Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

PM baru mahu rakyat tambah anak

Written By JOM JALAN on 26/08/04 | Khamis, Ogos 26, 2004

SINGAPURA: Kerajaan Singapura semalam mengumumkan pemberian cuti bersalin yang lebih lama, insentif wang dan beberapa kemudahan lain bagi menggalakkan rakyat mempunyai lebih ramai anak dan memperbaiki kadar kelahiran yang menurun begitu ketara.

Pakej bernilai sekurang-kurangnya S$300 juta (RM660 juta) setahun termasuk pelepasan cukai, cuti bersalin ditambah sebulan daripada dua bulan sekarang, pemberian subsidi jagaan bayi dan caj lebih rendah bagi mengambil pembantu rumah warga asing untuk menjaga anak-anak mereka.

Sementara kerajaan tidak mahu campur tangan dalam kehidupan peribadi pasangan, Menteri Perdagangan Lim Hng Liang yang mengetuai sebuah jawatankuasa untuk menggubal langkah-langkah berkenaan, negara mempunyai peranan untuk mewujudkan kerangka yang sesuai bagi mereka mempunyai keluarga yang lebih besar.

“Kami percaya mempunyai anak adalah satu keputusan yang sangat peribadi. Orang ingin mempunyai anak kerana mereka menyukai kanak-kanak dan mereka ingin membina kehidupan keluarga mereka sendiri,” katanya dalam satu sidang akhbar.

Peruntukan sebanyak S$300 juta adalah perbelanjaan tahunan tambahan kepada insentif tahunan sebanyak S$500 juga (RM1,100 juta) bertujuan menggalakkan rakyat mempunyai lebih banyak anak.

“Kadar kelahiran yang menurun adalah isu kesan jangka panjang. Usaha sedang dijalankan bagi menggalakkan orang berumahtangga dan ini mewajarkan kerajaan membuat pelaburan yang besar,” kata Lim.

Kadar kelahiran Singapura yang rendah sudah menjadi satu kebimbangan kebangsaan yang segera selepas kadar kesuburan mencecah paras rendah pada 1.26 kanak-kanak bagi seorang wanita pada 2003 kerana rakyat melewatkan rancangan untuk berkahwin atau mempunyai sedikit anak disebabkan tekanan kerjaya dan kos hidup yang tinggi. – AFP