagai seorang artis berikutan jadual kerjanya kini sudah pun penuh diatur sehingga penghujung tahun ini.

Bermula dengan beberapa siri fotografi, serta persembahan pertama di hadapan khalayak pada Konsert Kemuncak Siti Nurhaliza Fantasia Tour di Bukit Jalil, Sabtu ini, turut diisi dalam jadualnya ialah persembahan pada malam kemerdekaan di KLCC, serta konsert reunion AF2. Dia juga akan mengikuti siri konsert jelajah bersama pelajar AF2 pada November dan Disember depan.

“Bagaimanapun saya tidak mengeluh kerana inilah bidang yang saya pilih,” ujar anak muda berusia 23 tahun ini.

Kerana kesibukannya itu, Zahid juga memberitahu dia mungkin mengadakan kenduri roti canai untuk peminat serta penyokongnya pada tahun depan. Katanya, dia tetap akan mengadakan kenduri itu bagi menyatakan penghargaannya buat mereka yang banyak memberikan sokongan padanya selama ini.