JOHOR BAHRU 6 Ogos _ Seorang murid tahun 4, Nurul Fazlun Abdullah, mati setelah digilis tayar belakang bas sekolah yang dinaikinya tengah hari ini.
Ketua Polis Trafik Johor Bahru Utara, Cif Inspektor Bakri Zainal Abidin berkata, pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Damai Jaya di Skudai dekat sini, cedera parah dan mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
Mangsa ketika itu baru turun dari bas berkenaan untuk pulang ke rumah.
Utusan Malaysia difahamkan, anak ketiga daripada lima beradik itu menyambut hari jadinya yang ke-10 hari ini.
Bakri berkata, kejadian tersebut dilaporkan berlaku kira-kira pukul 1.10 tengah hari di Jalan Senang, Taman Damai Jaya dekat rumahnya yang terletak di Jalan Bangau Satu, taman itu.
``Pemandu bas dilaporkan hanya menyedari mangsa digilis oleh bas yang dipandunya setelah diberitahu oleh orang awam yang berada di tepi jalan berkenaan.
``Polis telah menahan pemandu bas yang berusia 40-an itu untuk siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,'' katanya ketika dihubungi di sini.
Laporan: BAZLI ABDUL RAHMAN