Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Pemancing terbunuh dada ditusuk ikan todak

Written By JOM JALAN on 12/08/04 | Khamis, Ogos 12, 2004

Laporan: HALIMAH JULKIP

KOTA KINABALU 11 Ogos - Seorang kakitangan Jabatan Pertanian terbunuh selepas ditusuk oleh seekor ikan todak ketika memancing di perairan Kampung Limau-Limauan, Kudat, semalam.

Mangsa, Azliman Matinpan, 30, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Daerah Kudat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kudat, Asisten Supritendan Hashim Justin berkata, pada hari kejadian, Azliman bersama sembilan rakannya keluar memancing dengan sebuah bot di sekitar perairan itu.

``Semasa memancing, seekor ikan todak tiba-tiba melompat dari permukaan laut ke arah mangsa dan muncungnya menusuk dada kiri mangsa hingga mengakibatkan kecederaan parah,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Menurut beliau, mangsa segera dikejarkan ke daratan oleh rakan-rakannya untuk dibawa ke hospital tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan kerana pendarahan yang banyak.

Beliau menambah, punca kematian mangsa adalah disebabkan tusukan todak itu mengenai jantungnya.

Ikan todak yang sensitif kepada cahaya banyak terdapat di perairan Sabah dan sering dilihat melompat di atas.

Kejadian serangan todak itu adalah kes kedua pada tahun ini selepas pelajar Sekolah Menengah Teknik (SMT) Sanggang, Temerloh, Pahang, Mohd. Sazali Saleh, 17, cedera di paru-paru akibat ditusuk ikan todak di dada ketika berkelah di pantai Teluk Cempedak, 28 Mac lalu.