KESILAPAN sehari akhirnya membawa hukuman seumur hidup bagi pelajar favourite Akademi Fantasia 2 (AF2), Norlinda Nanuwil (Linda) apabila namanya digugurkan dari alam fantasi pada konsert ke-8 minggu lalu. Seperti rakan baiknya, Zarina Zainoordin, gugurnya 'Pesona Bintang' seperti Linda, turut diratapi peminat seolah-olah tidak dapat menerima hakikat, Linda gagal ke konsert akhir pada 14 Ogos ini. Sekalipun berada di tangga teratas dengan undian 15 peratus sebelum konsert bermula, kritikan pengarah tersohor, Erma Fatima yang mengatakan suara Linda sumbang ketika mendendangkan lagu Syurga Idaman, rupa-rupanya membawa padah.
JIKA pada konsert ke-7, Astro membuat kejutan kepada Linda dengan menampilkan Man Kidal dan Sham Kamikaze ketika dia mendendangkan lagu rock, Akan Ku Tunggu, Bintang Popular juga ada kejutan buat Linda apabila pertama kali dia bertandang ke studio kami.
Si jelita Linda secara tiba-tiba dipertemukan dengan seseorang, tapi bukan dengan Fitri, pelajar AF2 yang dikatakan rapat dengannya, sebaliknya dengan karyawan seni yang bakal menjulang nama Linda sebagai 'Pesona Bintang' di arena perfileman.
Mungkin rezeki Linda, jutawan filem, Datuk Yusof Haslam dipertemukan dengan Pesona Bintangnya secara eksklusif walaupun tiada sebarang perancangan untuk menemukan mereka sebelum ini.
Apabila Linda mengesahkan kehadirannya petang Selasa lalu, hati terdetik menghubungi Datuk Yusof dan apabila Yusof memberitahu dia sebenarnya dalam perjalanan ke Berita Harian untuk menyerahkan gambar filem terbarunya, Sembilu 2005, Yusof terus dipelawa untuk bergambar bersama Linda yang akan tiba pada bila-bila masa saja ketika itu.
Pada mulanya Datuk agak keberatan, tetapi selepas memberitahu bahawa gelaran 'Pesona Bintang' yang diserahkan kepada Linda adalah ciptaannya, dia akhirnya bersetuju, tapi bersyarat, Linda ingin disunting membintangi filem terbaru usaha sama Skop Productions Sdn Bhd dan ACE Motion Picture, Gila-Gila Pengantin Popular (GGPP) yang akan memulakan penggambarannya September ini.
Filem yang bakal diarahkan Aziz M Osman ini menampilkan ramai bintang sensasi antaranya Erra Fazira, Misha Omar, Saiful Apek dan Norman Hakim.
“Pertama kali saya melihat Linda di pentas, saya dapat berasakan dia mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Selain memiliki kekuatan vokal yang hebat, Linda juga mempunyai personaliti yang menarik. Saya yakin, selain menyanyi, penampilan Linda di layar perak mampu menyerlahkan lagi bakatnya.
“Justeru, untuk filem usaha sama saya kali ini, saya bercadang memperkenalkan Linda dan Insya-Allah, saya akan tampilkan dia sebagai special appearance dalam GGPP. Kini, terpulanglah kepada Linda untuk membuat keputusan,” kata Datuk yang terus membuat tawaran berkenaan di hadapan Linda sambil disaksikan wakil Maestro Talent, Baha.
Daripada raut wajah Linda, jelas terbayang dia seolah-olah bermimpi apabila menerima tawaran berkenaan, tapi ini bukan lagi AF2 yang penuh fantasi kerana dia perlu sedar, dirinya kini berada di alam realiti.
Dengan perlahan, Linda memulakan bicaranya.
“Tapi saya tak pandai berlakon Datuk...,” jawab Linda ringkas.
Datuk Yusof berkata dia yakin dengan kebolehan Aziz sebagai pengarah berbakat, justeru Linda tidak perlu khuatir.
“Aziz seorang pengarah yang berbakat besar. Jika Linda rajin berusaha, Linda juga boleh berjaya. Yang paling penting ialah minat. Jika ada minat, kita boleh buat,” balas Yusof.
Akhirnya Linda menganggukkan kepala sebagai tanda setuju.
“Memang saya minat berlakon. Boleh dikatakan kebanyakan filem Datuk seperti Sembilu 2, Maria Mariana, Gerak Khas The Movie dan Janji Diana, saya tak pernah miss. Tapi, tawaran Datuk seolah-olah satu mimpi. Saya tak pernah terfikir akan berlakon dalam filem Datuk. Tak sangka akhirnya saya menerima tawaran berlakon daripada Datuk sendiri.
“Jika Datuk sudah meletakkan kepercayaan kepada saya, saya bersedia untuk memberikan yang terbaik. Tapi, segala keputusan akhir terletak di tangan Maestro. Jika Maestro memberi lampu hijau, saya tak ada masalah...,” kata Linda sambil menguntum senyum paling manis di bibirnya.
Bercerita mengenai penyingkirannya pada malam itu, Linda yang berasal dari Ranau, Sabah daripada suku kaum Kadazan Dusun, memberitahu, dia seolah-olah dapat merasai bahawa dirinya akan tersingkir pada minggu berkenaan.
“Saya dapat berasakan, persembahan saya pada malam itu banyak kekurangan.
Terus terang saya katakan lagu Syurga Idaman tidak sesuai dengan suara saya walaupun saya tahu, seorang penyanyi yang versatile, harus mampu menyanyikan apa saja jenis lagi, tapi itulah kelemahan saya.
“Saya akui, pada minggu itu saya kurang latihan. Minggu itu juga memerlukan kami menyanyikan tiga lagu medley sebagai lagu bonus dan satu lagu penuh sehingga untuk lagu saya sendiri, saya tak sempat memberi tumpuan,” kata Linda yang akhirnya mengakui dia sememangnya menyimpan hasrat untuk ke peringkat akhir.
Katanya lagi, selepas bertahan sehingga minggu ke-7 dalam AF2, dia tidak dapat menyorok perasaan gembiranya untuk bergelar antara lima yang terbaik pada konsert akhir nanti. Tapi, harapannya musnah kerana dia sendiri tidak pasti apakah faktor sebenar yang dikehendaki peminat daripada seorang penyanyi seperti dirinya.
“Saya tahu, selama ini peminat sudah beri sokongan dengan mengundi saya. Justeru, apabila saya tersingkir, saya hanya mampu berfikir penonton terlupa mengundi saya selepas menyaksikan kedudukan saya yang selesa di dalam carta.
“Tapi, jika ditanya apakah yang sebenarnya dicari peminat daripada penyanyi seperti saya, mungkin mereka memerlukan seorang artis yang mampu membuat persembahan secara konsisten setiap minggu dan saya tidak memiliki kelebihan itu. Kini, saya sudah tersingkir dari AF2, namun perjuangan di luar sana perlu diteruskan,” kata anak bekas ketua Kampung Tudangan, Ranau, Nanuwil Galida ini.
Linda yang juga aktif dalam kegiatan politik sehingga dia dilantik sebagai Naib Pengerusi Puteri Umno, Kampung Tudangan, berkata walaupun dia sudah tersingkir, namun matlamat untuk mendalami ilmu muzik terutama vokal tidak pernah padam dan dia mungkin menyambung pelajarannya bersama tenaga pengajar AF2 selepas ini.
“Apabila saya keluar AF2, baru saya tahu saya mempunyai ramai pengikut yang tak pernah jemu mengundi saya selama ini. Untuk tidak menghampakan mereka, saya perlu terus belajar sehingga vokal saya mampu menyanyikan apa saja jenis lagu,” katanya yang tidak menolak permintaan sekiranya ada pihak yang ingin melihat dia berduet bersama Zarina, mahupun juara AF musim lalu, Vince.