Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Isu laungan azan akan dilihat secara dekat

Written By JOM JALAN on 7/08/04 | Sabtu, Ogos 07, 2004

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan melihat secara dekat perkembangan isu penyiaran rencana oleh Majlis Peguam yang didakwa menghina Islam sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap badan itu.

``Tidak apalah. Kita tengok sejauh mana dia (Majlis Peguam) bawa isu ini,'' katanya ketika diminta mengulas sama ada kerajaan akan meminta badan itu menarik balik rencana yang disiarkan itu.

Ini selaras dengan desakan pelbagai pihak yang mahu Majlis Peguam menarik balik rencana berkenaan dan menuntut maaf kerana gagal bersikap sensitif kepada perasaan kaum dan penganut agama khususnya Islam.

Najib berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Percambahan Pemikiran Islam Hadhari peringkat Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Kelmarin, UMNO Bahagian Shah Alam membuat laporan polis berhubung satu rencana yang disiarkan dalam buletin rasmi Majlis Peguam, Infoline yang didakwa menghina Islam kerana menyifatkan laungan azan sebagai `pencemaran bunyi dan menganggu jiran'.

Laporan yang dikeluarkan dalam edisi Mei dan Jun buletin itu bertajuk `Pihak Berkuasa Tempatan Perlu Sensitif Terhadap Individu'.

Najib berkata, perkara itu tidak seharusnya menjadi isu kerana ia telah lama diamalkan.

``Kita anggap ini bukan isu sebenarnya. Kita sudah mengamalkan perkara ini sekian lama dan kita melihat bahawa perkara ini adalah sejajar dengan kedudukan kita sebagai negara Islam.

``Azan didengari oleh masyarakat sekeliling dalam konteks berpatutan. Dalam televisyen pun kita siarkan azan,'' katanya.