Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Written By JOM JALAN on 18/08/04 | Rabu, Ogos 18, 2004


Pengalaman cemas, sayu dua mangsa di lokasi nahas Nuri -- Bisikkan kalimah syahadah
LABUAN 17 Ogos - Sarjan Zakwan Madnor, mangsa helikopter Nuri terhempas di pergunungan Long Seridan dekat Ba'Kelalan sempat membisikkan kalimah syahadah ke telinga juruterbang Mejar Abdul Hadi Wahab sebelum dia menghembuskan nafas terakhir di pangkuannya.
Beliau yang menceritakan detik-detik cemas sebelum, semasa dan selepas helikopter itu terhempas berkata, dia cuba menenangkan Mejar Hadi yang ketika itu dalam keadaan kesakitan kerana mengalami patah kaki.
``Saya mengeluarkannya dari tempat duduk juruterbang lalu memberi beliau ubat penahan sakit,'' kata Zakwan, 32, ketika ditemui di wad Hospital Labuan di sini hari ini.
Dalam situasi yang mencemaskan itu, beliau dapat melihat banyak darah pekat mengalir di seluruh bahagian muka dan kaki juruterbang itu.
``Beliau tenang sehinggalah 30 minit kemudian saya dapati Hadi sudah tidak bergerak dan cuba membantunya dengan memberi bantuan pernafasan...saya dapat lihat beliau bernafas dengan perlahan, saya kemudian membisikkan kalimah syahadah ke telinganya. Lepas tu dia dah tak ada lagi,'' katanya.
Zakwan adalah antara dua orang anggota yang tidak pengsan sebaik helikopter tersebut terhempas kira-kira pukul 3 petang di sebuah kawasan pergunungan itu.
Helikopter Nuri TUDM itu hilang semasa dalam penerbangan dari Miri ke Ba'Kelalan di Sarawak kelmarin, ditemui terhempas semalam di kawasan pergunungan di Long Seridan.
Tiga orang terkorban dalam nahas itu. Mereka ialah juruterbang helikopter, Mejar Abdul Hadi dari Pulai Chondong, Machang, Kelantan; pembantu juruterbang, Kapten Ismazilan Ismail dari Masjid Tanah, Melaka dan kuartermaster, Pegawai Waran (Udara) I Santaliah a/k Jandur yang berasal dari Serian, Sarawak.
Tujuh yang cedera ialah Kapten Nurul Amir Othman (TUDM); Pegawai Waran (Udara) II Mohd. Azmi Ibrahim; Sarjan Zakwan Mohd. Nor; Lans Koperal Elias Ibrahim; Prebet Mohd. Fadzil Ahmad (Kedah), Prebet Mohd. Nor Yusuf dan Prebet Wan Alias Kamarudin. Kecuali krew TUDM, anggota tentera terbabit adalah dari Batalion ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
Menurut Zakwan, hanya beliau dan Wan Alias yang dapat bergerak selepas nahas itu. Tanpa berfikir panjang mereka membawa keluar rakan-rakan lain yang tidak sedarkan diri dari dalam pesawat.
``Kami mengeluarkan kesemua mereka satu demi satu ke tempat selamat tidak jauh dari tempat nahas.
``Selepas mengeluarkan anggota ketiga, saya nampak api di bahagian enjin helikopter. Saya dan Wan Alias segera padamkan api menggunakan pemadam api namun ia hidup semula. Saya rasakan api itu lambat sangat nak padam,'' katanya.
Beliau pada masa itu cukup bimbang jika kebakaran itu boleh menyebabkan letupan kerana ia akan memburukkan lagi keadaan.
``Selepas itu barulah kami berdua membalut luka rakan-rakan yang hampir kesemua mengalami pendarahan dengan bekalan ubat yang ada,'' ujarnya.
Menurut Zakwan, dua lagi mangsa iaitu Ismazilan dan Santaliah dipercayai telah meninggal dunia ketika kejadian kerana mengalami kecederaan di bahagian kepala.
Mereka kemudiannya mendirikan khemah dan menghidupkan api dan bergilir-gilir merawat rakan yang cedera.
``Saya berikan mereka pil penahan sakit dan ubat luka,'' katanya.
Menurutnya menjelang tengah hari, beliau dapat melihat helikopter penyelamat berlegar-legar di kawasan terbabit tetapi kabus tebal menyukarkan usaha menyelamat petang itu.
``Tempat nahas berlaku terletak di kawasan yang agak berbukit dan saya nampak mereka menurun bukit. Saya sedar mereka sukar melihat kami kerana pesawat kami terhempas di kawasan berpokok. Helikopter penyelamat perlu berada tepat di atas kami untuk melihat tempat nahas.
``Kami cuba menarik perhatian dengan membuat asap dan melancarkan bom asap ke udara, sehinggalah kami ditemui keesokan harinya (semalam), kira-kira pukul 11 pagi,'' katanya.
Sementara itu, Wan Alias berkata, sepanjang perjalanan ke Ba'Kelalan untuk operasi di sempadan Malaysia-Indonesia daya penglihatan baik kecuali sedikit berjerebu.
Ini menyebabkan kesemua anggota tentera yang berpangkalan di Miri itu agak relaks ketika pesawat merentasi kawasan bergunung-ganang di Long Seridan.
Kemudian ketika helikopter berada di atas bukit, ia tiba-tiba bertembung dengan angin lintang yang kuat dan bermulalah masalah, katanya.
Keadaan itu berlaku sekelip mata menyebabkan helikopter Nuri tersebut berpusing sebanyak sekali dan bergegar dan mula hilang kuasa.
``Kemudian saya merasa helikopter melanggar pokok dan jatuh....jatuh dan jatuh. Saya bersedia untuknya terhempas, saya mengucap. Belum pun sempat habis (mengucap), helikopter terhempas.
``Dan ketika itu saya sedar helikopter itu terhempas di bahagian hadapan di sebelah kiri. Asmalizan dan Santaliah mengalami cedera teruk kerana mereka berdua berada di hadapan,'' katanya.
``Saya lihat semua barang berselerak dalam pesawat dan dapat mendengar seseorang menjerit kesakitan,'' katanya.
Dalam pada itu, kedua-dua mereka sedih dengan pemergian ketiga-tiga mereka yang terkorban dan mengucapkan takziah kepada keluarga masing-masing.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Mohd. Azumi Mohamed turut meluangkan masa melawat anggota yang dirawat di hospital itu hari ini.
Sebelum ini sebuah helikopter Bell 206 Long Ranger milik Hornbill Skyways juga terhempas di kawasan hutan di kaki Gunung Murud dalam perjalanan dari Bario ke Ba'Kelalan pada 12 Julai lalu mengorbankan tujuh orang.
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2004&dt=0818&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm