Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Azman bebas tuduhan bunuh Norjan

Written By JOM JALAN on 12/08/04 | Khamis, Ogos 12, 2004

Laporan: NAZRULLAH ROSLI

KOTA KINABALU 11 Ogos - Bekas pekerja hotel, Azman Bakar @ Samsuddin Mustamin, 27, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada tuduhan membunuh Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Norjan Bahadar Khan.

Azman yang berkemeja hitam dan berdiri di kandang salah memejamkan matanya seketika dan menarik nafas lega sebaik sahaja jurubahasa mahkamah menerangkan penghakiman yang dibaca oleh Hakim Datuk Ian Chin.

Turut kelihatan di mahkamah itu ialah kaum keluarga Allahyarham Norjan dan sepupu kepada tertuduh.

Bagaimanapun, kegembiraan Azman hanya sebentar sahaja apabila dia ditangkap semula oleh polis di luar pekarangan mahkamah dan dibawa ke balai polis daerah Kota Kinabalu. Polis akan membawa Azman ke Mahkamah Majistret di sini esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman atas kesalahan memiliki kad pengenalan palsu.

Azman dilihat diiringi menaiki sebuah kereta peronda polis di belakang bangunan mahkamah.

Hakim Chin ketika mengumumkan keputusan penghakiman setebal 15 muka surat dalam mahkamah yang penuh sesak memberitahu bahawa selepas menimbang semua keterangan dalam kes itu:

``Timbul keraguan dalam fikiran saya sama ada tertuduh inilah yang membunuh Norjan disebabkan cemburu. Keterangan oleh tertuduh mengenai adanya seorang lagi di bilik itu menambahkan lagi keraguan terhadap kes pendakwaan.

``Sukar bagi saya untuk tidak mempercayai beliau semata-mata kerana beliau seorang pelakon yang baik seperti yang digambarkan oleh pihak pendakwaan kerana sesetengah aspek keterangan pihak pendakwaan telah menyokong kesnya.

``Dengan ini, tertuduh dibebas dan dilepaskan,'' kata Chin.

Beliau memberitahu, pihak pendakwaan gagal mengemukakan motif pembunuhan bagi kes itu yang disebabkan oleh faktor cemburu.

Beliau memberitahu, tertuduh berkata yang dia tidak mengenali Norjan sebelum malam itu dan mendakwa tidak membunuh mangsa tetapi melihat lelaki lain dalam bilik berkenaan.

``Dalam penafian tertuduh yang dia mengenali Norjan, ini perlu diberi pertimbangan sama ada motif yang dikatakan pendakwa adalah cemburu,'' ujarnya.

Beliau memberitahu, cemburu dalam erti kata lain dalam kes ini bermakna tertuduh telah mengenali mangsa sebelum 10 Februari.

Azman sebelum ini menghadapi tuduhan membunuh Norjan antara pukul 4 pagi hingga pukul 6 pagi di bilik bernombor 208, Hotel Shangri-La, Bandaran Berjaya di sini, pada 11 Februari lalu.

Beliau seterusnya memerintahkan barang-barang bukti dalam kes itu dimusnahkan mengikuti undang-undang dan hanya selepas rayuan.

Menurut beliau, alasan lain yang boleh diterima ialah daripada pekerja penyelenggara hotel itu, Christopher Crispen Lijawi yang pergi ke bilik 208 untuk membetulkan alat penghawa dingin di bilik berkenaan pada hari kejadian, tetapi hanya melihat seorang wanita di dalam bilik tersebut.

``Malah, keterangan Christopher bahawa pintu bilik dibuka oleh seorang wanita ketika dia sampai, tetapi bukan mangsa,'' ujarnya.

Selain itu, katanya lagi, terdapat bukti di mana Christopher memberitahu hanya Baria Mohamad (pembantu Norjan) berada di dalam bilik itu, manakala pintu bilik air dikunci ketika dia membetulkan alat penghawa dingin tersebut.

Ini, tambahnya, telah mewujudkan pertentangan yang Amir Khan Amjad Khan (ahli perniagaan Pakistan dan kenalan mangsa) dan Baria yang dikatakan kedua-dua mereka dan juga mangsa berada di dalam bilik berkenaan pada waktu itu.

``Jadi, ini bermakna Amir berada di dalam bilik air dengan Norjan, meninggalkan Baria di bilik utama untuk menemani pekerja penghawa dingin berkenaan. Ini menunjukkan sekali lagi Amir dan Baria berbohong,'' kata beliau.

Oleh itu, Hakim Chin berkata, beliau tidak ada sebab-sebab sah untuk tidak menerima bukti daripada salah seorang saksi berkenaan.

Hakim itu juga berkata, beliau tidak ada sebarang alasan untuk menolak bukti daripada pengurus hotel, David Phang yang mengatakan Norjan tidak pernah tinggal di hotel itu sebelum 10 Februari dan sejak tiga tahun lalu.

Hakim Chin berkata, beliau juga selepas mendengar hujah pendakwa yang membuktikan keraguan sama ada tertuduh benar-benar memerhatikan Amir atau sememangnya berkeadaan seperti itu untuk menunjukkan tertuduh adalah kenalan mangsa semasa di coffee house hotel tersebut.

``Pihak pendakwa juga telah bersungguh-sungguh hanya disebabkan oleh tertuduh adalah orang yang bertugas membawa pesanan bilik hotel dan bukan dianggap orang biasa yang bermaksud tertuduh mengenali Norjan,'' ujarnya.

Tetapi, katanya lagi, juruwang coffee house hotel itu, Eliza @ Elizabeth Mikeh Laga memberitahu, dia ada meminta Azman untuk membawa susu panas ke bilik berkenaan dan bukan tertuduh yang meminta tugas itu serta sekiranya tertuduh mahu, itu adalah kerana dia mengharapkan tips.

Beliau berkata, pihak pendakwa juga berdebat bahawa tidak mustahil bagi tertuduh untuk tidak mengambil tahu siapa Norjan kerana ia adalah sukar untuk dimengertikan mengapa Norjan seorang wanita Muslim dan orang kenamaan akan mendedahkan badannya di dalam bilik yang agak gelap itu kepada orang asing.

``Dalam kes mangsa, itu tidak sukar untuk dimengertikan. Dia (mangsa) sudah ada rancangan untuk mengadakan hubungan dengan Amir,'' ujarnya.