Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Peragut miliki Mercedes, Perdana V6

Written By JOM JALAN on 10/08/04 | Selasa, Ogos 10, 2004


SHAH ALAM: Peragut ‘profesional’ yang ditahan Rabu lalu, menyimpan semua dokumen pengenalan mangsanya serta barang tidak boleh dijual di rumahnya bagi mengelak polis mengesannya berdasarkan kesan cari.

Serbuan polis ke rumah lelaki berusia 45 tahun itu di Bukit Rimau dekat sini, menemui pelbagai barang mangsa bernilai kira-kira RM300,000, termasuk pas kerja dan perakam kaset, dipercayai dimiliki seorang wartawan sebuah majalah berbahasa Cina.

Selain itu, polis merampas 92 kad pengenalan, 96 kad ATM, 106 buku akaun pelbagai bank, lima buku cek, satu pasport China, 10 slip bank, 101 beg tangan, 88 dompet, lima beg sandang, 161 kad nama, empat kamera, 10 cermin mata, 24 telefon bimbit, 11 jam tangan, 141 kad SIM telefon bimbit dan 41 barang kemas.

Turut ditemui tiga sijil, 89 anak kunci, tujuh buku catatan dan diari, 16 kad bonus, sembilan kad Touch ‘n Go dan Smart Tag, empat salinan fotostat kad pengenalan, 12 surat pajak gadai, sekeping cukai jalan, satu saman polis, sembilan mesin kira dan satu ‘walkman’ serta wang tunai RM1,190.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Fauzi Shaari memberitahu sidang akhbar di sini semalam, lelaki licik itu dipercayai memperoleh pendapatan RM10,000 sebulan berdasarkan kekerapan aktivitinya, terutama selepas berhenti kerja dengan sebuah syarikat kawalan keselamatan sejak dua tahun lalu.

Lelaki yang tinggal di sebuah rumah teres di kawasan perumahan Bukit Rimau serta memiliki sebuah kereta Mercedes E Class dan Proton Perdana V6 itu, sering berpakaian kemas seperti seorang eksekutif ketika menjalankan aktivitinya di sekitar USJ, Subang jaya, Damansara dan Kelana Jaya.

“Ada kalanya dia mengutip RM1,000 sehari dan menjalankan kegiatan ragut kira-kira empat atau lima kali sehari. Bagaimanapun dia tidak meragut setiap hari,” katanya sambil menambah, lelaki itu direman sejak Rabu lalu.

Akhbar ini Ahad lalu melaporkan lelaki berkenaan, yang isterinya tidak bekerja dan mempunyai dua anak, ditahan Rabu lalu apabila gagal melarikan diri selepas meragut seorang mangsa.

Siasatan awal polis mendapati lelaki berkenaan meragut lebih 150 kali di kawasan terbabit menggunakan sebuah motosikal Honda EX5, dipercayai dicuri.

Mohd Shaari berkata, setakat semalam, tiga lelaki sudah ditahan untuk membantu siasatan terhadap peragut itu. Lelaki berumur antara 29 hingga 31 tahun dipercayai membeli barang kemas dan telefon bimbit daripada peragut berkenaan.

Beliau meminta mangsa ragut di sekitar Damansara, Subang Jaya, USJ dan Kelana Jaya menghubungi Inspektor Kamal Hashim Shamsuddin di talian 03-5510 2222 bagi membantu siasatan.