Written By JOM JALAN on 23/08/04 | Isnin, Ogos 23, 2004
KONSERT Siti Nurhaliza Fantasia Tour (SNFT) yang melabuhkan tirainya di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam kelmarin, adalah manifestasi kecekalan penyanyi nombor satu negara itu.
Beberapa hari menjelang konsert akhirnya, Siti sekali lagi dilontar tohmahan oleh pihak yang tidak senang dengan kejayaannya selama ini. Tohmahan yang cukup menghiris hati secara tidak langsung memberi sedikit kesan kepada persembahannya malam kelmarin.
Pada segmen tertentu, anak Kuala Lipis, Pahang itu sedikit emosi dan beberapa detik sebelum konsert itu berakhir, air mata Siti menitis lagi.
Titisan jernih yang mengalir itu sudah cukup membayangkan betapa hatinya terguris. Ketika memulakan segmen kedua menerusi lagu Kembalikan Indah, Siti mengenang laluan getir yang perlu dihadapinya.
Untuk menjadi artis, Siti perlu cekal. Orang yang bergiat dalam bidang seni boleh kekal kalau tabah. Dugaan datang bertubi-tubi, benda yang kita tidak buat, dikata buat.
Siti anggap ia sebagai ubat kerana kalau berada di pihak yang benar, mengapa Siti perlu takut? Siti berbangga kerana peminat yang berada di sini juga adalah mereka yang cekal, katanya disambut sorakan gemuruh lebih 70,000 penonton yang membanjiri stadium itu.
Siti barangkali antara insan seni yang bertuah kerana di belakangnya berdiri lautan peminat yang begitu setia mengikuti perjalanannya. Daripada seorang yang tidak dikenali, Siti kini berdiri gah.
Siti belajar daripada kekurangan. Macam tidak percaya, malam ini adalah konsert terakhir. Terasa masa berjalan begitu cepat dan malam ini, adalah tarikh yang terlalu bermakna buat diri Siti, kata penyanyi yang sudah lapan tahun mengukir nama di persada seni itu.
Sejak mencipta pelbagai kejayaan besar, Siti begitu mengharapkan sebuah konsert istimewa percuma untuk peminat sebagai membalas jasa mereka yang menaikkan namanya.
Dua tahun Siti berusaha merealisasikan impiannya dan kerjasama Hotlink (selaku penaja rasmi) dan Astro (stesen penyiar rasmi) menjadikan ia satu kenyataan.
Permulaan siri SNFT lagi, Siti terpaksa berdepan dengan dugaan apabila konsert pertama dibatalkan akibat faktor cuaca. Pembatalan itu juga membabitkan dua lokasi lain.
Namun, kata Siti, apabila bangun pagi kelmarin, dia seakan tidak percaya siri konsert itu sudah tiba di penghujungnya.
Siti terpinga-pinga kerana tidak sangka masa begitu cepat berlalu. Konsert ini paling bersejarah dalam hidup Siti. Meskipun kebelakangan ini, tiba-tiba datang banyak dugaan.
Tetapi, Siti ingin tinggalkan yang lepas. Semua itu bagaikan sampah dalam diri Siti, kata Siti sambil mengalirkan air mata.
Konsert kemuncak sepanjang 15 siri bermula di Padang Ipoh, Ipoh, Perak pada 20 Jun lalu, bermula dengan percikan bunga api penuh gemilang.
Sekitar jam 9.45 malam, Siti tampil bertenaga mengalunkan sebuah lagu rancak, Cahaya Seribu Liku disusuli Debaran Cinta. Anggun dengan busana merah jambu, Siti mula mencuri perhatian apabila membawakan medley dua lagu popularnya, Kau Kekasihku dan Percayalah.
Kerinduan Siti terhadap peminat di ibu kota dilafazkan menerusi bait ciptaan Yasin, Lagu Rindu diikuti medley, Cinta Tak Berganti dan Janji Kasih dipetik daripada album terbarunya, Prasasti Seni.
Sebelum menutup tirai segmen pertama, Siti mencipta kelainan apabila membawakan lagu Aku Cinta Padamu dalam pelbagai versi termasuk waltz, broadway, dangdut dan hip-hop.
Gelekan dangdut Siti serta kemunculan adiknya, Siti Saerah pada penghujung lagu cukup menggamatkan stadium.
Segmen kedua bermula dengan sebuah lagu yang cukup menyentuh hati Siti, Kembalikan Indah. Lagu yang terlalu bermakna itu disampaikan dengan penuh berkesan.
Kemunculan juara Akademi Fantasia 2 (AF2), Zahid yang menyampaikan versi rap ketika pertengahan lagu Ku Milikmu mendapat sorakan gemuruh penonton.
Populariti Zahid dan bintang AF2 begitu memuncak ketika ini. Pada bahagian tertentu, sambutan yang diberikan penonton terhadap mereka membayangi Siti.
Tetapi Siti positif kerana katanya, dia akur dengan kenyataan populariti bintang AF2 terlalu kuat disebabkan masyarakat masih lagi merasai demam kemuncak konsert akhir AF2.
Siti tidak terkilan, malah tidak ambil peduli. Siti undang mereka untuk membuat persembahan bersama dengan harapan untuk berkongsi pengalaman dan kenangan, katanya.
Siti turut berduet dengan finalis AF1 dan AF2 dalam lagu, One Sweet Day yang dipopularkan Mariah Carey dan Boyz II Men.
Kemuncak konsert itu apabila Siti menampilkan pembaharuan dengan segmen penghargaan menerusi medley lagu rock klasik.
Keunikan pentas bergerak yang membawa Siti dekat dengan lautan peminatnya, penyanyi itu mempamerkan vokal bertenaga menerusi lagu Fantasia Bulan Madu, Hati Emas, Gerhana dan Isabella.
Siti tidak melupakan dua lagu wajib, Bukan Cinta Biasa dan Cindai yang mencetus kegilaan peminat, sedikit masa lalu. Sebelum berundur, Siti mempamerkan kemampuannya bermain gitar ketika mempersembahkan lagu, Pejam Mataku.
Dengan persalinan hijau muda, Siti kembali dengan segmen ketiga membawakan lagu I Surrender yang dipopularkan penyanyi kegemarannya, Celine Dion.
Sekali lagi, suasana pentas semakin panas apabila pemenang ketiga AF2, Adam melakukan rap untuk lagu Pendirianku. Dialah Di Hati dan Seindah Biasa mengakhiri konsert yang berlangsung hampir dua jam.
Namun, berbanding beberapa konsert terdahulu, konsert kemuncak SNFT kurang menyengat lantaran Siti terlalu memfokus kepada lagu terbaru yang kurang dikenali.
Tidak dinafikan vokal Siti pada tahap terbaik, malah mutu persembahannya semakin matang. Tetapi, pemilihan lagu yang masih baru menjadikan suasana konsert itu agak tawar.
Siti juga seperti tidak memberi sepenuhnya. Barangkali masih terkesan dengan tohmahan yang datang pada saat terakhir menjelang konsert itu berlangsung.
Akui Siti, dia memang terasa hati dengan e-mel tohmahan itu tapi dia cuba kuatkan semangat dan tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu.
Tetapi, apabila ada sesuatu lagu yang membawa Siti ke arah itu, ia membuat Siti tersentuh. Tetapi itu bukan alasan untuk menjadikan konsert ini hambar.
Sebaliknya, Siti mempelbagaikan lagu serta memberi pengiktirafan dengan menampilkan hasil kerja komposer dan penulis lirik baru. Walaupun ada lagu yang jarang dimainkan, tetapi peminat suka, katanya.
Siti juga tidak kecewa kerana sasarannya untuk menghimpunkan sejuta peminat menerusi 15 siri konsert SNFT tidak kesampaian. Yang penting baginya, adalah sokongan peminat dan dia tidak melihat keadaan itu sebagai satu kegagalan.
Siti bersyukur dengan jumlah penonton yang hadir. Walaupun tidak mencecah satu juta, namun menghampiri jumlah itu sudah memadai. Siti tidak gagal sebaliknya berbangga kerana peminat terus memberi sokongan, katanya.
SNFT yang bermula pada jam 9 malam, menyaksikan buat julung kali 24 peserta AF1 dan AF2 berkongsi pentas. Tirai persembahan dibuka dengan lagu Lolipon gandingan bersama, Atie, Liza dan Azza.
Nija menyusul selepas itu dengan lagu terbarunya, diikuti Azizi yang semakin popular dengan lagu Aku Bisa. Juara AF1 menghangatkan suasana dengan lagu Mimpi Yang Pasti.
Rosma yang mencetus fenomena AF1 menghadiahkan lagu Tanpa Dirimu, manakala Burn membawakan Kasih Ibu. Sahri dan Adi Fashla tidak ketinggalan memperkenalkan lagu terbaru mereka.
Nana terus mempesonakan apabila hadir bertenaga menerusi Katakan, selain Khai dengan Benarkah Dia. Mereka kemudian bersatu membawakan lagu, Khayalan.
Bagaimanapun, kehadiran bintang AF2 paling dinanti. Sebaik saja Zahid, Linda, Adam, Farah, Kaer, Bob, Mas, Nurul, Anding, Edlin, Zarina dan Fitri muncul, suasana di stadium terus gamat dengan sorakan.
Mereka membawakan medley joget iaitu Joget Kenangan Manis, Joget Mak Enon dan Joget Gila Bayang sebelum menyanyikan lagu tema AF, Menuju Puncak.
Cukup istimewa apabila lagu itu turut menggandingkan peserta AF1 dan AF2 dengan langkah tarian yang berbeza.
Yang pasti kini, SNFT sudah melabuhkan tirainya bersama hamparan kenangan yang sudah pasti sukar dilupakan dalam diri Siti mahu pun peminatnya.
(http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Monday/Hiburan/20040823084704/Article/)