Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Written By JOM JALAN on 23/08/04 | Isnin, Ogos 23, 2004


Ojah rela ‘berhabis’ demi Mas

OJAH atau nama sebenarnya, Mohd Zarizi Ahmad, 27 bertemu dengan Mas buat pertama kali ketika sesi fotografi diadakan di Balai Berita, Jumaat lalu. Umpama bulan jatuh ke riba, pelawaan untuk menemukannya dengan Mas tidak mampu ditolak.

“Saya tidak dapat tidur semalaman apabila diberitahu akan dipertemukan dengan Mas hari ini,” kata pemuda yang menjalankan perniagaan sendiri itu.

Sejak minggu pertama AF2 ketika Mas mendendangkan lagu popular Ella, Permata Biru, Ojah mengagumi keunikan vokal peserta berusia 23 tahun itu. Dia juga tertarik dengan kelincahan Mas yang pandai menari.

Minatnya semakin bercambah apabila Astro mendedahkan Mas adalah ibu tunggal yang membesarkan dua cahaya mata.

“Saya memang sensitif dengan berita seperti ini. Saya kehilangan orang tua sejak berusia 12 tahun. Apabila mengetahui keadaan Mas yang membesarkan anak sendirian, hati saya tersentuh.

“Sejak itu, tanpa dipaksa saya tergerak untuk menyokong Mas,” katanya.

Apabila persoalan undi simpati terhadap Mas dibangkitkan, pemuda yang berasal dari Kampung Haji Abdullah Hukum, Bangsar, Kuala Lumpur itu berkata, peserta itu tidak sepatutnya menjadi mangsa luahan kemarahan mereka yang tidak berpuas hati.

Dia akur, bakat nyanyian Mas tidak sehebat 11 peserta lain. Tetapi, sebagai peminat, Mas di pandangan matanya memiliki keistimewaan yang tersendiri.

“Mereka tidak patut melemparkan penghinaan kepada Mas. Dalam dirinya ada sifat kejujuran. Mas sendiri tidak malu mengaku semua kesalahannya. Memang saya bersimpati apabila dia dilemparkan dengan pelbagai kata penghinaan.

“Disebabkan itu, saya setia menyokong Mas. Walaupun dia membuat pengakuan tidak minat mengikuti pengajian di AF2 dan tiada kesungguhan, saya dan keluarga masih menyokongnya. Kami tersentuh dengan perjalanan yang dilaluinya,” kata Ojah.

Sepanjang sembilan minggu Mas bertahan di AF2, Ojah membelanjakan hampir RM2,500 untuk mengundi serta melobi peserta itu menerusi saluran 15.

“Sekalipun saya sendiri menjadi mangsa kutukan, saya tidak pernah ambil hati. Mungkin juga kerana pendirian saya yang tidak cepat marah atau melenting dengan kritikan,” katanya.

Disebabkan minat yang terlalu mendalam, dia mengambil inisiatif menubuhkan Kelab Peminat Mas (MasFC) dan hingga kini, kelab itu memiliki 2,000 ahli. Keahliannya menjangkau ke Labuan, Singapura, Brunei dan Thailand.

“Kami sudah mengadakan mesyuarat jawatankuasa di sebuah hotel untuk menganjurkan majlis bagi meraikan Mas tidak lama lagi,” katanya.

Ojah mengakui, ketika Mas tersingkir pada konsert ke sembilan, dia tidak melelapkan mata selama dua hari. Dia terlalu kecewa peserta kesayangannya gagal mara untuk ke konsert terakhir.

“Bukan saya seorang, malah ahli keluarga juga menangis sampai hilang suara. Disebabkan terlalu kecewa, kami akhirnya mengundi semua finalis,” katanya tidak kesal melaburkan wang sebanyak itu.

“Duit boleh dicari dan saya tidak kesal menghabiskan RM2,500 untuk bil bulan lalu demi memastikan Mas berjaya ke konsert akhir,” katanya.

Kesungguhannya menyokong perjuangan Mas turut menarik perhatian kakak peserta itu apabila dia berusaha untuk mengenali Ojah menerusi saluran 15.

“Sebaik konsert akhir tamat, Mas ada menghubungi saya pada jam 5 pagi. Dia ingin mengenali siapa saya dan berhasrat untuk bertemu. Alhamdulillah, hasrat itu termakbul hari ini,” katanya.

Sekali pun AF2 sudah berakhir, Ojah berkata, dia akan tetap menyokong perjuangan Mas dan ingin melihat dia berjaya sebagai anak seni.

“Saya cukup suka apabila Mas berlakon. Mungkin lakonan lebih sesuai dengan Mas kerana dalam nyanyian, dia kurang menyerlah,” katanya.
©New Straits Times (M) Berhad
Laporan: Zul Husni Abdul Hamid (http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Monday/Hiburan/20040823084847/Article/)