Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Written By JOM JALAN on 27/08/04 | Jumaat, Ogos 27, 2004


ATHENS 26 Ogos - Atlet angkat berat Iran, Hossein Rezazadeh membuktikan dirinya sebagai `Hercules Era Moden' apabila berjaya mencipta rekod baru dunia acara clean & jerk kategori super heavyweight dengan angkatan 263.5kg di Sukan Olimpik, semalam.
Kejayaan Hossein itu membolehkannya memenangi pingat emas dalam dua Sukan Olimpik berturut-turut.
Sambil turut diiktiraf sebagai `Lelaki Terkuat Dunia', Hossein, 26, yang memiliki ketinggian enam kaki dan berat 163kg mengangkat jumlah keseluruhan 472.5kg untuk menyamai rekod dunia yang dipegangnya sendiri.
Dalam acara snatch, Hossein yang merupakan juara dunia sebanyak dua kali mengangkat 209kg.
``Pingat emas Olimpik adalah sesuatu yang berharga serta penting untuk saya dan negara saya.
``Saya berlatih kuat demi kerananya dan Allah membantu saya memilikinya. Ia adalah persembahan terbaik saya.
``Saya datang ke sini dengan penuh kekuatan dan begitu yakin untuk meraih emas kedua.
``Saya hadiahkan pingat emas ini kepada rakyat Iran dan sesiapa sahaja yang telah membantu saya sebelum ini,'' katanya sambil memegang al-Quran ketika majlis penyampaian pingat.
Viktors Scerbatihs dari Latvia pula meraih pingat perak dengan mengangkat jumlah keseluruhan 455kg manakala Velichko Cholakov dari Bulgaria yang mengangkat 447.5kg meraih gangsa.
Sementara itu di Tehran, rakyat Iran di selubungi perasaan bangga apabila atlet angkat berat mereka itu mencipta nama sebagai lelaki terkuat dunia di Sukan Olimpik Athens.
Presiden Iran, Mohammad Khatami turut menghantar perutusan tahniah kepada Hossein. - Agensi